Pages

Tuesday, August 28, 2012

Cerpen: Saatnya Aku Menikah 2



Percik Memori di Rumah Allah

Cuaca hari ini agak baik berbanding semalam. Alhamdulillah. Semoga urusanku pada hari ini selesai seperti yang direncana. Malam nanti ada halaqah (usrah) tepat jam9.00 malam di Surau Nur Iman Kolej Kediaman E. Jadi, aku akan pastikan ‘Resume Nikah’ telah dihantar ke email murabbiku sebelum hadir ke halaqah. Monolog Hadi sendirian.

Aku memandang di sekeliling pantai. Pemandangan yang mendamaikan di sekitar ODEC Ums menenangkan jiwa. Kekadang tersenyum sendirian tatkala teringat akan niatku ingin berkahwin pada tahun ini. Umurku saat ini, empat bulan lagi genap 22 tahun. Masih muda. Aku terus tersenyum sendirian. Seakan-akan ada seseorang sedang menghiburkanku. Aku bahagia.

‘Astaghfirullah’. Kenapa aku selalu berkhayal tentang itu? Adakah syaitan sedang menggodaku dan cuba mengotori niatku? Astaghfirullah. Astaghfirullah. Ya Allah, hanya kepada-Mu hamba berserah diri.
Pandanganku kembali terarah pada keindahan pantai senja. Tapi kali ini, fokusku tertumpu ke arah terbenamnya matahari. Sungguh indah dan mengagumkan. Spontan bibirku memuji yang Maha Berkuasa atas segala-galanya.Allah Ya Jamal.Yang Maha Indah. Aku bersyukur. Jiwaku tenang dan bahagia. Semoga akan datang nanti aku tidak keseorangan lagi menikmati keindahan ciptaan Allah SWT di sini. Aku akan membawa kekasih hati yang dikurniakan dari-Nya. Berkasih sayang dan beramah mesra dengannya. Hati tidak bimbang lagi kerana dirinya akan halal bagiku. Semuanya jadi ibadah dan mendapat pahala jika disandarkan hanya pada-Nya. Aku semacam tidak sabar menanti saatnya.

Sesekali aku melirik jam ditanganku. Waktu maghrib semakin hampir. Siang juga seakan-akan mahu melabuhkan tirainya. Langit kelihatan kelabu dan perlahan-perlahan menjadi gelap. Kelihatan bilangan pengunjung pantai ini semakin surut. Hanya aku dan beberapa orang lagi masih menikmati suasana senja yang mendamaikan. Namun aku perlu beransur pergi juga. Waktu maghrib semakin dekat. Masjid Universiti menjadi destinasi.

                            ****

Usai solat fardhu maghrib, aku menuju ke tingkat satu Masjid Universiti. Resume Nikah mesti dihantar kepada murabbiku. Bisikku dalam hati. Laptop dihidupkan. Kemudian email dihantar yang mengandungi resume nikah. Hati seakan-akan berdebar, gembira dan sedikit risau kalau resume nikah dan diriku ditolak. Namun, aku sudah bersedia jika sebarang kemungkinan berlaku. Diterima dan ditolak. Aku redha dengan ketentuan-Nya. Sungguh Allah SWT sebaik-baik perancang dan pemberi anugerah.

Sementara menunggu waktu isyak. Aku menyandarkan tubuhku di tembok masjid. Lembaran-lembaran cinta-Nya kubaca. Namun, bacaanku terganggu dan tersekat-sekat, tatkala mengimbau kembali kisah di kampung tempoh hari. Aku menamatkan bacaanku.Terjemahan  Al-Quran kututup. Kemudian kucuba mengingati kembali saat aku berhajat untuk melamar muslimah dikampungku.

“Hadi, makcik mau tanya boleh?”

“InsyaAllah boleh makcik. Tanya apa ya?”

“Makcik mau tanya ni.  Bila kau kahwin sebab hari tu makcik ada dengar Hadi mau kahwin. Makcik pun suka kalau kau kahwin awal. Ada yang boleh jaga dan bagi kau kasih sayang. Kasian makcik tengok kau ini. Mana tau lepas kahwin nanti, keluargamu baru sedar kehadiran kau di rumah. Makcik akan sokong kau nanti. Kalau mau biar makcik berbincang dengan emak bapa kau” Jelas Makcik Satri panjang lebar.

Aku ketika itu terdiam seribu bahasa. Mulut terkunci. Sukar untukku menjawab persoalan makcik. Aku tiba-tiba terhenti daripada membaca. Ketika itu aku sedang membaca majalah solusi isu 29 yang bertajuk ‘Ada Syurga Rumahtangga’. Majalah kututup semula dan kuletakkan di atas meja tempat aku sedang duduk. Kami saling berpandangan. Namun, aku menundukkan semula wajahku. Aku malu. Mesti orang-orang kampung mengejek dan mentertawakanku bila mereka tahu hajatku mahu berkahwin. ‘Aduh, mau jawab apa nanti’. Jiwaku semakin memberontak. Sedikit peluh keluar di dahiku tapi kubiarkan saja.

“Makcik, keinginan tu ada tapi siapalah yang mau dengan saya makcik. Bukan makcik tidak tau keadaan keluarga saya. Emak dan bapa saya juga mesti tak setuju. Mereka mau saya habis belajar dulu dan lepas tu kerja” Balasku.

“Hadi, biar makcik tolong bincang dengan emak bapa kau. InsyaAllah, sekurang-kurangnya kita cuba dulu. Makcik tau siapa yang kau suka. Makcik pasti mereka tidak menolak lamaran kau dan orang tua mu juga akan setuju.”

“Siapa makcik dan siapa yang bagi tahu makcik” Aku pantas bersuara dan inginkan kepastian.
“Si Suhana anak Pakcik Ahmad yang belajar di Politeknik tu. Makcik dengar semua ini pun dari  Sukardi” Cepat Makcik Satri menjawab.

Aku sedikit tersenyum. Namun, senyumanku itu cuba kusembunyikan daripada makcik. Tepat sangkaanku. Semua cerita ini mesti Sukardi yang bagi tau sebab tiga hari lepas aku ada bercerita kepadanya.
“Makcik, keluarga Suhana mahu jugakah tu? Mana tau keluarganya menolak.” Ujarku

“Tidak perlu risau Hadi, Makcik kenal keluarga Suhana dan mereka juga sangat tau peribadi kau. Sekarang hubungi emak bapa kau dan tunggu makcik di rumah. Makcik akan datang lepas isyak. Kita selesaikan juga malam ini. InsyaAllah besok pagi kita boleh terus merisik  Suhana.” Jelas Makcik dengan penuh yakin.

Hairan ! Makcik Satri pula yang semangat mahu aku menikah awal. Aku pun tak tau apa sebenarnya yang difikirkan oleh Makcik Satri. Namun aku yakin, semua itu demi kebaikan aku. Makcik Satri boleh dikatakan emak keduaku. Makcik inilah tempat aku selalu mengadu jika ada masalah. ‘Makcik,terima kasih banyak. Mau saja aku peluk sebagai tanda terima kasih. Namun, kutahan sahaja kerana antara aku dan Makcik Satri bukan muhrim ‘ Desis hatiku.

“InsyaAllah, makcik kejap lagi saya hubungi orang tua saya”

“Bagus kalau begitu, makcik harap perkara ni tidak perlu ditangguh lama-lama. Kau juga yang rugi nanti” Makcik Satri menasihati.

“Terima Kasih banyak makcik” Jawabku.

Aku segera pulang ke rumah. Dalam perjalanan ke rumah, aku seperti berjalan di awan-awangan. Bahagia sungguh. Mahu saja aku khabarkan dengan peduduk kampung. Menjerit kegembiraan. Tatkala diriku yang sangat jahil ini bakal menikahi seorang wanita solehah. Ya Allah, aku bersyukur kepada-Mu. Semoga niat hambamu ini sentiasa suci dan tulus mencari redha-Mu. Mendirikan rumahtangga sebagai permulaan bagiku membina bangunan ummah yang kukuh. Amien Ya Rabb.

Setibanya di rumah. Perasaan gembira tidak mampu terkawal. Telefon ‘Sony Ericson’ kucapai. Tujuanku adalah untuk mengkhabarkan kepada sahabatku tentang hal ini. Nama sahabat yang telah berkahwin menjadi sasaranku. Akhi Shahrul Nizam namanya. Butang panggilan kutekan.

Tut..tut..tut..

“Assalamu’alaikum akhi” Hadi memulakan bicara.

“Wa’alaikumussalam, ya akhi. Apa khabar dan anta ada hajat apa ni?” Balasnya.

“Alhamdulillah, ana sihat walafiat. Akhi, ana ada khabar gembira. Anta nak tau tak” Ceria nada suara Hadi.

“Ya, ana nak tau. Tapi khabar apa tu?”

“Akhi, malam ni semua keluarga ana akan berkumpul untuk membincangkan perancangan untuk meminang seorang muslimah sebagai bakal isteri ana. Muslimah tu duduk sekampung dengan ana. Sekarang dia tengah belajar di Politeknik Sarawak. Kami tunang saja dulu sementara dia habiskan belajar tahun ni. Lepas tu, kami akan nikah” Jelasku panjang lebar.

“Tahniah akhi, tak sangka ya anta juga akan menikah. Lagi pantas berbanding dengan sahabat lain. Bagus-bagus!” Sokong Shahrul Nizam.

“He3, Alhamdulillah akhi, seru dah sampai. Doakan ana agar terus menjaga niat” Pintaku.

“Ana sentiasa doakan akhi”

“Tapi?”

“Tapi apa akhi?” Hadi tertanya-tanya.

“Tapi akhi, ana lebih ‘prefer’ kalau anta kahwin dengan ‘Akhwat’” Cadang Shahrul Nizam.

“Kenapa pulak. Ana tak faham. Kenapa mesti akhwat.Lagipun, ada  ke akhwat yang available dan nak menikah dengan ana?” bertalu-talu soalan kulemparkan.

Available tu ada akhi. Bila-bila masa saja kalau anta nak. Tapi, anta kena siapkan ‘resume nikah’ dulu. Dengan adanya ‘resume nikah’ anta, senang sikit kita cari calon zaujah (isteri) yang anta nak. Kalau anta nak contoh resume nikah tu, ana ada. Malam ini juga ana hantar ke email anta. Tapi, sebaiknya anta pulang ke UMS dulu kita bincang secara matang” Jelas Shahrul Nizam.

“Akhi, kejap lagi keluarga ana semua datang ke rumah bincang hal ini. Ana nak bagi alasan apa? Ana tak berani pulak tarik balik kata-kata ana siang tadi. Sebab ana yang beria-ria sangat mau melamar muslimah tu” Luah Hadi.

“Seperkara lagi, ana masih tak faham kenapa ana kena menikah dengan akhwat?”Lanjutnya.

“Begini akhi, kalau anta menikah dengan akhwat mudah bagi anta, InsyaAllah. Akhwat faham gerak kerja dakwah ikhwah dan anta juga faham gerak kerja dakwah akhwat. Ada kesamaan fikrah. Jadi, keberlangsungan dakwah anta tidak sulit kerana saling memahami. Tetapi, tak salah kalau anta mau juga menikah dengan muslimah tu. Cumanya, nanti dia tak faham dakwah anta. Ini akan merumitkan kehadiran anta ke halaqah, jaulah, daurah dah mukhoyyam. Terpulang dengan anta, sejauhmana anta cinta akan dakwah ilallah seperti yang anta rasai sekarang” Shahrul Nizam mencadangkan.

“Kalau anta setuju, ana bersedia membantu anta, InsyaAllah” Lanjutnya.

‘Betul juga kata Nizam’ Bisik hatiku.

“Ok Akhi, ana setuju cadangan anta. InsyaAllah esok petang ana akan ke UMS. Berkenaan perbincangan keluarga ana malam ni. Ana sudah ada alasan yang kuat untuk menangguhkan lamaran esok pagi. Tapi, alasan tu biarlah rahsia, ok. Jadi akhi, doakan ana agar semua berjalan seperti yang dirancang dan yang paling penting Allah SWT Redha-Nya dengan niat kita” Balasku.

“InsyaAllah, ana senantiasa mendoakan kesejahteraan sahabat akhi”

“Jazakallah Khairon”

Perbualan telefon hampir setengah jam itu berjaya membuka mindanya. Dalam membuat sebarang keputusan sebaik-baiknya berbincang dengan sahabat. Minta nasihat dan pandangannya. Selain itu juga, keputusan yang bakal diambil perlu juga mengambil kira kesan kepada dakwah. Ini penting bagi mengelakkan kecelaruan, penyesalan dan permasalahan dan akhirnya memutuskan untuk keluar daripada jemaah. Bahkan, lebih parah lagi sekiranya tidak mau meneruskan gerak kerja dakwah. Siapa yang rugi?

                                     ****
Kedengaran suara emak, bapa, makcik, pakcik, anak saudara, abang sepupu dan lain-lain saudara lagi di luar rumah. Hatiku semakin berdebar. Peluh mula memenuhi dahi. Tapi, segera aku hilangkannya. Aku semakin risau, kalau semua alasanku ditolak dan mereka nekad untuk melamar muslimah tu pada hari esok.’ Ya Allah, bantulah hambamu ini’ doaku dalam hati.

Semua ahli keluargaku mengambil tempat masing-masing di ruang tamu.Melihat mereka, jantungku berdegup semakin kencang. Wajahku terasa pucat. Namun, aku cuba menguatkan tekad. Demi keberlangsungan dakwah. Ya Allah kuatkan semangatku. Fahamkan keluargaku akan maksudku. Hatiku terus-menerus berdoa dan memohon pertolongan dari-Nya. Tidak berhenti ku berdoa.

Suasana kurasa sangat  tegang. Semua mata sedang memerhatiku. Saat ini aku masih menundukkan wajahku. Lantai kayu beralas tikar diperhati tanpa ada tujuan. Aku sedang menunggu masa yang sesuai untuk memberanikan diri agar mampu bertentangan mata dengan ahli keluargaku. Nafas kutarik dan kulepaskan perlahan-lahan. Terasa  tenang dan lebih bertenaga.  Satu persatu wajah ahli keluarga kuperhatikan. Kelihatan ada yang ceria dan ada juga semacam tidak senang hati dengan keputusanku.

“Terima kasih semua kerana sudi datang. Hadi minta maaflah menyusahkan. Sebenarnya, Hadi baru dapat panggilan daripada kawan di UMS. Dia minta Hadi datang esok ke UMS, ada urusan pelajaran katanya. Kalau tidak datang juga kemungkinan besar markah Hadi akan ditolak dan gagal untuk kursus tu” Jawabku tenang walaupun ada perkataan yang tersekat-sekat.

‘Aku cuba membuat helah’ Bisik hatiku.

“Sebenarnya, memang ada assignment  yang sepatutnya saya hantar  pagi tadi, tapi belum siap. Ketua kumpulan sudah berkali-kali membuat panggilan. Tapi, semua tidak dilayan. Mesej pun tak direply.  Petangnya  ada perjumpaan kumpulan. Kami mahu bincang kerja-kerja yang tidak siap” Lanjutku.

“Jadi emak, bapa dan semuanya. Hadi tangguh dululah ya hajat kita mau datang melamar tu”

“Mak setuju sangat” Pantas emakku menjawab. Semua ahli keluarga lain pun setuju dengan cadangan tu.

Aku terkesima dengan jawapan mereka sebentar tadi. Pujian kupanjatkan kepada ilahi.Hatiku mula berbunga-bunga. Tekanan semakin berkurangan. Hati semakin tenang dan bersemangat semula. Alhamdulillah. Terima kasih Allah atas pertolongan-Mu.

“Tapi, Hadi?” Makcik Satri tiba-tiba bersuara.

“Kenapa Makcik?”

Tidak sempat aku mendengarkan bicara makcik Satri. Tiba-tiba aku terbangun. Tatkala mendengar laungan suara azan menandakan masuknya solat  fardhu isyak di Masjid Universiti UMS.

Astaghfirullah, sebentar tadi aku tertidur rupanya. Aku bermimpi lagi.

‘Astaghfirullah, Astaghfirullah, Astaghfirullah,’

Aku bingkas bangun dan terus mengambil wudhuk.

Nak difikirkan apalagi, resume nikah sudah dihantar. Sebarang keputusan aku bersedia menghadapinya. Aku yakin Allah SWT inginkan yang terbaik untuk hamba-Nya. Aku redha dengan ketentuannya!




1 comment:

  1. asif, komen ana; smkin ada pmbaikan tntg pnulisan anta..teruskan

    p/s bg ana sbg seorg prmpuan/akhwt ana x prefer nama perempuan lain d sbut dlm penulisan ni(wlpn bkn nama sbnr)..tuk mnjg ati zaujah..pndpt ana..

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...