Pages

Sunday, September 19, 2010

Aku Pencinta Mu


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang;




Dengan izin Allah Swt Pencinta Alam Semesta dan berkuasa atas segala sesuatu, akhirnya hambamu sekali lagi ingin mencurahkan bakti walaupun hanya melalui coretan di kertas putih ini. Dengan berkah ilmu yang tidak pernah ada penghujungnya kecuali sang pencari ilmu menemui noktah hidupnya.

Selawat dan salam keatas kekasih Allah swt yakni nabi terakhir seluruh umat islam Nabi Muhammad saw. Berkat usaha dan pertolongan dari Allah swt dan para sahabat akhirnya agama islam yakni satu-satunya agama yang diterima oleh Allah swt sampai kepada diri kita. Dengan agama inilah, kita dapat hidup atas redha dan mendapat syafaat dari Allah swt dan Rasulnya.

Di sini, sementara masih ada sisa hidup yang dianugerahkan oleh sang pencipta Allah swt kepada hambaNya saya berpeluang menghasilkan sebuah nukilan di mana setiap manusia pernah mengalami dan mesti dilaluinya. Namun, sejauhmana manusia seperti diri kita mengadaptasikan konsep itu disaluran dan kaedah yang disyariatkan oleh agama islam.

Dengan judul, “Aku Pencinta Mu” saya akan sedaya upaya menjelaskan bagaimana seorang hamba Allah swt mempraktikan konsep cinta dalam kehidupannya. Kita adalah manusia ciptaan Allah swt yang sebaik-baik ciptaannya dianugerahkan banyak kelebihan yang berlainan berbanding makhluk ciptaan Allah swt yang lain. Atas kelebihan itu, lakonan cinta manusia berbeza-beza mengikut si pelakon cinta terhadap apa yang dicintainya. Dalam islam sendiri, nilai cinta amat penting untuk kita saling memahami, berkasih sayang, dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Ini kerana, cinta bermulanya di hati yang suci dan murni dari seseorang suci dan murni. Namun, nilai cinta yang suci lagi murni itu mula ternoda sekiranya sang pelakon cinta itu mula lalai dari nikmat cinta yang dianugerahkan untuk dirinya.

Seperti yang saya kata tadi cinta yang suci itu bermulanya dari hati yang suci lagi murni. Ini kerana, dengan hatilah kita akan mula melakonkan watak cinta yang kita fahami. Dengan itu, Rasulullah saw bersabda “sesungguhnya diterimanya amal perbuatan itu tergantung pada niatnya, dan sesungguhnya setiap orang akan mendapatkan apa yang diniatkan”. Oleh itu, sekiranya pelakon cinta itu dengan niat yang bersih dan murni memperwatakan konsep cinta yang sedemikian akhirnya lakonan cinta yang berputik semestinya suci dan murni. Akhirnya sang pencinta itu mendapatkan cintanya yang tulus lagi diredhai oleh Allah swt.

Bertepatan dengan judul yang dipilih kali ini, sang pencinta yang ingin mendapatkan cinta yang luhur semestinya mencintai Allah swt dan Rasulnya melebihi segala-galanya dan sedemikian itu mencintai makhluk cipataannya yang lain. Rasulullah saw bersabda “ ada tiga cara untuk mencapai kemanisan iman itu ialah mencintai Allah swt dan Rasulnya melebihi segala-galanya, mencintai saudaranya kerana Allah swt dan takut atau bimbang sekiranya dirinya kembali lagi pada zaman jahiliahnya.”

Oleh itu, si pencinta semestinya tahu akan erti cinta yang sebenar sebelum bertindak untuk melakonkan cinta. Hal ini kerana, si pencinta yang kecetekan ilmu atau pemahaman tentang cinta berlandaskan syariat islam akan merosakan erti cinta yang dibina. Pemahaman cinta berlandaskan syariat islam amat penting untuk memastikan cinta itu tidak dikendalikan oleh hati yang kotor atau nafsu semata-mata. Dengan tersematnya nilai-nilai islam yang tulus dalam hati si pencinta, ini akan menjadi padoman untuk menterjemahkan maksud cinta yang luhur dan ikhlas dari hati. Dengan menjadikan nilai dan pemahaman islam yang mendalam sebagai inti cinta kita akhirnya kita tidak mudah lalai dengan cinta yang kita dapatkan sekarang. Ini kerana, kita menyedari bahawa Allah swt menganugerahkan cinta untuk kita dan semestinya cinta pertama sebagai individu muslim itu hanya untuk Allah swt dan RasulNya.

Terjadinya cinta yang agung itu jangan kita anggap bermula dari paras rupa yang menarik, tutur kata indah, harta melimpah ruah dan teknik yang mantap namun, perlu disedari bahawa sebagai individu muslim sejati inti cinta yang agung bermula dengan nilai-nilai islam yang terbuku di hati kita. Justeru itu, cinta yang terbina akan mendapat naungan dari Allah swt dan redhanya agar cinta yang tulus itu tidak dicampuri oleh anasir-anasir nafsu syaitan.

Perlu dianalisa juga bahawa cinta kita bukan sahaja terhadap wanita semata-mata, bahkan cinta kita semestinya “multilove” iaitu mencintai semua makhluk Allah swt sebagai mana Allah swt mencintai makhluknya tanpa berbelah bagi. Kita sebagai sang pencinta sepatutnya menunjukkan watak cinta kepada ibu bapa, saudara mara, para sahabat, dan makhluk Allah swt seperti haiwan dan alam sekitar seluruhnya. Kerana mereka juga saudara muslim kita sebagaimana dalam firman Allah swt bermaksud “ sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara” Surah Al-Hujurat;10. Oleh itu, cinta kita bukan hanya untuk diri kita sahaja bahkan nilai cinta kita terdapat hak cinta daripada pihak lain seperti ibu bapa, adik-beradik, jiran tetangga, sahabat karib, dan para pemimpin kita masing-masing memerlukan cinta kita.

Dari Abu Hamzah Anas bin Malik r.a, bahawa Rasulullah Saw bersabda, “seorang di antara kalian tidak (dikatakan) beriman sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia memcintai dirinya sendiri.” Riwayat Bukhari dan Muslim. Justeru itu, walaupun inti cinta kita adalah unsur-unsur islam sepenuhnya namun perlu diingatkan bahawa nilai cinta kita terdapat milik orang lain.

Namun, bagaimana pula halnya dengan makhluk Allah swt seperti haiwan dan alam semesta. Cara apa yang mereka lakonkan untuk menterjemahkan bahasa cinta mereka. Wahai saudara-saudari sekalian, sebenarnya makhluk Allah swt ini sama halnya dengan kita ada keinginan cinta kepada sang penciptanya. Namun, makhluk Allah swt ini, ada bahasa cintanya sendiri dan hanya dirinya dan Allah swt sahaja yang memahaminya sedangkan manusia tidak mengerti akan itu. Walau bagaimanapun, kita sebagai makhluk Allah swt yang dikurniakan akal serta boleh berfikir dan mencari ilmu akan kebesaran Allah swt perlu sedar bahawa makhluk Allah swt sentiasa menunjukan kecintaannya dan kesyukurannya sepanjang masa.

Ini dikatakan oleh Allah Swt dalam firmannya “apa yang di langit dan di bumi bertasbih kepada Allah swt. Dialah Mahaperkasa, Mahabijksana.” Surah Al-Hadid;1 dan Surah As-saff;1. Sebenarnya tanpa kita sedari, itulah bahasa cinta yang mampu makhluk Allah swt itu lakukan dan hanya Allah swt dan dirinya memahami sahaja yang mengetahui akan maksud cinta yang ingin di sampaikan.

Wahai saudara-saudari sekalian, untuk membina cinta yang luhur kejernihan hati amat perlu diutamakan. Sebagaimana hadits Rasulullah Saw dari Abu Abdillah An-Numan bin Basyir ra. Berkata bahawa Rasulullah Saw bersabda”.. ketahuilah bahawa di dalam jasad itu terdapat segumpal daging, bila ia baik maka baiklah seluruh jasad itu, dan bila ia rusak (kotor) maka rusaklah pula seluruh jasad, ketahuilah bahwa segumpal daging itu adalah hati.” Riwayat Bukhari dan Muslim. Berdasarkan penjelasan hadits di atas boleh dikatakan bahawa sang pencinta perlu memiliki hati yang baik sekiranya hendak membina cinta yang baik. Jadi kita telah menyedari punca sebenar hadirnya cinta yang agung dan tulus berdasarkan penjelasan ringkas dari pembacaan sebentar tadi. Justeru itu, adakah perjalanan cinta anda selama ini seperti yang disyariatkan atau perjalanan cinta kita hanya taklid buta semata-mata. “tepuk dada, Tanya iman dan fikiran” . insyaAllah anda akan menjadi sang pencinta yang agung. “Aku Pencinta Mu”. Amin Yaa Rabb..

Sekian dari saya, segala yang baik itu datang dari Allah swt dan segala yang buruk itu berpunca dari diri Sang Penulis yang masih lalai dan leka dalam setiap perkara yang dilakukan.

Wallahu’alam....

Assalamu’alaikum w.b.t..

4 comments:

  1. hmm...lain macam pulak post kali ni

    apa pun semoga dapat bertemu dengan cinta hakiki =)

    ReplyDelete
  2. amin yaa rabb??..doakan ana dalam sujud terakhir antum...hehee
    pa merepek nie...nie just perkongsian ilmu jer...

    ReplyDelete
  3. ini bukan merepek...ini adalah luahan hati untuk tatapan umat =)

    semoga terus tsabat menapaki jalan tarbiyah ini.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...