Pages

Monday, September 3, 2012

Susahkah Mencari Sahabat Sejati?



Persahabatan itu fitrah

SAHABAT ITU: Secara fitrahnya, manusia perlukan sahabat. Tak kiralah sama ada sahabat sebagai isteri mahupun kawan sebagai seorang sahabat. Manusia  diciptakan tidak sempurna. Kerana, kesempurnaan hanya milik Allah SWT. Saya yakin, anda pun tahu. Oleh itu, kita memerlukan sahabat sebagai pelengkap kepada kelemahan kita. Penguat saat kita lemah. Menghulurkan tangan saat kita jatuh. Penghibur saat kita berduka.

Saya juga mengimpikannya dan ingin merasainya. Manisnya saat berukhuwah. Berukhuwah dengan ibubapa, abang dan adik, jiran tetangga, sahabat, rakan sekolah, guru, dan masyarakat kerana-Nya. Tapi saat ini, kita belajar di alam IPT. Maka itu, kecenderungan hubungan ukhuwah kita hanya kepada rakan-rakan atau sahabat. Berjuang bersama-sama mencapai cita-cita dijalan-Nya. ‘Cemerlang Akademik dan Cemerlang Dakwah.’

Sahabat umpama pesaing

Allah SWT berfirman;
“Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang ia menghadap kepadanya. Maka berlomba-lombalah (dalam membuat) kebaikan. Di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Al-Baqarah 2:148)

Sahabat umpama  pesaing. Bersaing antara satu sama lain ke arah satu matlamat. Berlomba-lomba dalam kebaikan. Hanya mencari redha-Nya. Menjalinkan ukhuwah kerana-Nya. Dengan  mengharapkan cintanya sampai ke syurga.

Saya pernah mengalami situasi ini. Bahkan setiap hari saya merasainya. Berlomba-lomba dalam kebaikan. Kekadang teringat juga kisah para sahabat. Kisah Saidina Umar dan Saidina Abu Bakar. Mereka bersahabat dan berlomba-lomba dalam mengejar kebaikan. Saya seolah-olah mengalami kisah yang sama. Namun, kisah persembahan yang berbeza daripada kisah sahabat Rasulullah SAW .

Saya tercabar apabila melihat sahabat saya melakukan amal ibadah. Maksudnya saya bukanlah nak menghalang dan memudaratkannya daripada melakukan amal ibadah. Apatalagi  mengancam untuk berhenti mengerjakannya. Akan tetapi saya seakan-akan mendapat aura dan kuasa apabila melihat sahabat saya selalu membaca al-quran. Pantang ada masa lapang. Al-Quranlah yang akan dibacanya.

Sejak belakangan ini, saya sering bertanya jumlah juz bacaan al-qurannya. Jawapan yang diberi adalah selalu diluar jangkaan. Selalu saja dia lebih banyak daripada bacaan saya.

Saya teringat kata-katanya  ramadhan lepas. Ketika itu puasa yang keenam. Katanya.

“Akhi, ana lihat anta ni lebih banyak baca buku daripada baca al-Quran.”

Mendengarkan kata-kata itu, saya terjeda. Diam seribu bahasa.

‘Benar katamu akhi’ Hatiku berdesis.

Mulai saat itu, saya mula menanamkan azam. Azam untuk membaca al-quran dengan banyak dan memahami terjemahannya. Saya juga yakin dan berani menetapkan target bulan ramadhan iaitu mengkhatam al-Quran 30 Juzuk. Maklumlah bacaan al-Quran saya tidak lancar dan tersekat-sekat. Namun, saya terus menguatkan azam dan tidak memberi alasan. Dengan berbekalkan keyakinan kepada Allah SWT dan kata-kata motivasi daripada sahabat saya. Alhamdulillah dengan izin Allah, saya berjaya mengkhatam al-Quran 30 Juzuk. 

Doakan semoga semua amal ibadah kita niat ikhlas kerana Allah SWT.

Teringat pula hadits Rasulullah SAW berkenaan dengan niat. Beliau bersabda yang bermaksud “ terimanya amalan anak adam itu bergantung apa yang diniatkannya.” (HR Muslim)

Terima kasih Allah.

Terima Kasih Sahabat.

Banyak lagi kisah-kisah sahabat saya menyebabkan diri sentiasa disaingi. Persaingan yang sehat dalam beramal ibadah. Beribadah hanya mencari keredhaan-Nya.

Hakikat seorang sahabat

Sahabat sebenarnya ada dua macam iaitu sahabat yang membawa kita ke syuga dan sahabat yang akan mengcampakkan kita ke dalam neraka. Namun, hakikat sahabat hanya ada satu iaitu sahabat yang akan membawa kita ke syurga.

Sahabat jenis  ini membuatkan kita sering mengingati Allah SWT. Apabila kita banyak mengingati Allah SWT, Hati akan menjadi tenang.

Sebagaimana firman-Nya “..perbanyakkanlah mengingati Allah SWT, kerana dengan mengingati Allah SWT, hati akan jadi tenang..” (Ar-Rad’ 13:28)

Itulah hakikat seorang sahabat. Susah senang setia bersama. Berasa tenang ketika bersama. Berasa kekurangan ketika terpisah. Semua itu terjadi jika bahan binaannya adalah iman. Apabila ikatan ukhuwah atas dasar iman.

Yakinlah firman Allah SWT yang bermaksud; “Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.” (Ali Imran 3: 103)

Bersahabatlah semata-mata mencari redha Allah SWT. Tidak lebih dari itu!

Nescaya Allah SWT akan menenangkan jiwamu. Meneguhkan kedudukanmu. Merapatkan saf atau barisan dakwahmu agar tercapai impianmu iaitu mati syahid dijalan-Nya.

Bagaimana dengan anda?

Sudahkah anda menemui sahabat seperti ini. Jika belum lagi, jangan berputus asa. Teruskan memperbaiki diri. Memohon doa kepada Allah SWT. InsyaAllah, Allah SWT akan menghadiakan sahabat yang soleh untukmu.

Yakinlah.

Tip menjadi sahabat

Dalam membina persahabatan, terdapat beberapa tip menjadi sahabat sejati dan mendapatkan sahabat sejati. Bukan main hentam saja. Sebab itulah ada sesetengah kawan kecewa dalam persahabatan. Kecewa seperti putus cinta dan ditinggalkan kekasih. Seakan-akan kawan sedia ada tidak wujud baginya kerana sahabat yang disayanginya pergi meninggalkannya.

Saya tidak mahu perkara ini berlaku kepada diri kita. Maka itu, kita mesti ada resepi-resepi untuk membina persahabatan.  Antaranya ialah;

-Bersahabat kerana Allah SWT.

Dalam persahabatan kita perlu ikhlas. Ikhlas ini hadir apabila niat dan hati kita bersih. Bersih daripada perkara-perkara yang Allah SWT tidak redha. Bersahabat kerana Allah SWT bukan kerana harta, kepintaran, keturunan, nafsu syahwat, pengaruh, kuasa dan sebagainya. Kita bersahabat untuk mendapatkan pahala daripada Allah SWT bukannya mengharapkan kebaikan kita dibalas oleh sahabat kita.

-Bersahabat perlu berlapang dada.

Sahabat adalah orang yang sangat rapat dengan kita. Boleh dikatakan aktiviti harian kita diketahuinya. Kekadang kita banyak persamaan dengannya seperti makanan dan minuman kegemaran, sukan, hobi dan prinsip hidup.

Oleh itu, hati kita mudah tersentuh dan terguris apabila sahabat kita berubah perilaku dan berkasar bahasa dengan kita. Jadi, cara untuk mengatasi masalah hati ini agar tidak terkecewa dan persahabatan terus berkekalan ialah berlapang dadalah. Cubalah untuk memahami. Berdoalah kepada Allah SWT agar persahabatan itu berkekalan.

-Mampu beritsar dalam persahabatan.

Itsar merupakan peringkat Ukhuwah (persahabatan) yang tertinggi. Itsar bermaksud melebihkan sahabatnya berbanding dirinya sendiri. Mampu tak! Saya yakin kita mampu buat. Apa penting teruskan pergantungan kepada Allah SWT dan berusaha mencapai ke arah itu.

Ini pernah dibuktikan oleh kaum Ansar dengan kaum Muhajirin semasa peristiwa hijrah Rasulullah SAW ke Madinah.

Bagaimana dengan diri kita?

Mampukah?

Terserah kepada diri masing-masing. Sekiranya bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Tidak mustahil anda akan mendapatkannya.

-Wujud kefahaman yang sama berkenaan makna persahabatan.

Ada juga antara kita masih kurang memahami erti persahabatan. Ada juga memahami erti persahabatan tetapi kefahamannya hanya untuk dirinya. Manakala sahabatnya pula tidak memahami erti persahabatan. Pendek kata ‘bertepuk sebelah tangan, tak mungkin berbunyi.’

Kita sudah berbaik dengannya, tetapi dia tidak menghiraukan kita. Kekadang, kehadiran kita tiada erti baginya.

Sekiranya kita berhadapan situasi ini. Saya sarankan jangan cepat menghukum dan berputus asa. Kemudian nekad tidak mahu mencari sahabat. Jangan begitu kawan.

 Mungkin dia tidak faham maksud kita bersahabat dengannya atau dia tidak tahu apa erti persahabatan dalam kehidupan.

Jadi, peranan kita yang tahu erti persahabatan, fahamkan apa itu persahabatan. Kenapa perlu ada sahabat. Banyak lagi cara yang boleh kita gunakan seperti hadiahkan buku berkenaan kisah persahabatan, ajak makan bersama, beriktikaf bersama, dan jalan-jalan bersama. InsyaAllah, sekiranya perkara tersebut dilakukakan hanya mencari keredhaan Allah SWT. Tidak mustahil anda akan bahagia dan tenang bersama sahabat anda.

Begitu juga dengan mereka yang tidak faham erti persahabatan. Jangan duduk diam. Berusaha dan korbankan sedikit masa membaca buku dan artikel berkenaan persahabatan. Aktif bertanya jika perlu.
Selamat mencuba.

Doaku, buatmu  sahabat

Ya Allah jernihkan niatku.
Ya Allah, aku insan yang lemah memerlukan pertolongan makhluk setelah memohon dengan-Mu.
Ya Allah, kini aku berada jauh daripada keluarga tercinta.
Aku hanya berharap perhatian dari-Mu.
Namun, aku inginkan teman sebagai sahabat.
Saat aku diberjauhan dengan keluarga tercinta,
 Aku ingin berdamping dengannya, agar aku kuat menghadapi dugaan dijalan-Mu.
Ya  Allah, aku hanya hamba-Mu yang tidak sempurna dan serba kekurangan.
Maka itu,Ya Allah, Hadirkanlah seorang sahabat yang soleh untukku.
Seorang sahabat sebagai pelengkap akan kekuranganku.
Amien Ya Rabbal ‘alamin.

Bersahabatlah kerana Allah SWT, kerana Allah SWT pemilik sekalian makhluk. Dialah yang menemukan kita dengan sahabat sejati kita.


 P/S: Karya Asli Hadi Muslim.Com. Hak Cipta Terpelihara -04/09/2012. Masjid UMS Kampus Kota Kinabalu.


2 comments:

  1. jzzk.
    menarik. hampir menitis air mata saya baca artikel ni. saya mmg ada masalah dlm persahabatan ni. susah benar nak mencari sahabat sejati yang boleh bawa kita kejalan-Nya.

    ReplyDelete
  2. Afwan kerana sudi membacanya...Insyallah semoga saudara bertemu sahabat yang sejati. Bersatu dan berjihad dengannya untuk mencari redha-Nya. Itu doaku buatmu sahabat.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...