Pages

Friday, June 7, 2013

Cerpen: Dialog Dengan Jin

 بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ


 
Beberapa hari lepas, saya berkesempatan pulang ke kampung halaman saya iaitu di kampung pinggan-pinggan pitas. Terubat rasa rindu apabila bertemu dengan orang yang disayangi iaitu kedua orang tua saya. Alhmadulillah. Mereka berdua masih sihat. Terima kasih Ya Allah kerana menjaga mereka dengan baik.
 
Kedatangan saya membuatkan mereka kaget. Saya datang tanpa memaklumkan kepada mereka terlebih dahulu. Namun, ibu bapa saya tetap meraihkan kedatangan saya. Tapi yang menyedihkan mereka, isteri dan anak saya tidak dibawa bersama. Hampir lima bulan ibu bapa saya tidak melihat isteri dan anak saya. Mereka hanya berrhubung menggunakan telefon. Kekadang dua kali seminggu. Namun, sudah terasa cukup bagi ibu bapa saya kerana mereka sangat memahami kesibukan kami sebagai seorang pelajar universiti. Masih terikat dengan jadual kelas yang disediakan oleh pihak universiti itu sendiri.

****
Saya tidak duduk lama di kampung. Hanya tiga hari kerana banyak urusan lain terpaksa diuruskan di universiti. Saya dan isteri sebenarnya masih pelajar universiti. Kami berdua menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kota Kinabalu Sabah. Isteri saya akan menghabiskan ijazahnya pada tahun ini dalam bidang kejuruteraan Kimia. Manakala, saya pula sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang perniagaan semester yang kedua. Namun, itu bukan alasan bagi saya untuk tidak pulang ke kampung

Alhamdulillah. Mereka berdua sangat memahami kesibukan kami. Jadi, mereka tidak kecewa sekiranya kepulangan saya dan isteri hanya beberapa hari sahaja

Kepulangan saya kali ini mencipta satu sejarah dalam kehidupan saya. Peristiwa 8 May 2013 menjadi kisah sejarah yang tidak mungkin saya lupakan. Saya fikir ia hanya mimpi atau sekadar fantasi. Tapi ianya benar-benar berlaku dalam siri kehidupan saya.


Sebelum ini saya hanya mendengar kisah manusia kena rasuk Jin dan Makhluk halus sama ada melalui perbualan orang lain, maklumat di dada akhbar dan kisah drama di televisyen. Jujur saya katakan. Saya tidak pernah mengalaminya sendiri. Merasai dan melihat suasana seseorang dirasuk jin atau makhluk halus tidak pernah sama sekali. Saya juga tidak pernah berfikir ianya akan berlaku dalam kehidupan saya.

Kisahnya bermula seusai solat fardhu maghrib. Waktu itu saya menunaikan solat fardhu berjemaah di masjid. Memandangkan masjid tidak jauh daripada rumah saya. Jadi saya memilih untuk berjalan kaki sahaja.

Dalam perjalanan pulang ke rumah. Seorang remaja berlari menghampiri saya. Saya amat terkejut kerana saya tidak mengenal remaja itu. Namun, apa yang pasti dia sangat mengenali saya. Seketika saya sempat memerhatikan dalam-dalam remaja itu. Dia nampak kepenatan berlari. Saya dapat merasai dadanya berombak kencang. Beberapa saat selepas itu barulah remaja itu memberitahu perihal sebenarnya yang berlaku.
 
“Assalamu’alaikum Abang Hadi?” 

“Wa’alaikumusalam” Balasku.

“Abang Hadi. Aaaa..bang..” Imran tercungap-cungap kepenatan. Sedikit peluh kelihatan di permukaan dahinya.

Saya setia menanti perkara yang ingin disampaikan oleh Imran. Saya tenang saja ketika itu. Saya sekadar memerhati sehingga Imran benar-benar mampu menenangkan dirinya.

“Cuba bertenang Adik. Apa yang berlaku sebenarnya? Cuba cerita dengan abang.” Saya cuba menenangkan Imran agar dia boleh menyatakan apa yang berlaku.

“Abang Hadi, jiran sebelah rumah saya kena rasuk Jin. Keluarganya tidak tau mau buat apa. Sekarang dia berteriak-teriak kat rumah. Kami takut bang. Sebab itulah saya cari abang.” Itulah hajat sebenar Imran.

“Astaghfirullah! Kena rasuk Jin?” Hanya itu yang mampu saya lafazkan.

Tanpa berfikir panjang. Saya terus bergegas ke rumah keluarga mangsa. Sepanjang perjalanan emosi saya terganggu. Saya tidak pernah menguruskan kes sebegini.

‘Apa yang seharusnya saya lakukan. Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini. Saya hanya memohon pertolongan-Mu. Tenangkanlah jiwa hamba-Mu ini. Mudahkanlah urusanku.’ Munajatku dalam hati. Pada masa yang sama kalimah zikir tak pernah lekang bermain dibibirku. Sehinggalah saya menjejaki kaki ke rumah mangsa.

Rumah itu dipenuhi oleh jiran tetangga. Kedengaran suara perempuan menjerit kesakitan. Ada juga kedengaran suara orang yang menangis. ‘Saya yakin itu pasti ahli keluarga mangsa. Suara yang menjerit kesakitan itu adalah seorang perempuan.’ Tepat jangkaanku.

Setibanya di rumah mangsa. Semua orang memerhatikan saya. Saya jadi cemas dibuatnya. Tapi saya tidak menghiraukan itu. Saat itu saya hanya memikirkan mangsa. Keadaan mangsa. Saya terus meluruh ke muka pintu bilik di mana mangsa berada. Jiran yang hadir memberi laluan tanpa diminta. Mereka memahami keinginan saya ketika itu. Menyeramkan.

Budak-budak kecil ada yang menangis ketakutan. Degupan jantung saya juga semakin kencang. Istighfar hanya itu yang mampu menenangkan hati saya.

‘Ya Allah permudahkanlah urusan hamba-Mu. Bantulah aku Ya Allah’ Saya terus memanjatkan doa walau ia sekadar dalam hati. Saya juga cuba memberanikan diri.
Menenangkan diri agar mampu berhadapan dengan situasi ini. Al-Quran terjemahan ditangan kupegang erat. Tanganku kurasa sejuk dan sedikit bergetar

Terdapat lima orang dalam bilik itu termaksud mangsa. Mangsa dipegang kuat oleh empat orang ketika itu. Mangsa seolah-olah seperti lembu yang ingin disembelih. Dua orang memegang kedua tangannya. Dua orang lain memegang kedua belah kakinya.

Kemudian salah seorang daripada mereka membuka kain yang menutupi wajah perempuan itu. Saya masih dengan zikir dalam hati. Kalimat pujian-pujian kepada Allah tidak pernah henti menari-nari dibibir saya. Jantung saya seolah-olah nak tercabut dan terjatuh. Menakutkan. Menyeramkan.

Ketika itu mangsa membuka matanya. Berwarna merah. Rambut berserabut. Giginya dilaga-lagakan sehinggakan kedengaran bunyi hentakkan gigi atas dan gigi bawah. Mukanya berubah menjadi kemerah-merahan. Peluh mulai membasahi wajahnya. Manakala dia meronta-ronta ingin dilepaskan dan berlari. Namun dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana terdapat empat orang menyekatnya. 
  
“Pergi. Pergi. Pergi.” Kalimah itu keluar dari mulutnya. Suaranya agak garang. Sehinggakan ada beberapa jiran menjerit ketakutan. Saya juga hampir jadi goyah dan terus berlari meninggalkan rumah itu.

Namun, ada yang sesuatu yang menarik perhatian saya. Perempuan itu menunjuk ke arah saya. Kemudian menyandarkan dirinya ke tepi dinding bilik itu.

“Dia takut dengan Al-Quran” Salah seorang daripada empat orang dalam bilik itu bersuara.

Saya semakin berani ketika itu. Al-Quran terjemahan ditangan saya buka. Kemudian saya duduk tepat berhadapan dengan mangsa. Saya mulai dengan baca surah Al-Fatihah. Saya membacanya dengan nada suara yang boleh didengari oleh semua orang yang ada dalam bilik itu. Usai membaca surah itu, saya memilih untuk membaca surah Al-Mulk. Entah kenapa surah itu saya pilih. Saya main pilih saja. Saya juga tidak tahu sama ada surah itu sesuai atau tidak. namun, saya tak berfikir panjang. Saya terus membaca surah itu sehingga habis.

Sepanjang saya membaca surah Al-Mulk. Apa yang saya perhatikan. Saya melihat mangsa meronta-ronta kesakitan. Kalimat yang sering dilaungkan ialah panas. Dia kepanasan. Dia meminta saya untuk berhenti membaca Al-Quran. Namun, saya tidak menghiraukan. Saya memilih untuk membaca dengan kelajuaan yang perlahan agar dia mendengar bacaan al-quran dengan lebih lama.

Reaksinya masih sama. Dia kepanasan. Menjerit. Kedua-dua tapak tangannya digunakan untuk menutup kedua-dua belah telinganya. Namun, apakan daya dua orang yang memegang tangannya menghalang agar telinganya ditutup. Keadaan semakin suram. Semua orang yang hadir senyap. Ada juga sesetengah jiran menampakkan kepalanya di muka pintu.

Usai membaca Al-Quran. Saya perhatikan mangsa mendiamkan diri. Nampak lemah. Namun. Saya yakin jin masih berada dalam tubuhnya. Itu jangkaan saya. Akhirnya saya memilih untuk  berdialog dengan mangsa seperti yang ditunjukkan dalam drama. Tiada jalan lain yang sempat saya fikirkan. Saya memberanikan diri. Empat orang yang memegang mangsa memerhatikan saya. Saya jadi bimbang jika apa yang lakukan ini tidak menjadi. Tapi, soal kedua. Yang penting buat dulu. Pujuk hati saya. Saya kembali tenang dan mengharapkan agar Allah memberikan pertolongan.

“Assalamu’alaikum?” Saya memberi salam kepada perempuan itu. Sebanyak tiga kali saya memberi salam namun dia tidak memberi sebarang jawapan. Saya tidak berhenti setakat itu. Saya memberi salam kali keempat. Akhirnya dia menjawab salam saya.

“Wa’alaikumussalam” Balasnya.

“Siapa nama kamu?” Saya mengajukan pertanyaan pertama. Dia tidak menjawab. Matanya kembali tertutup. Kemudian saya bertanya soalan yang kedua.

“Kamu berasal dari mana?” Dia masih mendiamkan diri. Dia seolah-olah tidak mendengar pertanyaan saya. Satu kalimah yang membuatkan mangsa tersedar apabila saya mengatakan bahawa saya akan membaca Al-Quran sekiranya tidak mahu menjawab pertanyaan saya.

“Jangan..jangan..panas..panas” Hanya itu yang mampu dia ungkapkan.

Saya meneruskan pertanyaan.
 
“Kenapa kamu masuk ke dalam tubuh perempuan ni?” 

“Aku sayang dia” Itu jawapan yang diberikan. Empat orang dalam bilik itu tercengang mendengarkan jawapannya. Kemudian saya memujuknya agar dia keluar daripada tubuh perempuan itu. Tapi dia menggelengkan kepala tanda tak mahu keluar daripada tubuh perempuan itu.

Akhirnya, saya memilih untuk membacakan surah-surah dalam juz amma. saya tidak menghiraukan apa yang terjadi. Yang hanya kedengaran jeritan perempuan itu. Dia meminta saya untuk berhenti. Kemudian perkataan ‘panas’ sentiasa mengiringi jeritannya.
Saya masih meneruskan bacaan al-quran sehingga saya tidak lagi mendengar jeritan mangsa. Dia pengsan. Keadaannya lemah. Peluh semakin membasahi tubuh mangsa. Begitu juga dengan empat orang yang lain. Tidak terkecuali saya.

Saya fikir keadaan semakin tenang. Mangsa juga masih belum menyedarkan diri. Kalimah syukur tidak terhingga saya panjatkan kepada Allah kerana tidak berlaku kemalangan jiwa ketika itu. Alhamdulillah. Hanya itu yang terungkap seusai melihat keadaan mangsa semakin terkawal.

Saya akhirnya membuat keputusan untuk pulang ke rumah. Sebelum saya meninggalkan rumah itu. Saya sempat berpesan kepada ahli keluarga mangsa agar memasang bacaan al-quran di bilik mangsa. Selain itu, saya juga berpesan agar mewudhukannya.

Itu saja yang mampu saya fikir ketika itu. Saya tidak ada pengalaman mengendalikan kes-kes sebegini. Namun, saya buat apa yang sepatutnya. Tapi saya amat yakin, selagi kita bergantung dengan pertolongan Allah dan menggunakan ayat-ayat-Nya sebagai penawar. InsyaAllah, itu sama sekali tidak melanggar syariat Allah apatalagi mensyirikan Allah SWT. Nauzubillah minzalik

Sempat juga saya membacakan kepada mereka yang hadir ketika itu surah Azz-Zukhruf 43 ayat ke 36 yang bermaksud “Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al Quran), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.”

Saya membacakan ayat itu beserta terjemahannya. Saya harap kita mengambil pengajaran daripada peristiwa tadi. Kembalilah kepada Al-Quran. InsyaAllah, Allah SWT akan menjaga kita daripada gangguan syaitan.

Pesanan yang ringkas. Namun, saya yakin. Semua yang mendengarkan ketika itu masing-masing mendapat manfaatnya.

“Terima kasih Hadi” Kedengaran suara perempuan menyapaku.

“InsyaAllah, sama-sama. Semua itu pertolongan daripada Allah SWT. Bersyukurlah kepada-Nya” Balasku.

Saya pun beransur pergi.
 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...