Pages

Monday, August 6, 2012

Carilah Kebahagiaan Itu!




Kebetulan saya terjumpa kata-kata ini semasa mengemas meja belajar. Menarik bagi saya dan teringin saya kongsikan kepada pembaca sekalian.

“Keinginan manusia untuk bahagia sering tidak kesampaian. Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia yang sebenar dan bagaimanakah cara untuk mendapatkannya”

Bahagia itu

Definisi bahagia itu sangat relatif. Maka, kebahagiaan itu berbeza-beza bagi setiap individu.

“Bagi yang merasakan sakit. Kebahagiaan baginya adalah ingin cepat sembuh daripada sakit yang dialaminya. Bagi yang miskin pula, kemewahanlah yang akan membuatkannya bahagia. Bagi seorang pelajar, keputusan yang cemerlang akan memberikan kebahagiaan kepada mereka. Bagi yang menjalinkan persahabatan, kebahagian dikecapi apabila mereka saling menghargai dan menghormati antara satu sama lain. Begitu juga suami isteri, kebahagiaan mereka adalah apabila dikurniakan cahaya mata hasil daripada perkahwinan mereka”

Oleh itu, kalau mahu dibahaskan tentang konsep kebahagiaan sememangnya tidak ada penghujungnya. Ini kerana, konsep bahagia itu sangat relatif dalam kehidupan seorang individu.

Kegagalan memaknai erti kebahagiaan yang sebenar menyebabkan ada sesetengah individu salah tafsir mengenai makna kebahagiaan. Ada diantara kita berasa seronok dan bahagia bila bermaksiat kepada Allah SWT seperti menghilangkan “stress” dengan menagih dadah dan meminum arak, mencari kebahagiaan dengan ber”couple” sebelum berkahwin, melayan hiburan dengan keterlaluan. Inilah makna kebahagiaan bagi mereka yang jauh daripada syariat islam.

Adapun, makna kebahagiaan bagi orang-orang beriman ialah dengan menyerahkan segala penghidupannya kepada Allah SWT.

Mereka menyedari bahawa segala perbuatan akan membawa kebahagiaan. Hidupnya disandarkan hanya beribadah kepada Allah SWT dalam segala hal dalam hidupnya.

Hidupnya dipenuhi dengan amalan-amalan ahli syurga. Membaca Al-Quran dan memahaminya, bersedekah, menyambungkan silaturrahim, tidak mensyirikkan Allah SWT, menyeru yang makruf dan mencegah yang mungkar, dan sebagainya.

 Mereka sedar akan ganjaran pahala dan syurga sekiranya perbuatan yang dilakukan itu ikhlas kerana Allah SWT. Ganjaran itulah menjadi khabar gembira bagi orang-orang beriman untuk terus mengabdikan diri kepada Allah SWT. Maka, itulah kebahagiaan hakiki yang didambakan.

Bagaimana dengan diri kita?

Benarkah cara kita menafsirkan makna kebahagiaan kita selama ini?

Adakah Allah SWT sebagai sumber kekuatan kebahagiaan kita atau dunia yang penuh tipu daya dan senda gurau itu menjadi sumber kebahagiaan kita?

“Tanyakan persoalan-persoalan ini kepada diri kita!”

“Saya mengajak kepada diri dan sahabat sekalian agar menilai kembali makna kebahagiaan kita. Mari mendapatkan kebahagiaan yang hakiki dengan memohon dan berdoa kepada Allah SWT. Sungguh Allah Maha pengasih Lagi Maha Penyayang.”

Sumber Kebahagiaan kita hari ini

Lazimnya, terdapat dua faktor sumber kebahagiaan iaitu faktor luaran dan faktor dalaman.
Walau bagaimanapun, ramai dikalangan kita ini hanya menjadikan faktor luaran semata-mata sebagai pencetus kebahagiaan.

 Benarkah itu?

Ya, benar.

Buktinya, kita lebih cenderung untuk memiliki harta yang banyak, berlumba-lumba merebut kuasa, membelanjakan banyak wang untuk tujuan kecantikan, dan mendapatkan kelulusan yang tinggi. Sekarang, majoriti masyarakat kita mengimpikan semua ini sebagai penentu kebahagiaan mereka.

Atas dasar itu, mereka sanggup mengorbankan tenaga, masa, wang, maruah dan sering kali keluarga untuk mendapatkan harta kekayaan, kuasa dan lain-lain untuk mencapai kebahagiaan mereka.

Seolah-olah kita merasakan bahawa hidup kita di dunia ini akan kekal selama-lamanya!

Adakah kita sedar bahawa Allah SWT menciptakan hidup dan mati kita ini sebagai ujian?

Ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah Al-Mulk (67:2) maksudnya;
“Dijadikan mati dan hidup itu adalah untuk menguji manusia  siapakah yang terbaik amalannya”

Nah, Sahabat sekalian!

Adakah kita belum memahami kata-kata Allah ini? Allah menguji kita dengan nikmat hidup dan mati. Adakah kita orang-orang yang cukup amalannya apabila saat maut itu menjemput diri?

Ayuh musahabah diri kita!

Bukti hilangnya bahagia

Apabila kebahagiaan yang sebenar kita jalani, kita akan merasakan diri kita akan semakin dekat dengan Allah SWT. Kita sering melakukan perkara-perkara yang jauh daripada memudaratkan diri kita dan orang lain. Bahkan, kebahagiaan kita itu akan membawa orang lain turut bersama merasai kebahagiaan yang kita nikmati.

Namun, apabila kebahagiaan telah hilang dalam kehidupan kita. Maka, kita akan lebih cenderung untuk memudaratkan diri kita dan orang lain. Kita akan semakin liar dan panas baran. Bila diberi nasihat, kita lebih suka memberontak, mencaci, dan mencederakan orang lain. Orang sebegini lebih mudah terjebak dengan perbuatan-perbuatan yang merosakkan seperti minum arak, menjadi penyebab rumah tangga berantakan, menagih dadah, jenayah seks, sakit jiwa dan bunuh diri.

Kebahagiaan yang hilang juga menyebabkan kita sentiasa menyalahkan takdir, berputus asa, mengeluh dan menyalahkan orang lain kerana kegagalan kita menghadapi ujian hidup.
Menakutkan bukan?

Ini yang akan berlaku sekiranya kita menjadikan faktor luaran semata-mata sebagai sumber kebahagiaan kita. Maka apa yang perlu kita lakukan ialah menghidupkan kembali hati kita dengan bertaubat dan mengamalkan syariat islam yang sebenarnya.

Kebahagiaan itu sentiasa ada

Sahabat sekalian, kebahagiaan itu tidak akan pernah hilang di muka bumi ini selagi mana kiamat belum tiba. Cumanya, kebahagiaan itu hilang dalam diri kita kerana kecuaian dan sikap tidak bertanggungjawab kita untuk menjaganya.

Oleh itu, kita perlu mencari dan mendapatkan semula kebahagiaan yang telah hilang dalam diri kita.

Di sini, saya akan nyatakan beberapa tip mencari kebahagiaan anda yang hilang;

Tip 1: Beriman dan beramal soleh.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Nahl (16:97) yang bermaksud Barangsiapa yang mengerjakan amal saleh, baik laki-laki maupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.”

Tip 2: Banyak mengingati Allah SWT

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Ra’d (13:28) yang bermaksud “(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.”

Tip 3: Bersandar kepada Allah SWT

Firmannya dalam surah Al-talaq (65:3) yang bermaksud “Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”

Tip 4: Sentiasa mencari peluang berbuat baik

Kita perlu berbuat baik kepada semua makhluk ciptaanNya. Sama ada melalui ucapan, perbuatan dan hati kita. Hasilnya, kita akan berasa tenang dan bahagian kerana kita tidak pernah membenci bahkan menyebarkan cinta kepada semua makhlukNya.

Allah SWT berfirman dala surah Al-Nisa’ (4:114) yang bermaksud Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah, atau berbuat ma'ruf, atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Dan barangsiapa yang berbuat demikian karena mencari keredhaan Allah, maka kelak Kami memberi kepadanya pahala yang besar.”

Tip 5: Tidak panjang angan-angan tentang masa depan dan tidak meratapi masa silam

Jangan membiasakan diri kita memikirkan sesuatu yang belum pasti dan terlalu berangan-angan benda ini dan itu. Lebih parah lagi, apabila angan-angan tersebut tidak diiringi dengan usaha untuk mencapainya. Inilah yang akan menyebabkan kita lalai dan leka dengan kehidupan kita. Seterusnya, kita akan kecewa kerana gagal merealisasikan apa yang diimpikan.

Tip 6: Melihat kelebihan bukan kekurangan diri

Setiap manusia tidak dilahirkan sempurna. Kerana kesempurnaan itu hanya milik Allah SWT. Sekiranya kita dalam proses mencari kebahagiaan, jangan kita mencari cacat celah (keburukan) orang lain. Ini kerana, saya yakin sahabat akan sentiasa menemui kelemahan dan keburukan tersebut. Oleh itu, carilah kelebihan diri orang itu agar kita merasakan kebahagiaan ketika bersamanya.

Tip 7: Jangan mengharapkan ucapan terima kasih

Kita sering mengimpikan balasan sekiranya kita ada melakukan sesuatu kebaikan dengan orang lain. Apabila ini berlaku kepada diri kita? Kita akan lebih mudah kecewa dan berhenti melakukan kebaikan seperti kebiasaan. Hal ini kerana, manusia zaman sekarang amat sukar mengungkapkan terima kasih walau ianya sangat mudah dan ringkas. Oleh itu, saya berpesan kepada diri saya dan sahabat semuanya agar kebaikan yang kita lakukan itu hanya berharap ganjaran pahala di sisi Allah SWT. InsyaAllah kita akan lebih tenang dan bahagia kerana kita mendapat pahala daripada Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Ihsan (76:9) yang bermaksud “Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keridhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.”

Kebahagiaan Hakiki

Kita akan mencapai kebahagiaan hakiki apabila “kita memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan ini.”

Kebahagiaan itu, mendorong kita untuk sentiasa berfikiran positif dengan ujian dan berusaha mendapatkan pengajaran daripada ujian yang diberikan Allah SWT. Kita tidak mudah menyalahkan orang lain, apatalagi menyalahkan ketentuan Allah SWT.

Justeru itu, bagaimana mendapatkan kebahagiaan yang sebenarnya?

Tidak lain, tidak bukan adalah dengan hanya mengingati Allah SWT. Dengan mengingatinya, InsyaAllah hati kita akan lebih tenang dan bahagia.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Ra’d (13:28) yang bermaksud;
“(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.”

Jadi, apa tunggu lagi!

Carilah dan dapatkanlah semula kebahagiaan anda yang hilang!

Dengan kesungguhanmu dan keikhlasanmu semata-mata keranaNya.

Kamu akan menemui dan mendapatkannya.

InsyaAllah!

Yakinlah!

“Kebahagiaan itu sentiasa ada”

1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...