Pages

Wednesday, June 11, 2014

Motivasi: Amanah Sebagai Penulis



 بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ


Motivasikan Diri


Memotivasikan diri sendiri untuk terus kuat dan bertahan itu memerlukan mujahadah yang berterusan. Kekuatan itu tidak hanya diperlukan saat kita lemah bahkan kekuatan itu diperlukan saat kita bersemangat agar dapat meningkatkan lagi kualiti kerja kita.

Setahun meninggalkan blog ini. Sedangkan jika difikirkan semula ini adalah amanah yang Allah SWT berikan kepada saya. Bila dikatakan amanah, berdosa sekiranya kita tidak bersungguh-sungguh untuk memperbaiki sikap agar terus bertanggungjawab.

Blog sebagai medium menyalurkan segala ilmu yang kita ada. Kadang-kadang ilmu yang biasa-biasa boleh memberi manfaat kepada sesiapa yang membacanya. Manfaat itu akan dijadikan asbab untuk pembaca berubah menjadi lebih baik.
 
Menulis Sedikit-Sedikit

Saban hari saya semakin sibuk dengan ceramah dan pemantapan pengurusan syarikat sehingga tiada ruang untuk meng’update’ blog ini. Saya sering kepenatan dan sekiranya mahu menulis, saya jadi hilang arah dan tidak tahu mahu menulis mengenai apa. Akhirnya saya memilih untuk berhenti untuk menulis. 

Setahun meninggalkan penulisan blog. Saya dapat merasai kesukaran saya menyusun idea dan merangka cerita dalam penulisan. Sehinggakan saya hanya mampu menulis separuh jalan dan tidak tahu mahu meneruskan. 

Jika difikirkan semula. Menulis artikel tidak semestinya panjang dan mempunyai beberapa muka surat. Tetapi, menulis artikel biar pendek namun mesej yang disampaikan dapat difahami oleh para pembaca. Hatta satu ayat.

Benarlah kata Rasulullah SAW yang bersabda; “Sampaikanlah dariku walau sepotong ayat”. Ini bermaksud, satu ayat sahaja sudah cukup dan memadai untuk para pembaca memahaminya

Adakah itu sulit untuk dilakukan?

Rancang Penulisan

Jika kita tahu semakin hari semakin sibuk dan tidak memiliki banyak masa. Maka, kita perlu membuat perancangan dalam penulisan. Jangan biarkan blog tidak dikemas kini berbulan-bulan lamanya. Ini secara tidak langsung akan menjatuhkan martabat kita dalam kalangan pembaca. Pembaca tidak tahu kesibukan kita tetapi tidak salah kalau mereka berpendapat sedemikian kerana hak pembaca untuk menikmati nukilan kita.

Jadi azam saya adalah saya akan menulis dan mengemas kini blog saya tiga ke empat kali seminggu. Walaupun artikel yang saya tulis mungkin pendek tetapi saya akan berusaha ianya menjadi artikel yang berkualiti. Insya-ALLAH, mulai hari ini saya akan merancang penulisan saya.

Saya mengajak kepada rakan-rakan blogger yang lain untuk kita membuat perancangan dalam penulisan. Sayang sekali bakat yang selama ini kita ada terkubur begitu sahaja.

 Jom kita berkarya!

Kesimpulan:

Dunia penulisan memang mencabar dan memerlukan kekuatan dalaman untuk terus istiqamah. Saya merasai cabaran itu. Sebab itulah blog saya setahun tidak dikemas kini. Tetapi insya-ALLAH, saya akan kembali komitmen dalam dunia penulisan. Saya mahu belajar dan menjadi seorang penulisan yang mengajak lebih orang cinta akan ilmu, menyintai ALLAH dan Rasul-Nya. 

Sumber kekuatan dan sumber segala idea hanya kepada-Nya. Memintalah kepada-Nya agar idea penulisan dan artikel yang dihasilkan benar-benar menyentuh hati para pembaca.

Saya memerlukan sokongan sahabat sekalian untuk memastikan budaya membaca dan menyebarkan ilmu semakin dipergiatkan lagi. 

Salam ukhuwah daripada saya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...