Pages

Sunday, September 19, 2010

Aku Pencinta Mu


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang;




Dengan izin Allah Swt Pencinta Alam Semesta dan berkuasa atas segala sesuatu, akhirnya hambamu sekali lagi ingin mencurahkan bakti walaupun hanya melalui coretan di kertas putih ini. Dengan berkah ilmu yang tidak pernah ada penghujungnya kecuali sang pencari ilmu menemui noktah hidupnya.

Selawat dan salam keatas kekasih Allah swt yakni nabi terakhir seluruh umat islam Nabi Muhammad saw. Berkat usaha dan pertolongan dari Allah swt dan para sahabat akhirnya agama islam yakni satu-satunya agama yang diterima oleh Allah swt sampai kepada diri kita. Dengan agama inilah, kita dapat hidup atas redha dan mendapat syafaat dari Allah swt dan Rasulnya.

Di sini, sementara masih ada sisa hidup yang dianugerahkan oleh sang pencipta Allah swt kepada hambaNya saya berpeluang menghasilkan sebuah nukilan di mana setiap manusia pernah mengalami dan mesti dilaluinya. Namun, sejauhmana manusia seperti diri kita mengadaptasikan konsep itu disaluran dan kaedah yang disyariatkan oleh agama islam.

Dengan judul, “Aku Pencinta Mu” saya akan sedaya upaya menjelaskan bagaimana seorang hamba Allah swt mempraktikan konsep cinta dalam kehidupannya. Kita adalah manusia ciptaan Allah swt yang sebaik-baik ciptaannya dianugerahkan banyak kelebihan yang berlainan berbanding makhluk ciptaan Allah swt yang lain. Atas kelebihan itu, lakonan cinta manusia berbeza-beza mengikut si pelakon cinta terhadap apa yang dicintainya. Dalam islam sendiri, nilai cinta amat penting untuk kita saling memahami, berkasih sayang, dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Ini kerana, cinta bermulanya di hati yang suci dan murni dari seseorang suci dan murni. Namun, nilai cinta yang suci lagi murni itu mula ternoda sekiranya sang pelakon cinta itu mula lalai dari nikmat cinta yang dianugerahkan untuk dirinya.

Seperti yang saya kata tadi cinta yang suci itu bermulanya dari hati yang suci lagi murni. Ini kerana, dengan hatilah kita akan mula melakonkan watak cinta yang kita fahami. Dengan itu, Rasulullah saw bersabda “sesungguhnya diterimanya amal perbuatan itu tergantung pada niatnya, dan sesungguhnya setiap orang akan mendapatkan apa yang diniatkan”. Oleh itu, sekiranya pelakon cinta itu dengan niat yang bersih dan murni memperwatakan konsep cinta yang sedemikian akhirnya lakonan cinta yang berputik semestinya suci dan murni. Akhirnya sang pencinta itu mendapatkan cintanya yang tulus lagi diredhai oleh Allah swt.

Bertepatan dengan judul yang dipilih kali ini, sang pencinta yang ingin mendapatkan cinta yang luhur semestinya mencintai Allah swt dan Rasulnya melebihi segala-galanya dan sedemikian itu mencintai makhluk cipataannya yang lain. Rasulullah saw bersabda “ ada tiga cara untuk mencapai kemanisan iman itu ialah mencintai Allah swt dan Rasulnya melebihi segala-galanya, mencintai saudaranya kerana Allah swt dan takut atau bimbang sekiranya dirinya kembali lagi pada zaman jahiliahnya.”

Oleh itu, si pencinta semestinya tahu akan erti cinta yang sebenar sebelum bertindak untuk melakonkan cinta. Hal ini kerana, si pencinta yang kecetekan ilmu atau pemahaman tentang cinta berlandaskan syariat islam akan merosakan erti cinta yang dibina. Pemahaman cinta berlandaskan syariat islam amat penting untuk memastikan cinta itu tidak dikendalikan oleh hati yang kotor atau nafsu semata-mata. Dengan tersematnya nilai-nilai islam yang tulus dalam hati si pencinta, ini akan menjadi padoman untuk menterjemahkan maksud cinta yang luhur dan ikhlas dari hati. Dengan menjadikan nilai dan pemahaman islam yang mendalam sebagai inti cinta kita akhirnya kita tidak mudah lalai dengan cinta yang kita dapatkan sekarang. Ini kerana, kita menyedari bahawa Allah swt menganugerahkan cinta untuk kita dan semestinya cinta pertama sebagai individu muslim itu hanya untuk Allah swt dan RasulNya.

Terjadinya cinta yang agung itu jangan kita anggap bermula dari paras rupa yang menarik, tutur kata indah, harta melimpah ruah dan teknik yang mantap namun, perlu disedari bahawa sebagai individu muslim sejati inti cinta yang agung bermula dengan nilai-nilai islam yang terbuku di hati kita. Justeru itu, cinta yang terbina akan mendapat naungan dari Allah swt dan redhanya agar cinta yang tulus itu tidak dicampuri oleh anasir-anasir nafsu syaitan.

Perlu dianalisa juga bahawa cinta kita bukan sahaja terhadap wanita semata-mata, bahkan cinta kita semestinya “multilove” iaitu mencintai semua makhluk Allah swt sebagai mana Allah swt mencintai makhluknya tanpa berbelah bagi. Kita sebagai sang pencinta sepatutnya menunjukkan watak cinta kepada ibu bapa, saudara mara, para sahabat, dan makhluk Allah swt seperti haiwan dan alam sekitar seluruhnya. Kerana mereka juga saudara muslim kita sebagaimana dalam firman Allah swt bermaksud “ sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara” Surah Al-Hujurat;10. Oleh itu, cinta kita bukan hanya untuk diri kita sahaja bahkan nilai cinta kita terdapat hak cinta daripada pihak lain seperti ibu bapa, adik-beradik, jiran tetangga, sahabat karib, dan para pemimpin kita masing-masing memerlukan cinta kita.

Dari Abu Hamzah Anas bin Malik r.a, bahawa Rasulullah Saw bersabda, “seorang di antara kalian tidak (dikatakan) beriman sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia memcintai dirinya sendiri.” Riwayat Bukhari dan Muslim. Justeru itu, walaupun inti cinta kita adalah unsur-unsur islam sepenuhnya namun perlu diingatkan bahawa nilai cinta kita terdapat milik orang lain.

Namun, bagaimana pula halnya dengan makhluk Allah swt seperti haiwan dan alam semesta. Cara apa yang mereka lakonkan untuk menterjemahkan bahasa cinta mereka. Wahai saudara-saudari sekalian, sebenarnya makhluk Allah swt ini sama halnya dengan kita ada keinginan cinta kepada sang penciptanya. Namun, makhluk Allah swt ini, ada bahasa cintanya sendiri dan hanya dirinya dan Allah swt sahaja yang memahaminya sedangkan manusia tidak mengerti akan itu. Walau bagaimanapun, kita sebagai makhluk Allah swt yang dikurniakan akal serta boleh berfikir dan mencari ilmu akan kebesaran Allah swt perlu sedar bahawa makhluk Allah swt sentiasa menunjukan kecintaannya dan kesyukurannya sepanjang masa.

Ini dikatakan oleh Allah Swt dalam firmannya “apa yang di langit dan di bumi bertasbih kepada Allah swt. Dialah Mahaperkasa, Mahabijksana.” Surah Al-Hadid;1 dan Surah As-saff;1. Sebenarnya tanpa kita sedari, itulah bahasa cinta yang mampu makhluk Allah swt itu lakukan dan hanya Allah swt dan dirinya memahami sahaja yang mengetahui akan maksud cinta yang ingin di sampaikan.

Wahai saudara-saudari sekalian, untuk membina cinta yang luhur kejernihan hati amat perlu diutamakan. Sebagaimana hadits Rasulullah Saw dari Abu Abdillah An-Numan bin Basyir ra. Berkata bahawa Rasulullah Saw bersabda”.. ketahuilah bahawa di dalam jasad itu terdapat segumpal daging, bila ia baik maka baiklah seluruh jasad itu, dan bila ia rusak (kotor) maka rusaklah pula seluruh jasad, ketahuilah bahwa segumpal daging itu adalah hati.” Riwayat Bukhari dan Muslim. Berdasarkan penjelasan hadits di atas boleh dikatakan bahawa sang pencinta perlu memiliki hati yang baik sekiranya hendak membina cinta yang baik. Jadi kita telah menyedari punca sebenar hadirnya cinta yang agung dan tulus berdasarkan penjelasan ringkas dari pembacaan sebentar tadi. Justeru itu, adakah perjalanan cinta anda selama ini seperti yang disyariatkan atau perjalanan cinta kita hanya taklid buta semata-mata. “tepuk dada, Tanya iman dan fikiran” . insyaAllah anda akan menjadi sang pencinta yang agung. “Aku Pencinta Mu”. Amin Yaa Rabb..

Sekian dari saya, segala yang baik itu datang dari Allah swt dan segala yang buruk itu berpunca dari diri Sang Penulis yang masih lalai dan leka dalam setiap perkara yang dilakukan.

Wallahu’alam....

Assalamu’alaikum w.b.t..

Friday, September 17, 2010

Aku Anakmu??



Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang;

Hati Seorang Anak??

Syukur dipanjatkan kepada sang pencipta yakni Allah SWT dengan limpahan kurnianya untuk hambanya, akhirnya jasab ini masih bisa terus melangkah dan terus-menerus melakonkan watak sepertimana yang telah engkau sandarkan ke atas diri hambamu sejak azali lagi.

Selawat dan salam keatas Nabi Muhammad SAW serta ahli kerabat keluarga baginda yang mulia atas usaha dakwahnya dalam memperjuangkan agama yang suci lagi diredhai Allah SWT bersama para sahabat, akhirnya kehidupan islam yang sempurna lagi indahnya ini dapat kita nikmati. Alhamdulillah....

Sedikit perkongsian duka seorang yang bergelar anak hatta hamba kepada Allah SWT. Moga coretan dan luahan hati ini sedikit sebanyak mengubat kerinduan yang sekian lama tersemat dilubut hatiku.

Tahun ini saya dapat beraya dengan bapa, walaupun mama tidak ada bersama. Berat rasa di hati hendak pulang ke kampung beraya kali ini. Namun hatiku ini tetap nekad juga dan selalu memikirkan orang tua yang ada di kampung. Ukiran senyuman yang terpancar bila kawan-kawan bertanya? Hai.Rusdi kenapa tidak balik tahun ini? Saya hanya tersenyum tanpa memberikan sebarang jawapan dan mula mengetengahkan cerita yang lain dari yang asal. Saya sengaja berbuat demikian kerana saya tidak mahu kawan-kawan tahu akan masalah yang saya hadapi. Hari-hari bahagia semakin terasa iaitu Hari Raya Aidilfitri.

Dalam hati terus bergelojak sama ada menurut hati hendak pulang atau sebaliknya. Saya kadang-kadang duduk seketika dan bersandar di tiang-tiang masjid untuk mendapatkan solusi yang terbaik. Namun, dalam benakku, saya terasa ingin pulang dan berjumpa dengan bapa, macik dan kawan-kawan lama. Saya fikir, tahun ini saya nak menitiskan air mata kegembiraan di kampung walaupun hanya diketahui diri saya sendiri. Sangat berbeza nada tangisan di kampus barbanding di kampung sendiri. Perasaan itu amat terasa di mana titisan air mata berlinangan di pipi bila melihat paras rupa bapa walaupun hanya melihatnya dicelaan pintu bilik.

Ya Allah... betapa tabahnya hati bapaku ini. Anak-anaknya yang ramai pergi entah ke mana. Khabar berita tak kunjung tiba. Telefon tersedia menunggu saat panggilan yang datang dari mereka. Saya sedih mengenang nasib ini. Kenapa lah ini berlaku ke atas diri bapa dan mama. Bapa dan mama, adik minta maaf sekiranya adik pernah buat dosa. Adik selalu fikirnya bukan-bukan tentang bapa dan mama. Bapa dan mama, yakin lah adik berbuat demikian demi keharmonian keluarga kita.
Adik sayangkan bapa dan mama. Begitu juga dengan kakak dan abang yang ada di seberang sana. Juga menyanyangi bapa dan mama. Tapi mereka semua setiap tahun tidak pernah menghubungi bapa dan mama. Tanya khabar pun tidak apalagi untuk pulang bertemu bapa dan mama. Bapa dan mama, dosa apa yang bapa dan mama lakukan sehinggakan mereka berbuat begitu.

Ya Allah...berilah hidayah kepada mereka. Janganlah siksa batin kerinduan kedua orang tuamu. Mereka masih hidup masih bernafas. Kenapa sanggup membiarkan mereka tersiksa yang masih mempunyai perasaan.

Sedarkah kita abang dan kakak. Abang dan kakak ada anak-anak seperti mana bapa dan mama mempunyai anak seperti abang dan kakak. Adakah abang dan kakak nak saksikan perkara yang sama berulang. Setahu adik, Allah SWT Maha Adil terhadap sesuatu perkara termaksudlah hal-hal yang berkaitan dengan makhluk ciptaannya. Mahukah abang dan kakak diperlakukan sedemikian seperti mana abang dan kakak memperlakukan bapa dan mama.

Abang?,Abang Rusdi!! Terdengar suara kecil memanggil namaku. Siapakah dia?? Bahuku dipegang dari belakang seperti ada hal yang sangat penting ingin dibicarakan. Abang Rusdi tanyanya lagi?? Aku terkejut dengan situasi tersebut. Astagfirullah!! Aku melamun dibangkuh hadapan kereta yang saya naiki. masyaAllah!! Abang minta maaf adik?
Sebenarnya saya balik kampung bersama kenalan tahun 1 pelajar ums. Namanya Faizal yang berasal dari negeri perak. Kebetulan tahun ini tak balik beraya dengan keluarga di kampung. Saya pun ajaklah sekali berkunjung ke rumah.

Faizal terus kembali meneruskan perbualan dengan pemandu masa itu. Macam-macam lah topik yang mereka bahaskan. Saya pun malas nak ikut campur kerana topik yang dibicarakan nampaknya tak menepati cita rasa saya. Saya kembali termenung setelah itu.

Saya terus bermonolog dalam, walaupun mata masih berkedib-kedib melihat pemandangan yang indah lewat cermin kereta kancil itu. Ya Allah....hatiku memohon?? Adakah hambamu ini masih bisa merasakan kasih sayang dari kedua orang tuaku. Ataukah saya tidak memahami bahasa cinta mereka terhadap diriku. Apa yang pasti, saya langsung tidak merasakah aurah kasih sayang mereka terhadapku. Mereka asyik dengan tugasan yang tak pernah ada siapnya.

Ya Allah..tabahkan hati hambamu yang lemah ini. Hambamu sedar akan ujianmu kerana engkau lebih tahu apa yang terbaik untuk hambamu. Saya hanya mampu berdoa agar saya tetap terus bersabar mengharungi dugaan ini. Dengan bekalan tarbiyah agama yang terus diberikan oleh saudara-saudara muslim di UMS akhirnya saya masih mampu untuk terus bersabar menahan saat bahagia bersama kedua orang tuaku yang mungkin tak tergapai. Alhamdulillah saya masih bisa mempunyai kesempatan mendapatkan kasih sayang walaupun hanya bersama dengan ikhwah-ikhwah ums.

Saya tetap gembira kerana masih diberi kesempatan untuk memiliki orang tua. Apa yang pasti, disebalik peristiwa ini Allah swt hendak mengajarkan betapa pentingnya untuk bersedia bersabar dan terus berusaha mengatur cara hidup yang disyariatkan oleh islam. Hal ini kerana, sesuatu yang bernyawa akan pergi jua. Jadi, saya kena sedar bahawa ini adalah permulaan untuk saya mengahadapi saat itu.

Rusdi..yakinlah bahawa ada lagi orang yang derita berbanding dirimu. Apa yang pasti, sandarkan ini semua kepada Allah swt kerana Allah swt mencintai makhluknya sekiranya Hambanya itu mencintainya lebih dari segala-galanya. Sesungguhnya cintaku yang pertama hanya milikmu Ya Rabb???

Amin yan rabbal alamin.......

bestNya BerRaya...



Assalamu’alaikum W.B.T...

Alhamdulillah dengan izin Allah SWT akhirnya saya terdetik untuk menulis nukilan yang tidak seberapa ini. Dengan bekalan ilmu yang sedikit ini, saya akan dengan sebaiknya menghasilkan bahan bacaan ringkas untuk para pembaca yang saya hormati sekalian. Insyaalllah dengan sedikit perkongsian ilmu ini mampu mengembalikan kita dengan fitrah diri kita sebagai manusia sebernarnya yang tak sempurna.

Selawat dan salam kepada Rasul junjungan kita iaitu Nabi Muhammad SAW. Dengannya kita dapat menikmati kehidupan sebagai seorang muslim sejati yang beriman. Amin?
Sedikit perkongsian cerita dengan saya berkenaan “Sambutan Hari Raya Aidilfitri” yang melibatkan sekelompok kaum di Negeri Sabah. Kaum yang di maksudkan di sini ialah suku Kaum Bugis yang hampir kita boleh temui di sekitar tempat di seluruh Sabah. Menurut saya, Kaum Bugis ini sangat banyak ditemui di sekitar Bandar Tawau, Bandar Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Kota Kinabalu,Telupid dan Kota Marudu.

Walau bagaimanapun, saya hendak menceritakan sambutan perayaan Kaum Bugis di kawasan Kota Marudu bagaian Daerah Pitas iaitu Kg Senimpul atau lebih dikenali Kg Seribudaya. Kg Seribudaya itu sinonim dengan nama Kilang Kayu yang ke-3 terbesar di Sabah itu, namun kilang tersebut telah berhenti beroperasi sejak tahun 2001. Selain itu, Kg senimpul juga didiami oleh berbilang kaum iaitu kaum Bajau, Suluk, Bisaya, Dusun, Cina, Bugis, Jawa,Timor,dan Sungai. Atas dasar itu juga Kg Senimpul dikenali sebagai kampung yang mempunyai seribu budaya kerana ekoran penduduknya yang pelbagai. Penerangan ringkas tersebut dapat memberi gambaran tentang penghuni Kg Seribudaya atau Kg Senimpul.

Baiklah di sini saya akan menceritakan pengalaman saya semasa berhari raya di Kg Seribudaya bersama suku kaum saya sendiri iaitu Kaum Bugis.
Sebelum bermulanya Bulan Ramadhan Kaum Bugis selalunya membuat kenduri ringkas sebagai tanda menyambut kedatangan bulan yang penuh berkah ini. Setahu saya, amalan ini bukan sahaja diamalkan oleh Kaum Bugis bahkan pendududk bukan Bugis turut melakukannya. Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat dinanti-nantikan bagi kaum ini. Kenapa ya??

Menurut pengalaman saya, Bulan Ramadhan adalah bulan di mana Kaum Bugis “time” atau cuti bekerja. Di kawasan kg itu, pekerjaan Kaum Bugis hanya seorang nelayan dan berniaga dengan hasil nelayan yang diperolehi. Alhamdulillah, pekerjaan yang halal sekiranya dengan niat untuk mendapat redha Allah swt dan dijalankan dengan penuh jujur dan ikhlas.

Sepanjang sebulan Ramadhan kaum ini akan terus menerus mengerjakan ibadah puasa dan solat sunat terawih sebagaimana yang lain melakukannya. Selain itu, Tadarus Al-quran dan Selawat adakalanya dilakukan oleh penduduk kampung di surau sekiranya ada kelapangan. Itulah antara aktiviti rutin yang dilakukan oleh kaum ini. Semoga Allah meredhainya dan menerima amalan kita di akhirat kelak. Amin ya rabbal alamin??
Maha suci Allah pentadbir makhluk yang tiada bandingannya. Akhirnya seminggu lagi Hari Raya Aidilfitri akan menjelang. Kaum Bugis semakin hari semakin sibuk nampaknya?? Maklumlah banyak lagi yang perlu dilakukan sebelum raya tiba. Walau bagaimanapun, hari raya semakin terasa hangatnya.

Kaum ini, akan bersiap sedia memyambut hari yang penuh bermakna ini iaitu Hari Raya, iaitu hari kemenangan sepanjang menjalani ibadah puasa selama sebulan. Anak-anak mula merungut dan meminta-minta. Mak mau beli itu mau beli ini. Biasalah kanak-kanak semakin hari semakin memahami apa sebenarnya hari raya. mak dan bapa pun senang kerana bukan selalu detik segembira ini kita rayakan.

Macik-macik dan pacik-pacik semakin sibuk dengan kerja masing-masing untuk menyambut raya yang semakin hampir. Macik sibuk dengan kuih-muihnya dengan menghiasi ruangan dalaman rumah. Manakala, pacik sibuk pula dengan kerja-kerja memperbaiki takkalah ada bahagian sudut rumah yang tercompang –camping. Pacik juga tak terlepas memehatikan tiang-tiang rumah yang semakin rapuh. Risau pula, seronok-seronok menyambut kedatangan tetamu yang tak putus-putus berkunjung tiba, akhirnya jatuh ke laut atas sebab tiang rumah patah. Macam-macam dalam fikiran pacik ini. Maklumlah nak pastikan raya kali ini lebih bermakna berbanding raya yang telah lalu.

Sehari sebelum raya, akhirnya kuih-muih, hiasan dalaman dan luaran rumah dan nyalaan pelita disekitar rumah semakin memberi tanda bahawa raya betul-betul akan diraihkan keesokan harinya.


Malam takbir merupakan malam kesibukan tahap maksimum kerana macik pacik, abang, akak, dan adik-adik akan duduk dalam satu bulatan yang cantik takkalah mereka sekeluarga bergotong-royong menyiapkan hidangan wajib Kaum mereka. Tanpanya raya kali ini serba kekurangan dan hidangan raya tahun ini tidak membangkitkan selera. Waahh, tidak lain dan tidak bukan ialah makanan dikenali sebagai Burasak.

Burasak diperbuat daripada beras biasa di mana akan rebus separuh masak. Selepas itu, beras rebus separuh masa itu akan diadunkan dengan santan yang telah dicampurkan dengan sedikit garam. Ini bertujuan untuk memberi sedikit perisa kepada Burasak tersebut. Beras yang telah sempurna diadunkan akan dibungkus dengan daun pisang dengan bentuk segi empat kurang tepat. Setelah itu, Burasak yang selasai dibungkus akan diikat bagi mengelakan bertaburan apabila dimasak nanti. Jangka masa untuk memasak Burasak ini agak lama dan mengambil masa sekitar 4 jam ke 5 jam. Bukan mudah nak menghasilkan Burasak yang sedap dan berkualiti. Semestinya memerlukan pengorbanan dari segi masa dan kesabaran sehinggalah ianya benar-benar masak.
Untuk memastikan Burasak masak atau tidak, biasanya kita akan melihat kodisinya sebelum kita memutuskan Burasak telah masak atau tidak. Paling mudah, ambil seikat Burasak dan buka. Kemudian lihat bahagian tengah Burasak itu. Sekiranya terdapat buraian beras yang belum mampat antara satu sama lain, ini bermakna Burasak kita belum mencapai tahap matang.

Semestinya dalam Kaum Kugis kehadiran resepi itu tidak asing lagi kerana ianya akan melengkapkan hidangan semasa hari raya. cuba kita lihat, semasa kita berkunjung di rumah-rumah orang Bugis tak kiralah sama ada di kawasan kampung atau di Bandar, nescaya anda akan melihat bungkusan daun pisang yang tersusun rapi seperti batu-bata diatas Pinggan atau Basket. Saudara-saudari sekalian, banda itu adalah Burasak orang Bugis.

Saya akui. Saya peminat utama Burasak ini. Raya baru-baru ini, saya langsung tak mengusik nasi untuk beberapa hari kerana saya lebih berminat makan Burasak. Apatalagi dengan lauk Sambal Ikan Bilis yang pedas, dan Ayam Masak Lingkuas MasyaAllah makanan percuma saya nak bayar. Sungguh hebat tarikan Burasak bagi yang suka makan. Jangan tak rasa???

Walau bagaimanapun, perasaan kecewa tidak dapat dielakan apabila musim perayaan. Hal ini kerana, Kaum Bugis lazimnya suka memasak makan pelbagai jenis dan terlalu banyak. perbuatan ini menunjukkan bahawa Kaum ini selalu membazir makanan. Makanan yang banyak dibuang. Bukankah itu kerja yang buruk dan sangat ditengah oleh agama. Dalam islam perbuatan membazir adalah perbuatan syaitan. Adakah kita mau menjadi antara golongan tersebut sedangkan kita sekarang tengah seronok berhari raya. ketahuilah syaitan telah dilepaskan kuncinya setelah berakhirnya bulan ramadhan. Perbuatan ini juga menunjukkan kita masih belum memanfaatkan sepenuhnya Bulan Ramadhan bahkan kita masih lagi berkelakuan tidak baik walaupun belum hampir seminggu Bulan Ramadhan meninggalkan kita.

Di sini, saya mengingatkan saudara-saudari sekalian dan terutamanya untuk diri saya sendiri supaya bersiap sedia menghadapi Bulan Ramadhan dengan penuh ikhlas dan mengharapkam ampunan dari Allah SWT, bukannya kita bersedia menyambut Hari Raya yang menjerumus kita dengan amalan syaitan iaitu pembaziran. Saya harapkan hari raya yang akan datang, insyallah sekiranya umur masih dipanjangkan oleh Allah SWT. Marilah kita menyambut hari raya dengan keadaan bersederhana.

Sebelum itu, saya memohon maaf sekiranya artikal ini menyakitkan hati mana-mana pihak kerana ini semua pengalaman yang benar-benar terjadi. Bahkan ianya berlaku dalam kelompok kaum saya sendiri.

Apa yang baik itu datangnya dari Allah SWT, manakala keburukan itu disandarkan pada diri hamba yang lemah dan cetek ilmu ini. Sebarang teguran dan cadangan membina amat saya alu-alukan.

Assalamu’alaikum W.B.T

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...