Pages

Thursday, September 27, 2012

Cerpen: Uhibbukafillah (3)



Jangan Berhenti berharap!

“Akhi, ini ujian Allah SWT kepada diri anta. Jangan berhenti berharap dari-Nya. InsyaAllah, akan ada jalannya.” Ujar Faris Aiman.

“Faris, ana sangat mengharapkan bantuan ni. Inilah satu-satunya jalan untuk ana. Tapi..”

Zafwan Ar-Rasyidhi tidak mampu berkata apa lagi. Tangisan dan kesedihan semakin menguasai dirinya. Keadaan semakin suram. Faris Aiman tidak mahu lagi mengganggu kesedihan sahabatnya. Zafwan Ar-Rasyidhi melayani kesedihannya. ‘Bila kesedihannya mula reda, saya akan memberikan cadangan  dan membantunya. Saya mesti membantunya. Ini tangungjawab saya sebagai seorang sahabat dan selalu berdamping dengannya.’ Monolog Faris Aiman.

Sambil memandu, Faris Aiman mendapatkan telefonnya dan menaip sesuatu. Butang send ditekan. Zafwan Ar-Rasyidhi hanya memerhati sekilas tanpa disedari oleh sahabatnya.

Cuaca pada hari itu agak kurang baik. Hujan lebat sepanjang hari menyebabkan perjalanan semakin terhad. Selesai sahaja urusan menghantar borang bantuan zakat siswa dengan keputusan yang mengecewakan kerana ditolak. Mereka beransur pergi dengan harapan yang hampa. Zafwan Ar-Rasyidhi sangat kecewa pada masa itu. Faris Aiman turut merasakannya. Kita hanya mampu merancang dan berusaha, namun Allah jualah yang menentukannya.

Isyarat mesej menerjah masuk ke telefon bimbit Faris Aiman memecahkan kesepian bicara antara mereka berdua.

“Akhi, anta kena kuatkan semangat. Ana yakin pasti ada jalannya. Takkan anta mau lepaskan tawaran sambung belajar hanya kerana permohonan anta untuk mendapatkan bantuan ditolak. Ada cara lain lagi, insyaAllah.” Faris Aiman cuba menguatkan semangat sahabatnya.

“Anta sudah tanya dengan keluarga terdekat dan kawan-kawan anta tentang masalah ini. Ana yakin akhi, mereka akan membantu. Tapi anta kena cuba dulu, kalau tidak mana mungkin kita tahu mereka mau membantu atau tidak.” Lanjutnya.

Faris Aiman amat dikenali sebagai seorang sahabat yang kurang bercakap. Namun, dalam bab memberi nasihat, pantang melihat sahabatnya bermasalah. Ada saja kata-kata motivasi dan cadangan penyelesaian yang cuba diberikan. Sebab itulah, Zafwan Ar-Rasyidhi lebih selesa berdamping dengannya walaupun personaliti mereka jauh berbeza. Pendek kata dua sahabat ini saling melengkapi antara satu sama lain.

“Akhi, esok pendaftaran universiti bermula. Mana mungkin, keluarga dan kawan-kawan mampu menyediakan wang yang cukup membiayai yuran pendaftaran. Hatta, ana beritahu hari ini akhi.” Zafwan Ar-Rasyidhi menjelaskan.

“Ana tangguh sajalah tawaran ni.” Lanjutnya. Mata Zafwan Ar-Rasyidhi berkaca-kaca semula.

“Tungguh akhi, jangan cepat sangat buat keputusan. Anta sekarang ni dalam keadaan emosi dan tidak stabil. Sebaiknya anta bincang dulu dengan sahabat-sahabat yang lain.” Faris Aiman mencadangkan.

“Untuk pengetahuan anta, kakak ana bersedia membantu separuh yuran pendaftaran. Selebihnya, ana cadangkan anta maklumkan dengan sahabat-sahabat lain. Yakinlah akhi, Allah sentiasa membantu sekiranya kita benar-benar ikhlas. Ana yakin, anta sambung belajar ini pun bukan untuk kepentingan peribadi, tetapi anta mahu menyumbang dan meneruskan keberlangsungan dakwah ilallah.” Tegas Faris Aiman.

Zafwan Ar-Rasyidhi teliti mendengarkan kata-kata sahabatnya. Kata-kata itu sangat membumi. Membangkitkan semangat dan menyentuh hati bagi sesiapa yang mendengarkannya. Air mata Zafwan Ar-Rasyidhi masih kelihatan bukan kerana kesedihan borang tawaran bantuan zakat siswanya ditolak. Namun, kagum dan beruntung kerana Allah menganugerakan seorang sahabat yang memahami dan setia. Wajah Zafwan Ar-Rasyidhi menunjukkan perubahan. Wajah sedih dan berduka berubah menjadi wajah yang mengukirkan senyuman. Senyuman penuh syukur dan pengharapan kepada Allah SWT. Dia Maha Berkuasa dan Maha Kaya.

“Jazakallah akhi. Allhamdulillah , sekarang ana faham. Ana sepatutnya tetap kuat dan terus mengharapkan bantuan Allah SWT. Allahlah yang membantu hamba-hambanya. Tidak sangka pula, pertolongan Allah itu dekat. Hanya disebelah ana iaitu anta. Allah menurunkan pertolongan lewat anta.” Zafwan Ar-Rasyidhi meluahkan.

“InsyaAllah akhi, ini percaturan Allah SWT. Sebab itulah kita kena yakin akan pertolongan Allah. Jangan berhenti berharap dengan kebaikan-Nya. Semoga ana terus menjaga keikhlasan hati ana akhi. Doakan ya.” Faris Aiman mengingatkan untuk dirinya dan sahabatnya.

“InsyaAllah akhi.” Balasnya.

Faris Aiman hanya mampu tersenyum. Bahu sahabatnya ditepuk dua kali menunjukkan dia akan sentiasa menjadi pendorong saat sahabatnya berada dalam kesusahan. Mereka saling berpandangan. Senyuman Faris Aiman tidak pernah lekang. Zafwan Ar-Rasyidhi terhibur dengan senyuman sahabatnya. Senyumannya juga mula terukir. Senyuman kegembiraan dan kebahagiaan dengan penuh kesyukuran kepada-Nya.

‘Akhi, ana uhibbukafillah.’Bisik hati Zafwan Ar-Rasyidhi. Kalimah itu, tidak mampu ku ungkapkan secara zahir. Semoga Allah, menyampaikan bisik hati ini kepada sahabatku.

“Akhi, teruskan pengajian anta di peringkat Master ya. Pastikan esok datang mendaftar.” Faris Aiman mengingatkan.

“Baiklah akhi.” Balas Zafwan Ar-Rasyidhi.


1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...