Hadiah untuk Umat
Akhi, kita hadiah buat umat islam. Sedarkah kita?
Ya, Diri kita ini akan kita hadiahkan untuk umat islam. Segala
apa yang kita miliki seperti jiwa, harta, ilmu pengetahuan dan bahkan nyawa
kita perlu kita korbankan dijalan Allah SWT. Itulah pengorbanan yang dijanjikan
syurga oleh Allah SWT.
Umat islam di luar sana memerlukan kita kerana kita adalah penyembuh
segala penyakit umat islam dengan izin-Nya. Penyakit umat islam seperti malas
beribadah, bercerai berai, kemiskinan ilmu, mementingkan diri, serta
penyakit-penyakit hati lainnya. Semuanya itu menjadi tanggungjawab kita untuk
membawa mereka dari kehidupan kegelapan kepada jalan cahaya.
Akhi, kita seorang Daie kerana Kita menyeruh kepada yang
makruf dan mencegah yang mungkar. Kitalah menjadi agen perubahan kepada umat
islam. Kitalah jugalah yang menentukan kecemerlangan generasi islam kelak.
Bukan orang lain lagi akhi.
Allah SWT berfirman; “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada
kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munka, merekalah
orang-orang yang beruntung.” (Surah Ali Imran 3:104)
Daie ZERO Alasan!
Adakah kita perlu berlengah dan mencipta alasan lagi?
Umat islam semakin lemas dengan dunianya. Hidup
tercungap-cungap tanpa mereka sedari. Kasihankan mereka akhi. Mereka saudara
seislam dan seagama kita. Mereka memerlukan, mengharapkan dan menunggu
kedatangan kita. Mereka mengharapkan pertolongan kita. Walaupun mereka tidak
menyuarakan suara hatinya, namun, sebagai Daie perlu merasai dan menyedari
kerosakkan yang berlaku dalam kalangan mereka.
Allah SWT berfirman;
“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara..” (Surah Al-Hujurat 49:10)
Masih adakah alasan yang menghalangi kita untuk berdakwah? Perlu
lagikah alasan-alasan yang merugikan diri kita dan menghancurkan umat islam
hadir dalam jiwa seorang Daie?
Siapa musuh Daie?
Sekiranya ada, tolong singkirkan secepat mungkin! Itu
angkara syaitan akhi. Syaitan takkan pernah berhenti menggoda kita agar kita
terasa berat berada dijalan dakwah ini. Syaitan akan berusaha mempengaruhi kita
agar kita mencipta alasan dan meninggalkan tarbiyah.
Itulah matlamat syaitan agar kita semakin jauh dengan
perintah Allah SWT. Sehinggakan kita tidak pedulikan lagi keadaan umat islam.
Kita hanya islam pada nama. Namun akhlak kita, hakikatnya sangat jauh daripada
nilai-nilai islam. Akhirnya kita semakin patuh dan setia dengan perintah
syaitan laknatullah.
Akhi, syaitan itu musuh nyata bagi kita.
Allah SWT telah berfirman; “Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka
anggaplah ia musuh(mu), karena sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak
golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala” (Surah
Faathir 35:6)
Maka, tidak wajar sekiranya kita menjadikan syaitan sebagai
teman hidup kita. Kerana syaitan akan mengajak kita lebih cenderung untuk bermaksiat
kepada Allah SWT. Kita tidak pedulikan lagi umat islam. Kita biarkan diri kita
ditarbiyah oleh syaitan. Sehingga kita lupakan Allah SWT yang menciptakan dan
memberi kita rezeki. Kita menjadi umat tidak bersyukur, tamak haloba, gilakan
pangkat, hidup bermewah-mewah, cintakan dunia dan takutkan mati, pemarah dan
sebagainya. Itulah sifat-sifat mazmumah yang diajarkan oleh syaitan kepada diri
kita. Manakala sifat-sifat mahmudah yang islam gariskan untuk kita semakin
pupus dalam jiwa kita.
Akhi, sekiranya jadi begini. Sedarlah, syaitan telah
menguasai kerajaan diri kita iaitu hati. Syaitan akan menyesatkan kita
dijalanNya. Mereka takkan pernah berhenti. Tidak mungkin berhenti sehingga
tibanya hari perhitungan Allah SWT kelak. Mereka yakni syaitan akan mendatangi
kita dari pelbagai arah. Mereka akan menyesatkan anak-anak Adam untuk
bersama-sama menjadi penghuni neraka jahanam. Itu janji mereka kepada Allah
SWT. Itulah yang perlu kita fahami akhi.
Allah SWT berfirman; “Iblis menjawab: "Karena Engkau telah menghukum saya tersesat,
saya benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus.
kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari
kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka
bersyukur (taat).” (Surah Al-A’raf 7: 16-17)
Namun, kita juga tidak boleh menyalahkannya, kerana memang
itu tugas syaitan untuk menyesatkan umat Muhammad SAW. Jadi kitalah yang perlu
bertindak dan menyediakan benteng penyelamat untuk melawan segala godaanya
iaitu kekuatan iman kepada Allah SWT.
Daie, Tarbiyah dan
Dakwah
Walaupun tarbiyah tidak memerlukan kita, tapi hakikatnya kita
memerlukan tarbiyah akhi. Tarbiyah yang akan menyedarkan dan menggerakkan kita
untuk mengamalkan islam secara menyeluruh. Bukannya berislam sekadar cukup
makan dan hanya menumpang dijalan tarbiyah tanpa ada usaha untuk mentarbiyah
orang lain.
Kita tidak mau itu akhi.
Kita mahu para Daie mentarbiyah orang lain. Mengajak orang
lain mengamalkan islam. Seterusnya bersama-sama berdakwah dijalan Allah SWT.
Kita mahu lahirkan generasi rabbani.
Allah SWT berfirman; “Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, karena kamu selalu mengajarkan
Al Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya. (Surah Ali Imran 3:79)
Akhi, dalam tarbiyah ini perjalanan dakwah dan segalanya akan bermula. Ana tertarik
dengan kata-kata imam Hasan Al-Banna; “Tarbiyah
bukan segala-galanya, tapi dalam tarbiyah bermula segala-galanya”. Kitalah
yang akan menggagalkan segala rancangan syaitan iaitu bermula dengan
mentarbiyah diri kita. InsyaAllah dengan izin Allah SWT.
Kitalah akhi!
“Tarbiyahlah kita
saling menguatkan dalam seluruh aspek kehidupan dan keimanan . Tarbiyahlah kita
mampu membentuk daie-daie yang cintakan Allah SWT dan RasulNya serta sanggup
berkorban dijalanNya. Tarbiyahlah menjadi pencetus terciptanya strategi dakwah
yang realistik. Tarbiyahlah menyebabkan kita semakin merindukan Allah SWT.
Tarbiyahlah mendorong kita semakin ghairah untuk meneruskan gerak kerja dakwah
Rasulullah SAW. Tarbiyahlah menyebabkan kita saling mencintai kerana Allah SWT.
Tarbiyahlah menyedarkan hidup ini hanya pinjaman daripada Allah SWT. Dalam
tarbiyahlah kita semakin jelas matlamat hidup kita iaitu beribadah dengan penuh
keikhlasan kepada Allah SWT.”
Ana harap, kita mampu istiqamah dijalan dakwah ini akhi.
Buanglah segala alasan yang syaitan ciptakan untuk kita.
Buanglah akhi!
Semua itu hanya merugikan diri kita sendiri. Misi dakwah
ilallah tidak akan tercapai sekiranya kita tidak mampu menyingkirkan
alasa-alasan yang tidak syari’e dalam jiwa kita.
Daie perlu bersatu
hati
Allah SWT berfirman; “Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan
janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika
kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu,
lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu
telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya.
Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat
petunjuk.” (Surah Ali Imran 3:103)
Akhi, kita perlu bersatu hati dengan berpegang teguh dengan
tali agama Allah SWT. Kekuatan iman akan terbina dengan kesatuan ini. Kita
perlu bersatu untuk meraih cintaNya. Kita juga perlu melahirkan ketaatan kepada
Allah SWT bersama Rasul-Nya. Bersatu hati dalam gerak kerja dakwah ilallah
serta berjihad untuk mencari keredhaan dan
mati syahid dijalanNya.
Itulah unsur-unsur kesatuan hati kita akhi. Tiada lainnya.
Allah SWT matlamat kita. Rasulullah SAW, Para sahabat dan para syuhada adalah
contoh ikutan kita.
Akhi, tiada jalan lain lagi. Ana dan diri antum semuanya
perlu bersatu hati untuk membentuk saf-saf dan barisan dakwah yang kukuh. Allah
SWT akan menolong dan meneguhkan kedudukan kita kerana kita membantu agama-Nya.
Allah SWT berfirman; “Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam
barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun
kokoh. (Surah Ash Shaff 61:4)
Dan seterusnya Allah SWT berfirman; “Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama)
Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Surah Muhammad
47:7)
Yakinlah akhi akan itu.
Allah SWT akan memberikan kita kejayaan kepada kita.
Kejayaan dunia dan akhirat. Bila Allah SWT berkehendak, tiada siapa yang boleh
menghalangnya. Allah Maha Berkuasa. Allah Maha Besar.
Allah SWT berfirman; “Allah jugalah yang akan mengizinkan
sekiranya ingin berlaku sesuatu” (Surah An-Najm 53:26)
Hadiah Para Daie
Raihlah ganjaran syurga yang akan Allah SWT berikan kepada
kita. Hanya untuk kita iaitu orang-orang yang hidup dan matinya hanya untuk
Allah SWT. bergembira dan nikmatilah hidangan-hidangan syurga. Puncak segala
nikmat dan kebahagian.
Itu janji Allah SWT kepada diri para Daie.
Lahirnya Daie
Sejati
Maka itu akhi, bersabarlah dijalan dakwah ini. Allah SWT
bersama kita.
Allah SWT berfirman;
“Allah bersama orang-orang yang sabar” (Surah Al-Anfal 8:46)
Ujian yang Allah SWT berikan kepada diri kita bukan untuk
ditangisi dan disesali. Namun, kita perlu menghadapi dan menjalani ujian itu
dengan keimanan yang sihat. Kejayaan mengharungi ujian dijalan dakwah ini
sebagai bukti keaslian keimanan dan pengabdian kita kepada Allah SWT.
Allah SWT berfirman; “Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan:
"Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan
sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka
sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia
mengetahui orang-orang yang dusta.” (Surah Al-Ankabut 29:2-3)
Akhi, dakwah bukan pekerjaan yang mudah
kerana jalan dakwah penuh dengan rintangan dan keperitan. Namun, dalam dakwah
kita akan menemui erti hidup yang tidak mungkin dirasai oleh orang-orang yang
tidak berada dijalan dakwah.
Erti hidup itu ialah kita sebagai hamba
Allah SWT bertakwa.
Dengan sebenar-benar ketakwaan kepada-Nya.
Akhirnya, lahirlah Daie sejati buat umat
islam.
Wallahu'alam..
Sahabat Kalian;
-Hadi Muslim-
"Everything for Allah"
Karya Asli: Hadi Muslim
31/12/12/Rumah KF/KK/Sabah/6.55Am.