Pages

Friday, June 14, 2013

Cerpen: Bimbing Aku Ke Syurga



بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

‘Aku ingin kembali pada jalan-Nya. Cukuplah apa yang telah aku lalui selama ini. Kisah hitam yang nyaris menghacurkan hidupku. Menghacurkan harapan abahku dan adik-adikku. Aku mesti kembali nekad menguatkan azamku. Azam menjadi anak yang soleh seperti azamku mula-mula menjejakan kaki di alam universiti. Dulu, inilah azamku. Seolah-olah pudar dan hilang sejak aku hanyut dengan kemaksiatan kepada-Nya. Kini, aku nekad merealisasikan hasratku. Hasrat menjadi anak yang soleh dan harapan abahku dan adik-adikku’.

Azmaul memuhasabah diri. Usai solat isyak. Inilah kalimat yang sering dilantunkan untuk dirinya. Dengan harapan Allah SWT membukakan pintu hatinya untuk kembali mengabdi pada-Nya. Azmaul juga mengharapkan agar Allah SWT menghadirkan seorang sahabat yang akan membimbingnya ke syurga. 

Azmaul menitiskan air mata kesedihan dan kesyukuran saat itu. Dia kembali sujud di atas sajadah. Lama sujudnya. Dia bertekad untuk bertaubat kepada Allah SWT. Surau kediaman ketika itu tidak berpenghuni. Hanya Azmaul. Saat itu, dia dapat bermuhasabah tanpa sebarang gangguan. Dia kembali tenang. Azmaul bangun dari sujudnya. Azamnya untuk berubah semakin ketal. Dia tersenyum sendirian. Al-quran miliknya dicapai. Azmaul mula membaca lembaran-lembaran kitab-Nya.

Dalam keasyikan membaca al-quran. Azmaul sempat mentadaburi ayat-ayat yang dibaca. Dia tertarik dengan salah satu ayat yang dibacanya. Senyumannya kembali terukir. Ucap syukur tidak terhingga hanya pada-Nya. Hebatnya Allah. Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Bisik hatinya.

Allah SWT berfirman; 

“Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Az-Zumar 39:53)
 
Azmaul menandahkan ayat itu. Dia mendapat ibrah bahawa kita tidak perlu berputus asa daripada rahmat Allah. Walau sebesar apapun dosa yang telah kita lakukan kepada-Nya. Teruslah mengharapkan rahmat dari-Nya. Sungguh Allah SWT tidak mengzalimi hamba-hamba-Nya yang ingin bertaubat. 

Azamnya untuk kembali kepada Allah SWT semakin memuncak. Dia nekad.

‘Sah. Inilah jalan yang seharusnya aku pilih. Jalan yang akan membawaku untuk merealisasikan impian abahku dan adik-adikku. Dan aku yakin. Jalan inilah juga mempertemukan aku dengan seorang sahabat yang akan membimbingku ke syurga.’ Azmaul masih dengan khayalannya.
 
****

Saya terpegun mendengarkan curahan hati Azmaul ketika itu. Azamnya begitu kuat. Saat dia jatuh seketika akhirnya dia bangkit semula mencari jalan cahaya. Jalan yang akan merealisasikan harapannya yang mulia. Seterusnya harapan itu dihadiahkan untuk abah dan adik-adiknya. Saya sedih mendengarkan curahan hatinya. Sedikit air mata sempat membasahi pipi.

Saya juga kagum dengan kecekalan hatinya untuk berubah. Bait kata yang dilontarkan seolah-olah untuk diri saya.

Entah mengapa saya berfikiran sebegitu? 

Adakah ini petanda bahawa akan hadirnya tanggungjawab baru buat saya?

Adakah Azmaul telah menemukan sahabat yang tepat yang akan membimbingnya ke syurga? Adakah sahabat yang dicari itu adalah saya?

Mampukan saya membimbingnya ke syurga seperti yang diharapkan oleh Azmaul?

Bertalu-talu soalan bergelegar di kotak pemikiran saya. Kenapa Azmaul terlalu yakin dan percaya dengan saya sehinggakan semua kisah hidupnya diceritakan satu persatu?

Saya masih ingat kisah pertemuan kami dahulu. Ketika itu di surau kediaman universiti. Kebetulan malam itu saya ada majlis taklim bersama pelajar baru sekitar jam8.30 malam. Lepas isyak mengikut waktu Negeri Sabah di Kota Kinabalu.

Saya datang awal ketika itu. Pelajar-pelajar baru masih belum kelihatan bertandang ke surau itu. Hanya Azmaul di surau. Setibanya di surau saya terus mengambil tempat duduk. Saya tidak menghiraukannya. Kerana pada masa itu, saya perlu menyiapkan beberapa benda sebagai persediaan bahan taklim bersama pelajar baru nanti. 

Saya sempat menoleh ke arah Azmaul. Dia sedang asyik dan khusyuk membacakan al-quran. Nada suaranya  agak perlahan. Tidak timbul pertanyaan ketika itu. Saya kembali dan meneruskan persediaan bahan taklim yang masih berbaki.

Jam menunjukkan 8.30 malam. Majlis taklim bersama pelajar baru akan bermula sebentar lagi. Saya kembali menoleh ke arah Azmaul. Kali ini, dia juga memerhatikan saya bersama beberapa pelajar baru lainnya. Azmaul melontarkan senyuman. Saya juga membalas senyumannya. Majlis taklim akan bermula. Namun, saya terhenti seketika kerana perasan Azmaul masih tidak berganjak dari tempat duduknya.

“Adik, jom ikut sekali membaca dan mentadabbur al-quran.” Saya mempelawa Azmaul.

“Boleh ke Abang?” 

“InsyaAllah, boleh. Marilah”

Tanpa banyak kata dan persoalan. Azmaul turut serta dalam majlis taklim malam itu.
Usai membaca al-quran. Saya langsung memulakan majlis taklim dengan hanya mentadabbur ayat 1 sehingga ayat 11 surah al-mukminun. Ayat ini membahaskan mengenai ciri-ciri asas dan akhlak seorang mukmin yang beriman kepada Allah SWT. 

Allah SWT berfirman;

“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (yaitu) orang-orang yang khusyu' dalam sembahyangnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, dan orang-orang yang menunaikan zakat, dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada terceIa. Barangsiapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya. dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi, (yakni) yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.”  
 (Surah Al-Mukminun 23: 1-11)

Satu-persatu wajah peserta taklim saya perhatikan. Khusyuk mendengar bahan yang disampaikan. Ada juga asyik mencatat poin-poin yang dirasakan penting ke dalam kertas A4 yang disediakan. Namun ada sesuatu yang menarik perhatian saya. Azmaul ketika itu menangis teresak-esak. Pandangannya hanya terarah ke arah lantai. Azmaul menutupi mukanya dengan menggunakan kedua belah tangannya. Dia kelihatan sangat sedih. Semua mata tertumpuh ke arah Azmaul. Majlis taklim terhenti seketika. Ketika itu, suasana surau menjadi sepi. Hanya bunyi deruan kipas siling menjadi gantinya. 

Semua peserta masih mendiamkan diri. Mereka juga tidak berani mengusik dan memulakan bicara. Tatkala ini kali pertama mereka menyertai majlis taklim. Jadi, mereka belum ada pengalaman dengan situasi sebegini. Akhirnya mereka semua memilih untuk mendiamkan diri sahaja.

Saya juga sama. Saya memilih untuk mendiamkan diri seketika. ‘Biarlah Azmaul menangis sepuasnya. Meluahkan kesedihannya melalui tangisan. Bila kesedihannya semakin surut. insyaAllah saya akan menyapanya.’ Monologku dalam hati.

“InsyaAllah, adik-adik semua. Majlis taklim kita berakhir di sini. Kita akan bertemu lagi pada minggu depan hari dan masa yang sama. Ingat tau. Minggu depan kita ada aktiviti yang lebih menarik. Jangan lepas peluang ok. Saya membuat kesimpulan dan memberi peringatan.

“InsyaAllah, Abang. Kami semua akan datang. Kami juga akan ajak kawan-kawan lain hadir minggu depan. Majlis ilmu seperti ini, kena diraihkan. Best kot! Belajar al-quran. Belajar hadits. Belajar sirah. Saya confirm datang bang. InsyaAllah.”

Salah seorang daripada mereka memberi respon yang baik. Dia nampaknya bersemangat. Kata-katanya juga memberi suntikan semangat kepada rakan-rakannya yang lain. Mereka semua mengangguk tanda sepakat.

“ Alhamdulillah. Inilah yang Allah suka. Sekiranya, Rasulullah ada di sini dan menyaksikan semangat kamu. Dia pasti bangga dengan kamu semuanya. Semoga kita menjadi pemuda-pemuda yang mencintai majlis ilmu. Majlis yang saling memperingatkan antara satu sama lain berkenaan tujuan hidup iaitu hidup hanya untuk beribadah kepada-Nya.” 

“InsyaAllah, kita tangguh majlis kita dengan tasbih kafarah dan surah al-asr.”

‘Akhirnya, majlis taklim pada malam itu berjalan dengan baik. Terima kasih Allah. Saya mengharapkan supaya adik-adik yang mengikuti taklim sebentar tadi terus istiqomah. Ya Allah, peliharalah diri hamba-Mu ini daripada niat yang tidak baik.’

****

Suasana di surau kediaman kembali sepi. Tatkala semua pelajar baru telah beransur pergi. Ketika itu hanya ada saya dan Azmaul. Saya kembali memerhati jam di tangan. 'Nampaknya jam sudah menunjukkan pukul 10.00 malam. Sudah lewat rupanya'. Bisikku dalam hati. 

Saya menutup pintu surau dan kembali menemani Azmaul. Dia masih dalam kesedihan. Pandangan Azmaul hanya tertumpuh ke arah lantai. ‘Entah apa yang dia fikirkan sekarang.’ Soal saya dalam hati. 

Saya masih memilih untuk tidak mengusiknya. ‘Biarlah Azmaul tenang dulu. Usai saya mengemas buku, al-quran dan withbord yang digunakan semasa taklim. Saya akan mendekatinya. Mendengarkan isi hatinya.’ Lanjutku.

****

“Azmaul, abang nak cakap sikit ngan Maul boleh?” Pinta saya.

Dia masih menundukkan pandangannya. Permintaan saya untuk bercakap dengannya juga masih belum dijawab. Saya jadi risau. Mungkin Azmaul nak bersendiri. Tak perlu saya mengganggunya.

“Kalau macam tu. Abang balik dulu ya? Abang harap Azmaul baik-baik saja? Ada masalah jangan lupa hubungi abang. Ini no telefon abang.”

Saya nekad untuk pulang. Lagipun malam sudah semakin larut. No telefon pula, saya tulis di atas kertas dan meletakkannya di helaian al-quran terjemahan miliknya. 

Saya terasa berat untuk meninggalkan Azmaul. Entah mengapa perasaan kasih dan sayang tiba-tiba hadir dalam benak saya. Seolah-olah ada bisikan suara memanggil saya agar menemaninya. Tapi, saya tetap nekad untuk pulang. Saya fikir itu hanya khayalan. Saya yakin Azmaul nak bermuhasabah bersendirian. Sebelum melangkah pergi. Saya sempat menoleh ke arah Azmaul. Sekali lagi saya hairan. Entah mengapa saya terasa berat untuk meninggalkannya. 

‘Ya Allah, lindungilah hamba-Mu ini yang telah berduka. Hadirkanlah ketenangan dalam jiwanya. Sekiranya saya Engkau pilih untuk menolongnya, saya redha Ya Allah. Tapi persoalannya, saya tidak mampu membaca bisik hatinya. Apa sebenarnya Azmaul sedang alami.’ Munajatku dalam hati.

Tumbol pintu saya pulas. Kemudiaan pintu terbuka. Belum sempat saya keluar. Kedengaran suara memanggil saya dari belakang. 

“Abang tunggu?”

Saya kaget ketika itu. Azmaul memanggil saya. Langkah saya terhenti. Pintu surau saya tutup semula. Kemudian saya menoleh ke arah Azmaul. Ketika itu, saya melihat Azmaul sedang berdiri. Pandangannya tepat ke arah saya. kemudian wajahnya di tundukkan semula.

“Abang tunggu saya?”

Sekali lagi Azmaul meminta saya menunggunya. Entah untuk apa? Saya jadi hairan, kerana hanya lafaz itu yang diungkapkan. Kemudian diam semula. Tapi saya perhatikan Azmaul sedang menangis teresak-esak. Kesedihannya kembali semula. Saya jadi sebak melihatnya.

‘Apa yang perlu saya lakukan?’ Bisikku.

Saya meletakkan semula beg galas saya dan withbord di tepi dinding surau. Saya menghampiri Azmaul.

“Azzz..maul panggil abang ya?” Suara saya tergagap-gagap.

“Azmaul mengangguk. Abang bantu saya bang?”

Saya semakin berteka-teki dengan permasalahan yang dihadapi oleh Azmaul. Apa yang berlaku sebenarnya? Ketika itu, saya berdiri tepat di hadapan Azmaul.

“Saya memerlukan abang. Tolong bantu saya bang? Jangan tinggalkan saya?”

Tiba-tiba Azmaul memeluk erat tubuh saya. Dia menangis di bahu saya. Saya dapat merasai deraian air mata membasahi bahu saya. Saya membalas pelukan Azmaul. Saya cuba untuk menenangkannya. 

“Azmaul, istighfar ya. InsyaAllah abang bersedia membantu Azmaul. Abang takkan meninggalkan Azmaul. Abang akan bersama Azmaul. Abang janji.” Saya memberi harapan kepadanya. Tiba-tiba air mata saya menitis. saya terharu. Saya memeluknya dengan erat.

Azmaul tersedu-sedu. Walaupun, tangisannya semakin reda. Tapi air matanya masih terus mengalir. Saya merasainya. Saya dapat rasakan, Azmaul ada keserasian dengan saya. 

Dalam dakapan ukhuwah, adakah kisah persahabatan saya dan Azmaul bermula di sini?


Bersambung..

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...