Pages

Friday, August 31, 2012

Berangkatlah Menuju Syurga



Manusia Mudah Lupa!

MANUSIA MUDAH LUPA: Memang benar manusia mudah lupa. Asal perkataan manusia (al-ihsaan) itu sendiri bemaksud lupa. Oleh itu, manusia semestinya sering ingin diingatkan. Kalau tidak, manusia akan mudah lalai dan segala kewajibannya akan mula terabai. 

Dan tetaplah memberi peringatan, karena sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.” 
[Adz Dzaariyaat 51: 55]

“Akhi, kita semua perlu selalu menjaga keikhlasan niat kita kepada Allah SWT. Ana takut dengan kesibukan kita merancang dan berlomba-lomba menggencarkan strategi dakwah, kejernihan hati dan keikhlasan kita beribadah hanya kepada Allah SWT mula terabai. Mudah mengeluh dan merasakan tanggungjawab akan dakwah dianggap sebagai beban. Maka itu akhi, jangan pernah berhenti memberi peringatan antara kita. Ana harap dengan peringatan ini, ana dan antum semuanya sentiasa ikhlas berbuat kerana Allah SWT”

Itulah mukaddimah seorang sahabat saya semasa mengendalikan majlis taklim tempoh hari. Saya benar-benar tersentuh dengan kata-kata sahabat tersebut. Bermula saat itu, saya sentiasa muhasabah diri dan bertanya kepada diri agar sentiasa menjaga kesucian hati dengan beristighfar kepada Allah SWT. Sehingga kini, pesanan itu tidak pernah pudar dalam ingatan.

Akhi, ingatlah dan hayantilah firman Allah SWT ini;

 Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?" [Fushshilat 41: 33]

Majlis taklim tersebut diakhiri dengan ayat di atas. Walaupun masa pengisian sahabat saya itu sangat singkat namun, sahabat-sahabat yang hadir ketika itu seolah-oleh mendapat kuasa baru yang memberi cahaya kepada jiwa masing-masing.

Siapa yang beruntung?

“Hai orang-orang beriman apabila dikatakan kepadamu: "Berlapang-lapanglah dalam majlis", maka lapangkanlah niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu", maka berdirilah, niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” 
[Al-Mujaadilah 58: 11]

Beruntunglah bagi manusia yang sentiasa menghadiri majlis-majlis ilmu. Merasakan jiwa kosong dengan peringatan, maka berusaha mencari hidangan-hidangan penghuni syurga.

‘Hati gelisah menjadi tenang’
‘Jiwa sempit menjadi lapang’
‘Hidup miskin menjadi kaya’

Itulah hasilnya daripada menjamu hidangan-hidangan peringatan dalam majlis ilmu atau taklim. Jika semua itu hanya bersandarkan kepada Allah SWT, nescaya kebahagian dunia dan akhirat menjadi habuannya. Itulah kelebihan peringatan antara kita. kerana itu, kita sedar manusia mudah lupa.

Kitakan bersaudara

“Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” 
[Al-Hujurat 49: 10]

Bila kita mengetahui bahawa orang-orang mukmin itu bersaudara, maka kita tidak akan keseorangan menaiki dan mengemudi bahterah menuju syurga.

Syurga itu sangat luas. Mana mungkin kita merasai keseronokkan dan kebahagiaan hidup di syurga jika kita bersendirian. Suasana sunyi dan sepi menghantui diri. Oleh kerana itu, Allah SWT menciptakan Hawa untuk Adam sebagai teman hidup ketika syurga. Ini ada dikisahkan dalam Al-Quran.

Sebab itu, kita diwajibkan menyebarkan kalimah-kalimah Allah SWT dengan berdakwah. Tidak kisahlah dengan cara apa sekalipun anda berdakwah. Namun, jangan dilupa agar berdakwah dengan mengikut cara yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Berdakwah penuh hikmah dan berakhlak terpuji. Dengan itu, mudah bagi manusia menerima peringatan kita. Maka itu, jadikan Rasulullah SAW sebagai taladan bagi kita.

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” 
[Al-Ahzab 33: 21]

Denga penuh ikhlas dan pengharapan, kita akan saling menyintai kerana Allah SWT. Cinta yang menguntungkan semua manusia. Kerana cinta itu membawa kita ke syurga. Inilah dikatakan kita bersaudara. Saling menyintai kerana Allah SWT. Itsar dalam berukhuwah. Terimalah, Uhibbukafillah untuk kita semuanya.

Tunggu apa lagi!

“Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan maupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.” 
[At-Taubah 9: 41]

Bersiaplah, berangkatlah, dan berjuanglah menjadi mukmin yang sejati. Proaktif memberi peringatan berguna untuk orang lain dan proaktif mencari peringatan berguna untuk diri sendiri. Jangan pernah merasa berat dan sukar ke arah itu. Berkorbanlah dengan harta dan jiwamu. Kerana pengorbanan itu adalah bukti penghambaan kita kepada Allah SWT.

Ayuh! Berlomba-lomba mengajak keluarga kita, sahabat kita dan masyarakat kita menaiki bahterah menuju syurga. Sungguh itulah pengakhiran yang kekal abadi. Kenikmatan yang tiada tara tandingnya. Syurga bumi bagi orang-orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT.

Dan orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan dibawa ke dalam syurga berombong-rombongan (pula). Sehingga apabila mereka sampai ke syurga itu sedang pintu-pintunya telah terbuka dan berkatalah kepada mereka penjaga-penjaganya: "Kesejahteraan (dilimpahkan) atasmu. Berbahagialah kamu! maka masukilah syurga ini, sedang kamu kekal di dalamnya."
 [Az-Zumar 39: 73]

Jadi, tunggu apa lagi!

Mulakan langkahmu.

Berangkatlah menuju syurga.

                                       ****

P/S: Karya Asli Hadi Muslim, 01/09/2012, Kota Kinabalu Sabah. Hak Cipta Terpelihara!

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...