Pages

Thursday, September 27, 2012

Cerpen: Uhibbukafillah (3)



Jangan Berhenti berharap!

“Akhi, ini ujian Allah SWT kepada diri anta. Jangan berhenti berharap dari-Nya. InsyaAllah, akan ada jalannya.” Ujar Faris Aiman.

“Faris, ana sangat mengharapkan bantuan ni. Inilah satu-satunya jalan untuk ana. Tapi..”

Zafwan Ar-Rasyidhi tidak mampu berkata apa lagi. Tangisan dan kesedihan semakin menguasai dirinya. Keadaan semakin suram. Faris Aiman tidak mahu lagi mengganggu kesedihan sahabatnya. Zafwan Ar-Rasyidhi melayani kesedihannya. ‘Bila kesedihannya mula reda, saya akan memberikan cadangan  dan membantunya. Saya mesti membantunya. Ini tangungjawab saya sebagai seorang sahabat dan selalu berdamping dengannya.’ Monolog Faris Aiman.

Sambil memandu, Faris Aiman mendapatkan telefonnya dan menaip sesuatu. Butang send ditekan. Zafwan Ar-Rasyidhi hanya memerhati sekilas tanpa disedari oleh sahabatnya.

Cuaca pada hari itu agak kurang baik. Hujan lebat sepanjang hari menyebabkan perjalanan semakin terhad. Selesai sahaja urusan menghantar borang bantuan zakat siswa dengan keputusan yang mengecewakan kerana ditolak. Mereka beransur pergi dengan harapan yang hampa. Zafwan Ar-Rasyidhi sangat kecewa pada masa itu. Faris Aiman turut merasakannya. Kita hanya mampu merancang dan berusaha, namun Allah jualah yang menentukannya.

Isyarat mesej menerjah masuk ke telefon bimbit Faris Aiman memecahkan kesepian bicara antara mereka berdua.

“Akhi, anta kena kuatkan semangat. Ana yakin pasti ada jalannya. Takkan anta mau lepaskan tawaran sambung belajar hanya kerana permohonan anta untuk mendapatkan bantuan ditolak. Ada cara lain lagi, insyaAllah.” Faris Aiman cuba menguatkan semangat sahabatnya.

“Anta sudah tanya dengan keluarga terdekat dan kawan-kawan anta tentang masalah ini. Ana yakin akhi, mereka akan membantu. Tapi anta kena cuba dulu, kalau tidak mana mungkin kita tahu mereka mau membantu atau tidak.” Lanjutnya.

Faris Aiman amat dikenali sebagai seorang sahabat yang kurang bercakap. Namun, dalam bab memberi nasihat, pantang melihat sahabatnya bermasalah. Ada saja kata-kata motivasi dan cadangan penyelesaian yang cuba diberikan. Sebab itulah, Zafwan Ar-Rasyidhi lebih selesa berdamping dengannya walaupun personaliti mereka jauh berbeza. Pendek kata dua sahabat ini saling melengkapi antara satu sama lain.

“Akhi, esok pendaftaran universiti bermula. Mana mungkin, keluarga dan kawan-kawan mampu menyediakan wang yang cukup membiayai yuran pendaftaran. Hatta, ana beritahu hari ini akhi.” Zafwan Ar-Rasyidhi menjelaskan.

“Ana tangguh sajalah tawaran ni.” Lanjutnya. Mata Zafwan Ar-Rasyidhi berkaca-kaca semula.

“Tungguh akhi, jangan cepat sangat buat keputusan. Anta sekarang ni dalam keadaan emosi dan tidak stabil. Sebaiknya anta bincang dulu dengan sahabat-sahabat yang lain.” Faris Aiman mencadangkan.

“Untuk pengetahuan anta, kakak ana bersedia membantu separuh yuran pendaftaran. Selebihnya, ana cadangkan anta maklumkan dengan sahabat-sahabat lain. Yakinlah akhi, Allah sentiasa membantu sekiranya kita benar-benar ikhlas. Ana yakin, anta sambung belajar ini pun bukan untuk kepentingan peribadi, tetapi anta mahu menyumbang dan meneruskan keberlangsungan dakwah ilallah.” Tegas Faris Aiman.

Zafwan Ar-Rasyidhi teliti mendengarkan kata-kata sahabatnya. Kata-kata itu sangat membumi. Membangkitkan semangat dan menyentuh hati bagi sesiapa yang mendengarkannya. Air mata Zafwan Ar-Rasyidhi masih kelihatan bukan kerana kesedihan borang tawaran bantuan zakat siswanya ditolak. Namun, kagum dan beruntung kerana Allah menganugerakan seorang sahabat yang memahami dan setia. Wajah Zafwan Ar-Rasyidhi menunjukkan perubahan. Wajah sedih dan berduka berubah menjadi wajah yang mengukirkan senyuman. Senyuman penuh syukur dan pengharapan kepada Allah SWT. Dia Maha Berkuasa dan Maha Kaya.

“Jazakallah akhi. Allhamdulillah , sekarang ana faham. Ana sepatutnya tetap kuat dan terus mengharapkan bantuan Allah SWT. Allahlah yang membantu hamba-hambanya. Tidak sangka pula, pertolongan Allah itu dekat. Hanya disebelah ana iaitu anta. Allah menurunkan pertolongan lewat anta.” Zafwan Ar-Rasyidhi meluahkan.

“InsyaAllah akhi, ini percaturan Allah SWT. Sebab itulah kita kena yakin akan pertolongan Allah. Jangan berhenti berharap dengan kebaikan-Nya. Semoga ana terus menjaga keikhlasan hati ana akhi. Doakan ya.” Faris Aiman mengingatkan untuk dirinya dan sahabatnya.

“InsyaAllah akhi.” Balasnya.

Faris Aiman hanya mampu tersenyum. Bahu sahabatnya ditepuk dua kali menunjukkan dia akan sentiasa menjadi pendorong saat sahabatnya berada dalam kesusahan. Mereka saling berpandangan. Senyuman Faris Aiman tidak pernah lekang. Zafwan Ar-Rasyidhi terhibur dengan senyuman sahabatnya. Senyumannya juga mula terukir. Senyuman kegembiraan dan kebahagiaan dengan penuh kesyukuran kepada-Nya.

‘Akhi, ana uhibbukafillah.’Bisik hati Zafwan Ar-Rasyidhi. Kalimah itu, tidak mampu ku ungkapkan secara zahir. Semoga Allah, menyampaikan bisik hati ini kepada sahabatku.

“Akhi, teruskan pengajian anta di peringkat Master ya. Pastikan esok datang mendaftar.” Faris Aiman mengingatkan.

“Baiklah akhi.” Balas Zafwan Ar-Rasyidhi.


Saturday, September 8, 2012

Jangan Buang Masa lagi!


Roda Kehidupan

Hidup Umpama Roda. Ya memang kehidupan kita umpama roda. Kehidupan kita akan sentiasa berputar. Masa yang kita lalui akan semakin jauh meninggalkan kita. Begitu juga kehidupan kita semakin hampir ke penghujung usia kita. Oleh itu, pandulah roda kehidupan itu ke jalan yang diredhai-Nya.

Mati dan Hidup itu ujian

Mati kemestian yang akan berlaku kepada makhluk yang bernyawa. Namun, kita sebagai hamba ciptaan-Nya hanya perlu menyakini kematian itu. Kematian yang akan memisahkan kita daripada apa yang kita miliki sekarang ini. Harta, isteri, anak-anak, ibubapa, dan sahabat tidak mampu berbuat apa-apa sekiranya Allah SWT mengkehendaki kematian itu.

Allah SWT berfirman; “Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga).” (Ali-Imran 3: 14)

Hidup ini penuh ujian. Mati dan hidup adalah ujian. Kesenangan dan kesusahan juga itu adalah ujian. Namun, sebagai hamba yang beriman kepada-Nya akan menjadikan sebarang ujian yang menimpanya sebagai wadah untuk beriman dan semakin bertakwa.

Allah SWT berfirman; Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Al-Mulk 67:2)

Erti Hidup

Dengan putaran masa yang tidak pernah lelah. Tidak menunggu bagi manusia yang leka. Oleh itu, kehidupan ini mesti kita fahami dan cuba memaknai. Memaknai erti hidup di dunia sebagai hamba Allah SWT memberi kesempatan bagi kita menuju jalan cahaya. Jalan yang dilalui oleh orang-orang beriman dan bertakwa. Mengimpikan syurga dan bertemu Sang Pencipta-Nya.

Allah SWT berfirman; “Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.” (Adz- Dzaariyaat 51: 56)

Masa kita

Allah SWT berfirman; Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran. (Al-‘Ashr 103:1-3)

Masa kita adalah masa yang kita alami sekarang. Masa yang lalu telah berlalu bukan miliki kita lagi. Masa yang akan datang pula belum tentu menjadi milik kita. Jadi, sangatlah rugi jika masa sekarang ini kita sia-siakan. Masa berlalu tanpa makna. Rugi dan sangat rugi.

Oleh itu, manfaatkan masa kita. bukan sekadar mengungkapkan masa itu emas. Sebenarnya, masa itu lebih bernilai daripada emas. Emas boleh dicari dan dibeli jika kita mahu. Namun, masa tidak seperti itu. Masa lebih bernilai lagi.

Masa yang berlalu tidak boleh beli untuk ia kembali menjadi miliki kita. Usia kita sekarang tidak boleh dibayar untuk kita kembali muda seperti dulu.

Dalam kita memanfaatkan masa lapang, ada saja ujian mempengaruhi kita agar kita lalai menjalani kehidupan. Oleh itu, bersabarlah menghadapinya. Yakinilah, apa yang kita buat itu ada hak dan benar di sisi Allah SWT.

Maka itu, hargai masa kita!

Monday, September 3, 2012

Susahkah Mencari Sahabat Sejati?



Persahabatan itu fitrah

SAHABAT ITU: Secara fitrahnya, manusia perlukan sahabat. Tak kiralah sama ada sahabat sebagai isteri mahupun kawan sebagai seorang sahabat. Manusia  diciptakan tidak sempurna. Kerana, kesempurnaan hanya milik Allah SWT. Saya yakin, anda pun tahu. Oleh itu, kita memerlukan sahabat sebagai pelengkap kepada kelemahan kita. Penguat saat kita lemah. Menghulurkan tangan saat kita jatuh. Penghibur saat kita berduka.

Saya juga mengimpikannya dan ingin merasainya. Manisnya saat berukhuwah. Berukhuwah dengan ibubapa, abang dan adik, jiran tetangga, sahabat, rakan sekolah, guru, dan masyarakat kerana-Nya. Tapi saat ini, kita belajar di alam IPT. Maka itu, kecenderungan hubungan ukhuwah kita hanya kepada rakan-rakan atau sahabat. Berjuang bersama-sama mencapai cita-cita dijalan-Nya. ‘Cemerlang Akademik dan Cemerlang Dakwah.’

Sahabat umpama pesaing

Allah SWT berfirman;
“Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang ia menghadap kepadanya. Maka berlomba-lombalah (dalam membuat) kebaikan. Di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Al-Baqarah 2:148)

Sahabat umpama  pesaing. Bersaing antara satu sama lain ke arah satu matlamat. Berlomba-lomba dalam kebaikan. Hanya mencari redha-Nya. Menjalinkan ukhuwah kerana-Nya. Dengan  mengharapkan cintanya sampai ke syurga.

Saya pernah mengalami situasi ini. Bahkan setiap hari saya merasainya. Berlomba-lomba dalam kebaikan. Kekadang teringat juga kisah para sahabat. Kisah Saidina Umar dan Saidina Abu Bakar. Mereka bersahabat dan berlomba-lomba dalam mengejar kebaikan. Saya seolah-olah mengalami kisah yang sama. Namun, kisah persembahan yang berbeza daripada kisah sahabat Rasulullah SAW .

Saya tercabar apabila melihat sahabat saya melakukan amal ibadah. Maksudnya saya bukanlah nak menghalang dan memudaratkannya daripada melakukan amal ibadah. Apatalagi  mengancam untuk berhenti mengerjakannya. Akan tetapi saya seakan-akan mendapat aura dan kuasa apabila melihat sahabat saya selalu membaca al-quran. Pantang ada masa lapang. Al-Quranlah yang akan dibacanya.

Sejak belakangan ini, saya sering bertanya jumlah juz bacaan al-qurannya. Jawapan yang diberi adalah selalu diluar jangkaan. Selalu saja dia lebih banyak daripada bacaan saya.

Saya teringat kata-katanya  ramadhan lepas. Ketika itu puasa yang keenam. Katanya.

“Akhi, ana lihat anta ni lebih banyak baca buku daripada baca al-Quran.”

Mendengarkan kata-kata itu, saya terjeda. Diam seribu bahasa.

‘Benar katamu akhi’ Hatiku berdesis.

Mulai saat itu, saya mula menanamkan azam. Azam untuk membaca al-quran dengan banyak dan memahami terjemahannya. Saya juga yakin dan berani menetapkan target bulan ramadhan iaitu mengkhatam al-Quran 30 Juzuk. Maklumlah bacaan al-Quran saya tidak lancar dan tersekat-sekat. Namun, saya terus menguatkan azam dan tidak memberi alasan. Dengan berbekalkan keyakinan kepada Allah SWT dan kata-kata motivasi daripada sahabat saya. Alhamdulillah dengan izin Allah, saya berjaya mengkhatam al-Quran 30 Juzuk. 

Doakan semoga semua amal ibadah kita niat ikhlas kerana Allah SWT.

Teringat pula hadits Rasulullah SAW berkenaan dengan niat. Beliau bersabda yang bermaksud “ terimanya amalan anak adam itu bergantung apa yang diniatkannya.” (HR Muslim)

Terima kasih Allah.

Terima Kasih Sahabat.

Banyak lagi kisah-kisah sahabat saya menyebabkan diri sentiasa disaingi. Persaingan yang sehat dalam beramal ibadah. Beribadah hanya mencari keredhaan-Nya.

Hakikat seorang sahabat

Sahabat sebenarnya ada dua macam iaitu sahabat yang membawa kita ke syuga dan sahabat yang akan mengcampakkan kita ke dalam neraka. Namun, hakikat sahabat hanya ada satu iaitu sahabat yang akan membawa kita ke syurga.

Sahabat jenis  ini membuatkan kita sering mengingati Allah SWT. Apabila kita banyak mengingati Allah SWT, Hati akan menjadi tenang.

Sebagaimana firman-Nya “..perbanyakkanlah mengingati Allah SWT, kerana dengan mengingati Allah SWT, hati akan jadi tenang..” (Ar-Rad’ 13:28)

Itulah hakikat seorang sahabat. Susah senang setia bersama. Berasa tenang ketika bersama. Berasa kekurangan ketika terpisah. Semua itu terjadi jika bahan binaannya adalah iman. Apabila ikatan ukhuwah atas dasar iman.

Yakinlah firman Allah SWT yang bermaksud; “Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.” (Ali Imran 3: 103)

Bersahabatlah semata-mata mencari redha Allah SWT. Tidak lebih dari itu!

Nescaya Allah SWT akan menenangkan jiwamu. Meneguhkan kedudukanmu. Merapatkan saf atau barisan dakwahmu agar tercapai impianmu iaitu mati syahid dijalan-Nya.

Bagaimana dengan anda?

Sudahkah anda menemui sahabat seperti ini. Jika belum lagi, jangan berputus asa. Teruskan memperbaiki diri. Memohon doa kepada Allah SWT. InsyaAllah, Allah SWT akan menghadiakan sahabat yang soleh untukmu.

Yakinlah.

Tip menjadi sahabat

Dalam membina persahabatan, terdapat beberapa tip menjadi sahabat sejati dan mendapatkan sahabat sejati. Bukan main hentam saja. Sebab itulah ada sesetengah kawan kecewa dalam persahabatan. Kecewa seperti putus cinta dan ditinggalkan kekasih. Seakan-akan kawan sedia ada tidak wujud baginya kerana sahabat yang disayanginya pergi meninggalkannya.

Saya tidak mahu perkara ini berlaku kepada diri kita. Maka itu, kita mesti ada resepi-resepi untuk membina persahabatan.  Antaranya ialah;

-Bersahabat kerana Allah SWT.

Dalam persahabatan kita perlu ikhlas. Ikhlas ini hadir apabila niat dan hati kita bersih. Bersih daripada perkara-perkara yang Allah SWT tidak redha. Bersahabat kerana Allah SWT bukan kerana harta, kepintaran, keturunan, nafsu syahwat, pengaruh, kuasa dan sebagainya. Kita bersahabat untuk mendapatkan pahala daripada Allah SWT bukannya mengharapkan kebaikan kita dibalas oleh sahabat kita.

-Bersahabat perlu berlapang dada.

Sahabat adalah orang yang sangat rapat dengan kita. Boleh dikatakan aktiviti harian kita diketahuinya. Kekadang kita banyak persamaan dengannya seperti makanan dan minuman kegemaran, sukan, hobi dan prinsip hidup.

Oleh itu, hati kita mudah tersentuh dan terguris apabila sahabat kita berubah perilaku dan berkasar bahasa dengan kita. Jadi, cara untuk mengatasi masalah hati ini agar tidak terkecewa dan persahabatan terus berkekalan ialah berlapang dadalah. Cubalah untuk memahami. Berdoalah kepada Allah SWT agar persahabatan itu berkekalan.

-Mampu beritsar dalam persahabatan.

Itsar merupakan peringkat Ukhuwah (persahabatan) yang tertinggi. Itsar bermaksud melebihkan sahabatnya berbanding dirinya sendiri. Mampu tak! Saya yakin kita mampu buat. Apa penting teruskan pergantungan kepada Allah SWT dan berusaha mencapai ke arah itu.

Ini pernah dibuktikan oleh kaum Ansar dengan kaum Muhajirin semasa peristiwa hijrah Rasulullah SAW ke Madinah.

Bagaimana dengan diri kita?

Mampukah?

Terserah kepada diri masing-masing. Sekiranya bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Tidak mustahil anda akan mendapatkannya.

-Wujud kefahaman yang sama berkenaan makna persahabatan.

Ada juga antara kita masih kurang memahami erti persahabatan. Ada juga memahami erti persahabatan tetapi kefahamannya hanya untuk dirinya. Manakala sahabatnya pula tidak memahami erti persahabatan. Pendek kata ‘bertepuk sebelah tangan, tak mungkin berbunyi.’

Kita sudah berbaik dengannya, tetapi dia tidak menghiraukan kita. Kekadang, kehadiran kita tiada erti baginya.

Sekiranya kita berhadapan situasi ini. Saya sarankan jangan cepat menghukum dan berputus asa. Kemudian nekad tidak mahu mencari sahabat. Jangan begitu kawan.

 Mungkin dia tidak faham maksud kita bersahabat dengannya atau dia tidak tahu apa erti persahabatan dalam kehidupan.

Jadi, peranan kita yang tahu erti persahabatan, fahamkan apa itu persahabatan. Kenapa perlu ada sahabat. Banyak lagi cara yang boleh kita gunakan seperti hadiahkan buku berkenaan kisah persahabatan, ajak makan bersama, beriktikaf bersama, dan jalan-jalan bersama. InsyaAllah, sekiranya perkara tersebut dilakukakan hanya mencari keredhaan Allah SWT. Tidak mustahil anda akan bahagia dan tenang bersama sahabat anda.

Begitu juga dengan mereka yang tidak faham erti persahabatan. Jangan duduk diam. Berusaha dan korbankan sedikit masa membaca buku dan artikel berkenaan persahabatan. Aktif bertanya jika perlu.
Selamat mencuba.

Doaku, buatmu  sahabat

Ya Allah jernihkan niatku.
Ya Allah, aku insan yang lemah memerlukan pertolongan makhluk setelah memohon dengan-Mu.
Ya Allah, kini aku berada jauh daripada keluarga tercinta.
Aku hanya berharap perhatian dari-Mu.
Namun, aku inginkan teman sebagai sahabat.
Saat aku diberjauhan dengan keluarga tercinta,
 Aku ingin berdamping dengannya, agar aku kuat menghadapi dugaan dijalan-Mu.
Ya  Allah, aku hanya hamba-Mu yang tidak sempurna dan serba kekurangan.
Maka itu,Ya Allah, Hadirkanlah seorang sahabat yang soleh untukku.
Seorang sahabat sebagai pelengkap akan kekuranganku.
Amien Ya Rabbal ‘alamin.

Bersahabatlah kerana Allah SWT, kerana Allah SWT pemilik sekalian makhluk. Dialah yang menemukan kita dengan sahabat sejati kita.


 P/S: Karya Asli Hadi Muslim.Com. Hak Cipta Terpelihara -04/09/2012. Masjid UMS Kampus Kota Kinabalu.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...