Pages

Monday, December 31, 2012

Lahirnya Daie Sejati



Hadiah untuk Umat

Akhi, kita hadiah buat umat islam. Sedarkah kita?

Ya, Diri kita ini akan kita hadiahkan untuk umat islam. Segala apa yang kita miliki seperti jiwa, harta, ilmu pengetahuan dan bahkan nyawa kita perlu kita korbankan dijalan Allah SWT. Itulah pengorbanan yang dijanjikan syurga oleh Allah SWT.

Umat islam di luar sana memerlukan kita kerana kita adalah penyembuh segala penyakit umat islam dengan izin-Nya. Penyakit umat islam seperti malas beribadah, bercerai berai, kemiskinan ilmu, mementingkan diri, serta penyakit-penyakit hati lainnya. Semuanya itu menjadi tanggungjawab kita untuk membawa mereka dari kehidupan kegelapan kepada jalan cahaya.

Akhi, kita seorang Daie kerana Kita menyeruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar. Kitalah menjadi agen perubahan kepada umat islam. Kitalah jugalah yang menentukan kecemerlangan generasi islam kelak. Bukan orang lain lagi akhi.

Allah SWT berfirman; Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munka, merekalah orang-orang yang beruntung.” (Surah Ali Imran 3:104)

Daie ZERO Alasan!

Adakah kita perlu berlengah dan mencipta alasan lagi?

Umat islam semakin lemas dengan dunianya. Hidup tercungap-cungap tanpa mereka sedari. Kasihankan mereka akhi. Mereka saudara seislam dan seagama kita. Mereka memerlukan, mengharapkan dan menunggu kedatangan kita. Mereka mengharapkan pertolongan kita. Walaupun mereka tidak menyuarakan suara hatinya, namun, sebagai Daie perlu merasai dan menyedari kerosakkan yang berlaku dalam kalangan mereka.

Allah SWT berfirman; “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara..” (Surah Al-Hujurat 49:10)

Masih adakah alasan yang menghalangi kita untuk berdakwah? Perlu lagikah alasan-alasan yang merugikan diri kita dan menghancurkan umat islam hadir dalam jiwa seorang Daie?

Siapa musuh Daie?

Sekiranya ada, tolong singkirkan secepat mungkin! Itu angkara syaitan akhi. Syaitan takkan pernah berhenti menggoda kita agar kita terasa berat berada dijalan dakwah ini. Syaitan akan berusaha mempengaruhi kita agar kita mencipta alasan dan meninggalkan tarbiyah.

Itulah matlamat syaitan agar kita semakin jauh dengan perintah Allah SWT. Sehinggakan kita tidak pedulikan lagi keadaan umat islam. Kita hanya islam pada nama. Namun akhlak kita, hakikatnya sangat jauh daripada nilai-nilai islam. Akhirnya kita semakin patuh dan setia dengan perintah syaitan laknatullah.

Akhi, syaitan itu musuh nyata bagi kita.

Allah SWT telah berfirman; Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh(mu), karena sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala” (Surah Faathir 35:6)

Maka, tidak wajar sekiranya kita menjadikan syaitan sebagai teman hidup kita. Kerana syaitan akan mengajak kita lebih cenderung untuk bermaksiat kepada Allah SWT. Kita tidak pedulikan lagi umat islam. Kita biarkan diri kita ditarbiyah oleh syaitan. Sehingga kita lupakan Allah SWT yang menciptakan dan memberi kita rezeki. Kita menjadi umat tidak bersyukur, tamak haloba, gilakan pangkat, hidup bermewah-mewah, cintakan dunia dan takutkan mati, pemarah dan sebagainya. Itulah sifat-sifat mazmumah yang diajarkan oleh syaitan kepada diri kita. Manakala sifat-sifat mahmudah yang islam gariskan untuk kita semakin pupus dalam jiwa kita.

Akhi, sekiranya jadi begini. Sedarlah, syaitan telah menguasai kerajaan diri kita iaitu hati. Syaitan akan menyesatkan kita dijalanNya. Mereka takkan pernah berhenti. Tidak mungkin berhenti sehingga tibanya hari perhitungan Allah SWT kelak. Mereka yakni syaitan akan mendatangi kita dari pelbagai arah. Mereka akan menyesatkan anak-anak Adam untuk bersama-sama menjadi penghuni neraka jahanam. Itu janji mereka kepada Allah SWT. Itulah yang perlu kita fahami akhi.

Allah SWT berfirman; “Iblis menjawab: "Karena Engkau telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus. kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).” (Surah Al-A’raf 7: 16-17)

Namun, kita juga tidak boleh menyalahkannya, kerana memang itu tugas syaitan untuk menyesatkan umat Muhammad SAW. Jadi kitalah yang perlu bertindak dan menyediakan benteng penyelamat untuk melawan segala godaanya iaitu kekuatan iman kepada Allah SWT.

Daie, Tarbiyah dan Dakwah

Walaupun tarbiyah tidak memerlukan kita, tapi hakikatnya kita memerlukan tarbiyah akhi. Tarbiyah yang akan menyedarkan dan menggerakkan kita untuk mengamalkan islam secara menyeluruh. Bukannya berislam sekadar cukup makan dan hanya menumpang dijalan tarbiyah tanpa ada usaha untuk mentarbiyah orang lain.
Kita tidak mau itu akhi.

Kita mahu para Daie mentarbiyah orang lain. Mengajak orang lain mengamalkan islam. Seterusnya bersama-sama berdakwah dijalan Allah SWT. Kita mahu lahirkan generasi rabbani.

Allah SWT berfirman; Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, karena kamu selalu mengajarkan Al Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya. (Surah Ali Imran 3:79)

Akhi, dalam tarbiyah ini perjalanan dakwah  dan segalanya akan bermula. Ana tertarik dengan kata-kata imam Hasan Al-Banna; “Tarbiyah bukan segala-galanya, tapi dalam tarbiyah bermula segala-galanya”. Kitalah yang akan menggagalkan segala rancangan syaitan iaitu bermula dengan mentarbiyah diri kita. InsyaAllah dengan izin Allah SWT.

Kitalah akhi!

“Tarbiyahlah kita saling menguatkan dalam seluruh aspek kehidupan dan keimanan . Tarbiyahlah kita mampu membentuk daie-daie yang cintakan Allah SWT dan RasulNya serta sanggup berkorban dijalanNya. Tarbiyahlah menjadi pencetus terciptanya strategi dakwah yang realistik. Tarbiyahlah menyebabkan kita semakin merindukan Allah SWT. Tarbiyahlah mendorong kita semakin ghairah untuk meneruskan gerak kerja dakwah Rasulullah SAW. Tarbiyahlah menyebabkan kita saling mencintai kerana Allah SWT. Tarbiyahlah menyedarkan hidup ini hanya pinjaman daripada Allah SWT. Dalam tarbiyahlah kita semakin jelas matlamat hidup kita iaitu beribadah dengan penuh keikhlasan kepada Allah SWT.”

Ana harap, kita mampu istiqamah dijalan dakwah ini akhi. Buanglah segala alasan yang syaitan ciptakan untuk kita.

Buanglah akhi!

Semua itu hanya merugikan diri kita sendiri. Misi dakwah ilallah tidak akan tercapai sekiranya kita tidak mampu menyingkirkan alasa-alasan yang tidak syari’e dalam jiwa kita.

Daie perlu bersatu hati

Allah SWT berfirman; Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.” (Surah Ali Imran 3:103)

Akhi, kita perlu bersatu hati dengan berpegang teguh dengan tali agama Allah SWT. Kekuatan iman akan terbina dengan kesatuan ini. Kita perlu bersatu untuk meraih cintaNya. Kita juga perlu melahirkan ketaatan kepada Allah SWT bersama Rasul-Nya. Bersatu hati dalam gerak kerja dakwah ilallah serta  berjihad untuk mencari keredhaan dan mati syahid dijalanNya.

Itulah unsur-unsur kesatuan hati kita akhi. Tiada lainnya. Allah SWT matlamat kita. Rasulullah SAW, Para sahabat dan para syuhada adalah contoh ikutan kita.

Akhi, tiada jalan lain lagi. Ana dan diri antum semuanya perlu bersatu hati untuk membentuk saf-saf dan barisan dakwah yang kukuh. Allah SWT akan menolong dan meneguhkan kedudukan kita kerana kita membantu agama-Nya.

Allah SWT berfirman; Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh. (Surah Ash Shaff 61:4)

Dan seterusnya Allah SWT berfirman; Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Surah Muhammad 47:7)

Yakinlah akhi akan itu.

Allah SWT akan memberikan kita kejayaan kepada kita. Kejayaan dunia dan akhirat. Bila Allah SWT berkehendak, tiada siapa yang boleh menghalangnya. Allah Maha Berkuasa. Allah Maha Besar.

Allah SWT berfirman; “Allah jugalah yang akan mengizinkan sekiranya ingin berlaku sesuatu” (Surah An-Najm 53:26)
Hadiah Para Daie

Raihlah ganjaran syurga yang akan Allah SWT berikan kepada kita. Hanya untuk kita iaitu orang-orang yang hidup dan matinya hanya untuk Allah SWT. bergembira dan nikmatilah hidangan-hidangan syurga. Puncak segala nikmat dan kebahagian.

Itu janji Allah SWT kepada diri para Daie.

Lahirnya Daie Sejati

Maka itu akhi, bersabarlah dijalan dakwah ini. Allah SWT bersama kita.

Allah SWT berfirman; “Allah bersama orang-orang yang sabar” (Surah Al-Anfal 8:46)

Ujian yang Allah SWT berikan kepada diri kita bukan untuk ditangisi dan disesali. Namun, kita perlu menghadapi dan menjalani ujian itu dengan keimanan yang sihat. Kejayaan mengharungi ujian dijalan dakwah ini sebagai bukti keaslian keimanan dan pengabdian kita kepada Allah SWT.

Allah SWT berfirman; Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Surah Al-Ankabut 29:2-3)

Akhi, dakwah bukan pekerjaan yang mudah kerana jalan dakwah penuh dengan rintangan dan keperitan. Namun, dalam dakwah kita akan menemui erti hidup yang tidak mungkin dirasai oleh orang-orang yang tidak berada dijalan dakwah.

Erti hidup itu ialah kita sebagai hamba Allah SWT bertakwa.

Dengan sebenar-benar ketakwaan kepada-Nya.

Akhirnya, lahirlah Daie sejati buat umat islam.

Wallahu'alam..


Sahabat Kalian;
-Hadi Muslim-
"Everything for Allah"
Karya Asli: Hadi Muslim
31/12/12/Rumah KF/KK/Sabah/6.55Am.

1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...