Pages

Showing posts with label motivasi. Show all posts
Showing posts with label motivasi. Show all posts

Saturday, September 27, 2014

A.C.T.I.O.N

Sejak berkecimpung dalam dunia latihan dan perunding motivasi di Kota Kinabalu, Sabah bersama para pelajar sekolah dan universiti.

Sebenarnya saya banyak belajar sesuatu daripada mereka. Menasihati mereka mengenai kejayaan dalam hidup itu secara tidak Saya sedang menasihati diri saya.

Soalan yang sering saya tanyakan semasa seminar adalah siapakah yang mahu berjaya dalam hidup?

Saya dapat menyaksikan 100% daripada peserta mahu berjaya dalam hidup mereka. Saya juga tidak terkecuali mengangkat tangan bahkan saya lebih tinggi kerana Saya memang mahu berjaya dalam kehidupan saya.

Setelah bertanyakan soalan kepada mereka. Saya pun merumuskan bahawa tiada sesiapa di atas muka bumi ini mahu gagal. Semuanya mahu berjaya bukan?

Persoalannya, saya dan para peserta seminar tahu mahu berjaya tapi kebanyakkan hanya sekadar tahu dan tidak buat.

Para peserta seminar juga tahu bagaimana mahu gagal tapi mereka sering melakukan perkara-perkara yang orang gagal lakukan.

Ini tugas yang sangat berat yang Saya hadapi sepanjang terlibat dalam bidang ini.

Atas dasar itu, saya berjaya menghasilkan satu jenis formula untuk membantu membuka minda agar tahu bagaimana mahu bertindak dan berjaya.

"Tindakan anda menentukan berapa besar jenis kejayaan yang bakal anda kecapi"

"Cepat atau lambat kejayaan untuk anda nikmati adalah ditentukan sejauh mana kesungguhan anda mahu bertindak"

Mutiara kata ; Rusdi Rusli ( Founder Smart Method )

Formula yang dimaksudkan adalah "ACTION." Action atau juga dikenali sebagai tindakan penentu kejayaan kita. Ramai yang tahu bagaimana mahu berjaya dan bagaimana mahu gagal? Berjaya atau gagal itu bergantung sejauh mana anda bertindak dengan memilih cara berjaya atau cara gagal.

Saya gelarkan formula ini sebagai The Power Of Action. Setiap kali seminar satu dua tips daripada formula ini akan mesti Saya sampaikan.

Apakah element penting yang terdapat dalam formula The Power Of Action? Berikut merupakan penjelasan serba ringkas mengenai formula hebat ini.

A.C.T.I.O.N

A= Attitude
C= Confident
T=Team Work
I= Inspire
N= Network

Saya akan kongsikan serba ringkas bagi elemen ATTITUDE. Selebihnya, anda boleh menghadiri seminar saya dan kita belajar bersama-sama.

A= Attitude

Sikap/Attitude adalah nilai peribadi seseorang. Ia juga merupakan hak mutlak seseorang setelah penciptanya. Dia berhak untuk merubah atau tidak mahu berubah dengan sikapnya.

"Jika penyakit HIV, AIDS, Jantung, H1N1, dan penyakit lain membunuh manusia. Sikap NEGATIF membunuh masa depan anda" (Rusdi Rusli, Founder Smart Method)

Saya sering menyampaikan ayat berbisa ini. Ia sangat benar. Sekiranya sejak dulu kita memiliki sikap positif dalam segala tindakan, tidak mungkin kita dapat menyaksikan kekecewaan dalam memburu kejayaan.

Ingat! Sikap boleh memberi kebahagian dan juga boleh memberi kehancuran dalam hidup.

Kesimpulannya:

Mahu berjaya, tidak hanya tahu bagaimana mahu berjaya.
Mahu berjaya, tidak semestinya dengan belajar tinggi-tinggi dan terus berjaya.
Mahu berjaya, tidak semestinya anda bergaul dengan orang-orang berjaya dan anda pun berjaya.

Dan banyak lagi istilah yang seumpamanya.

Jadi, sekiranya mahu berjaya pastikan anda tidak sekadar mahu. Tapi buktikan dengan tindakan yang bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti putus asa.

Hal ini kerana, hasil hanya akan dinikmati setelah berusaha untuk menanam, membajanya dan menjaganya.

Semoga anda berjaya dunia dan akhirat. Saya mendoakan kejayaan anda.

Semoga sedikit perkongsian ini dapat membantu memberi sedikit suntikan semangat buat diri Saya dan anda semua nya.

Sekian.

Salam sukses.
Rusdi Rusli
Different Action To Success
27 September 2014

Thursday, June 19, 2014

Motivasi: Jika Aku Ada Impian


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Semua orang mempunyai impian, walau sekecil-kecil impian.  Kerana Impian seperti destinasi paling bahagia dan menjadi idaman bagi semua orang.

Impian umpama harta yang tidak boleh dijual beli. Selain itu, impian juga sukar difahami oleh orang lain melainkan diri seseorang yang mengimpikan impian tersebut. 

Ada orang memiliki impian biasa-biasa saja tetapi baginya itu impian paling berharga buat dirinya. Namun, ada juga memiliki impian yang luar biasa dan menurut pandangan orang lain mustahil untuk mencapainya. Tetapi, bagi mereka yang mengimpikan impian tersebut itu bukan perkara yang mustahil jika ada keinginan, keyakinan, kepercayaan dan kerja keras untuk mencapainya.

Ini bermaksud, impian itu sangat subjektif. Hanya mereka yang memiliki impian yang merasainya bagaimana mahu mencapai dan seperti mana nikmatnya impian itu jika berjaya mencapainya.

Saya tidak pernah mendengar orang berjaya dalam hidupnya tidak memiliki impian. Semestinya sebelum seseorang itu mencapai kebahagian dan kekayaan hidup, seseorang itu telah berjaya memiliki impian seterusnya membuat perancangan tentang tindakan yang bagaimana yang perlu dilakukan untuk mencapai impian itu.

Begitu juga dalam segara aktiviti harian saya. Semuanya dimulai dengan sekecil-kecil impian sehinggalah sebesar-besar impian. Impian umpama nadi atau jiwa dalam sesebuah pekerjaan atau tindakan. Tanpa impian pekerjaan atau tindakan itu seperti jasad tanpa roh. 

Semasa saya menulis artikel ini, impian saya adalah mahu menyampaikan kepada para pembaca bahawa hidup ini perlu memiliki impian. Oleh itu, saya tidak terbeban sedikit pun untuk menghasilkan artikel ini kerana ia impian saya. Dengan usaha ini, saya seperti mendapatkan kebahagiaan, ketenangan, kejayaan dan dapat mengukur prestasi saya dalam bidang penulisan. 

Selain itu, dengan kejayaan saya menghasilkan artikel pendek ini dapat menguji kemampuan saya dalam dunia penulisan. Berbicara mengenai bidang penulisan, impian jangka panjang saya adalah mahu menjadi seorang penulis buku-buku motivasi di Malaysia dan karya saya diterjemahkan dalam pelbagai bahasa. Semua ini tidak akan tercapai sekiranya saya tidak memiliki impian. Jadi, proses pertama yang perlu saya lalui untuk mencapai puncak impian yang lebih besar adalah dengan melazimkan diri menghasilkan artikel pendek. Kerana inilah sekecil-kecil impian yang perlu saya lalui.

Mengenai penerima pembaca terhadap karya saya itu soal kedua bagi saya, kerana fokus utama saya adalah mahu melatih mencurahkan ilmu, membiasakan diri dalam penulisan dan mendapatkan sebanyak mungkin komen pembaikan artikel saya. Sebab itu, saya tidak merasa bimbang jika artikel saya mendapat kritikan kerana bagi saya semua itu adalah proses jika mahu menjadi penulis berjaya dan profesional. 

Dengan impian kita boleh menilai prestasi dan kelemahan diri dalam kehidupan. Impian akan membuatkan seseorang terasa memiliki. Tanpa impian, mana mungkin kita memiliki dalam kehidupan. Mahu meraih kebahagian, kecemerlangan, kekayaan, kejayaan, ketenangan dan sebagainya, semua itu dimulai dengan impian.

Saya berharap dengan sedikit perkongsian mengenai impian ini dapat mengusik hati pembaca untuk memiliki impian walau sekecil-kecil impian. 

Jangan takut memiliki impian. Memasang banyak impian dalam hidup tidak perlu bayaran. Semua itu percuma. Jangan mengehadkan minda anda untuk memiliki impian yang banyak dan luar biasa. Jangan bimbang jika impian yang banyak dan luar biasa itu bakal menyusahkan anda, kerana impian anda itu adalah doa. Jika diiringi dengan usaha yang bijaksana dan kepercayaan bahawa anda boleh mencapainya. Yakinlah tiada yang mustahil dalam hidup ini. 

Sekali lagi saya mengajak anda bahawa berusahalah memiliki impian mulai detik ini. Jangan berlengah lagi kerana masa tidak akan pernah menunggu anda. Semakin kita menunggu dan bertangguh, semakin menjauh impian-impian yang luar biasa dalam hidup kita.

Namun, anda akan meraih kehidupan jika anda memiliki impian dan bertindak dengan pantas untuk merealisasikan impian. 

Jika aku ada impian. 

Aku yakin, tiada yang mustahil.

Wednesday, June 11, 2014

Motivasi: Amanah Sebagai Penulis



 بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ


Motivasikan Diri


Memotivasikan diri sendiri untuk terus kuat dan bertahan itu memerlukan mujahadah yang berterusan. Kekuatan itu tidak hanya diperlukan saat kita lemah bahkan kekuatan itu diperlukan saat kita bersemangat agar dapat meningkatkan lagi kualiti kerja kita.

Setahun meninggalkan blog ini. Sedangkan jika difikirkan semula ini adalah amanah yang Allah SWT berikan kepada saya. Bila dikatakan amanah, berdosa sekiranya kita tidak bersungguh-sungguh untuk memperbaiki sikap agar terus bertanggungjawab.

Blog sebagai medium menyalurkan segala ilmu yang kita ada. Kadang-kadang ilmu yang biasa-biasa boleh memberi manfaat kepada sesiapa yang membacanya. Manfaat itu akan dijadikan asbab untuk pembaca berubah menjadi lebih baik.
 
Menulis Sedikit-Sedikit

Saban hari saya semakin sibuk dengan ceramah dan pemantapan pengurusan syarikat sehingga tiada ruang untuk meng’update’ blog ini. Saya sering kepenatan dan sekiranya mahu menulis, saya jadi hilang arah dan tidak tahu mahu menulis mengenai apa. Akhirnya saya memilih untuk berhenti untuk menulis. 

Setahun meninggalkan penulisan blog. Saya dapat merasai kesukaran saya menyusun idea dan merangka cerita dalam penulisan. Sehinggakan saya hanya mampu menulis separuh jalan dan tidak tahu mahu meneruskan. 

Jika difikirkan semula. Menulis artikel tidak semestinya panjang dan mempunyai beberapa muka surat. Tetapi, menulis artikel biar pendek namun mesej yang disampaikan dapat difahami oleh para pembaca. Hatta satu ayat.

Benarlah kata Rasulullah SAW yang bersabda; “Sampaikanlah dariku walau sepotong ayat”. Ini bermaksud, satu ayat sahaja sudah cukup dan memadai untuk para pembaca memahaminya

Adakah itu sulit untuk dilakukan?

Rancang Penulisan

Jika kita tahu semakin hari semakin sibuk dan tidak memiliki banyak masa. Maka, kita perlu membuat perancangan dalam penulisan. Jangan biarkan blog tidak dikemas kini berbulan-bulan lamanya. Ini secara tidak langsung akan menjatuhkan martabat kita dalam kalangan pembaca. Pembaca tidak tahu kesibukan kita tetapi tidak salah kalau mereka berpendapat sedemikian kerana hak pembaca untuk menikmati nukilan kita.

Jadi azam saya adalah saya akan menulis dan mengemas kini blog saya tiga ke empat kali seminggu. Walaupun artikel yang saya tulis mungkin pendek tetapi saya akan berusaha ianya menjadi artikel yang berkualiti. Insya-ALLAH, mulai hari ini saya akan merancang penulisan saya.

Saya mengajak kepada rakan-rakan blogger yang lain untuk kita membuat perancangan dalam penulisan. Sayang sekali bakat yang selama ini kita ada terkubur begitu sahaja.

 Jom kita berkarya!

Kesimpulan:

Dunia penulisan memang mencabar dan memerlukan kekuatan dalaman untuk terus istiqamah. Saya merasai cabaran itu. Sebab itulah blog saya setahun tidak dikemas kini. Tetapi insya-ALLAH, saya akan kembali komitmen dalam dunia penulisan. Saya mahu belajar dan menjadi seorang penulisan yang mengajak lebih orang cinta akan ilmu, menyintai ALLAH dan Rasul-Nya. 

Sumber kekuatan dan sumber segala idea hanya kepada-Nya. Memintalah kepada-Nya agar idea penulisan dan artikel yang dihasilkan benar-benar menyentuh hati para pembaca.

Saya memerlukan sokongan sahabat sekalian untuk memastikan budaya membaca dan menyebarkan ilmu semakin dipergiatkan lagi. 

Salam ukhuwah daripada saya.

Sunday, June 30, 2013

Motivasi: Rindu Kerana Allah


                                                              بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ



“..Tiada kegembiraan yang menyamai perjumpaan dengan sahabatnya dan tiada kesedihan yang menyamai perpisahan dengannya…

Moga persahabatan yang dibina dengan BISMILLAH ini hanya berakhir dengan INNALILLAH...”

Persahabatan atau ukhuwah itu umpama seuntai tasbih. Ada permulaannya, namun tiada penghujungnya. Ukhuwah dicipta untuk mengingati-Nya, Berbahagia untuk meraih cinta-Nya dan ukhuwah juga sentiasa dijaga serta dipelihara agar tidak tersasar daripada landasan keredhaan-Nya.

Bila seseorang rindu dengan sahabatnya. Berdoalah kepada-Nya. Semoga Allah menyampaikan perasaan rindu itu kepada sahabat yang dirindui.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “ Ya Allah, jadikanlah hamba-Mu ini mencintai orang yang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku.” (HR Muslim) 

Saya terharu dan tersentuh mendengarkan dan mengahayati bait lirik lagu Sigma yang berjudul ‘Senandung Ukhuwah’. Lagu ini kudedikasikan buat sahabatku yang jauh di sana. Semoga ukhuwah yang terbina membawa kami ke syurga-Nya. Sahabat, saya akui sejak hijrah ke negeri Kelantan saya sangat merinduimu sahabat. Semoga Allah redha perasaan rindu ini. Terima dan hayatilah bait-bait ayat lagu ini.

Senandung Ukhuwah (Sigma)


Di awal kita bersua

Mencuba untuk saling memahami

Keping-keping di hati

  Terajut dengan indah

Rasakan persaudaraan kita



Dan masa pun silih berganti

Ukhuwah dan amanah tertunaikan

Berpeluk suka dan duka

Kita jalani semua

Semata-mata harapkan redha-Nya



Sahabat tibalah masanya

Bersua pasti ada berpisah

Bila nanti kita jauh berpisah

Jadikan rabithah pengikatnya

Jadikan doa ekspresi rindu

Semoga kita bersua di syurga

Sahabat, aku merinduimu kerana Allah. Semoga hijrah ini dapat mentarbiyah hati nurani kita untuk semakin cinta kepada-Nya. Kita bertemu dan berpisah kerana-Nya. Sungguh Allah mencintai orang-orang yang beriman dan saling menyayangi kerana-Nya. Hanya doa sebagai pengubat rindu agar ukhuwah kita terus subur dengan benih-benih keimanan dan ketakwaan kepada Sang Pencipta kita iaitu Allah SWT. Tuhan Yang Maha Esa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud; “Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.” (Surah Az-Zukhruf 43:67)

Hanya kerinduan kerana-Nya yang mampu menyebabkan hati sahabat kita juga merindui kita kerana-Nya.

Sunday, June 9, 2013

Munajat: Ampunilah Aku Ya Allah

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ



Ya Allah…

Telah banyak perkara mungkar yang telah Aku lakukan.

Gelap hati ini dibuatnya. Berat diri ini saat beribadah kepada-Mu. 

Aku terus memaksa diri menunaikan perintah-Mu. Namun, sedikit pun kesan keimanan tidak menyinari kegelapan hatiku. 

Saat Aku jauh dari perintah-Mu. Maka, semakin rutin kemungkaran yang Aku lakukan kepada-Mu. 


Ya Allah…

Taubat sering saja Aku tunaikan setelah kemaksiatan itu. Namun, nafsu syahwat terus saja melekat pada hati ini agar terus melakukan larangan-Mu. Andai saja ini berlaku ke atas diriku, Aku sanggup terbang jauh daripada pandangan yang mengenaliku. Aku mahu memulakan lembaran baru di dunia sana saat penghuninya tidak mengenaliku.

Tapi, semua ini melibatkan sahabatku. Tak mungkin Aku pergi jauh saat sahabatku menderita menanggung ujian ini sendirian. Biarlah kisah hitam itu terkubur dengan sendirinya. Namun, persahabatan ini tetap akan diteruskan dan dipelihara dengan benih keimanan dan ketakwaan kepada-Mu.


Monday, April 29, 2013

Hidup Jangan Sesekali Disusahkan!

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ



Usai solat isyak di Masjid UMS. Seorang sahabat menemui saya. Dia meminta tips menangani stress (tekanan). Saya amat teruja mendengarkan permintaannya. Tatkalah Allah SWT menyediakan peluang untuk saya menambah pahala. Semoga Allah redha. Amin.

Kisahnya bermula apabila dia melihat saya kelihatan tenang saja. Boleh dikatakan setiap hari. Bukan itu saja, dia juga mengakui bahawa dia cemburu kerana saya istiqamah memberi senyuman kepada sesiapa saja. Bermula dari situ maka timbul keinginan dalam diri  untuk mendapatkan rahsia keceriaan dan ketenangan diri saya.

“Sejak belakangan ini saya selalu stress. Banyak tugasan saya tertangguh. Saya jadi risau dibuatnya. Tolong saya sahabat.?” Luahan hati sahabat saya.

“InsyaAllah sahabat, saya bersedia membantu.” Balasku

Sebenarnya kita selalu mengharapkan ketenangan hadir dalam jiwa kita. Tetapi kekadang kita letakkan ia hanya sekadar harapan. Kita tiada usaha untuk mencari ketenangan itu. Ketenangan itu ada di sekeliling kita sebenarnya. Allah SWT akan menghadirkannya bila-bila masa saja.

Sedarkah kita!

Tapi saya bangga dengan kau. Tak menunggu ketenangan dan kebahagiaan itu bergolek di depan mata. Semoga perkongsian saya ni bermanfaat untuk diri saya terutamanya dan juga diri kau sahabatku.

Sahabat saya khuyuk mendengarkan.

Tapi, malangnya masa saya terlalu singkat kerana ada urusan lain. Saya mohon maaf banyak-banyak sahabat. Jadi saya hanya dapat kongsikan dua tips sahaja.

Jom kita ambil manfaatnya.

Wednesday, March 27, 2013

Mudahkan Dirimu Jadi Sahabat.



 

Tolong jangan susahkan.   

Perumpamaan "ambillah buah yang lebih dekat".

Dalam kembara mencari sahabat sejati.

Sahabat diumpamakan seperti buah. Buah yang akan dipetik dan dimanfaatkan oleh pemiliknya.

Biasanya, Pemilik buah akan lebih cenderung memilih buah lebih dekat untuk dipetik dan dimanfaatkan kerana ianya lebih mudah dan tidak mempunyai banyak halangan berbanding buah yang lebih jauh jelas sukar untuk dipetik dan dilihat.

Maka, buah yang jauh itu menyebabkan pemilik mungkin membiarkannya tanpa dimanfaatkan dan memberi manfaat.

Sahabat tahu tak mesej daripada perumpamaan di atas?

Saya harap sahabat-sahabat faham ya. Kalau tidak faham juga, insyaAllah, sahabat boleh tinggalkan komen dalam blog ini untuk saya jelaskan dengan lebih lanjut.

Naah..

Oleh itu, sahabatku.

Jangan sukarkan seseorang jika mereka ingin bersahabat denganmu. Apatalagi seseorang yang mahu mendekati anda itu adalah orang-orang yang dikenali baik akhlaknya.

Jadilah buah yang lebih dekat bukannya menjadi buah yang lebih jauh.

Mudahkan diri kita untuk memberi manfaat dan dimanfaatkan demi kebaikan bersama. terutamanya dalam soal pembentukan nilai keimanan kepada Allah SWT. Bersahabatlah kerana Allah SWT.

Jangan sampai pengakhiran hidup kita tidak dimanfaatkan dan memberi manfaat kepada orang lain?

Maka, sia-sialah hidup kita.

Ayoh, sahabatku. Muhasabah diri kita.

Allah SWT berfirman;


“Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh. “ 

[Surah Ass-Saff 61:4]

Sebenarnya persahabatan kerana Allah SWT membawa kita untuk bersatu. 

Ya.

Kita bersatu satu hati untuk meraih cinta Allah SWT. Kita bersatu untuk taat kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. Kita bersatu untuk berdakwah . Kita juga bersatu untuk berjihad dan syahid dijalan-Nya.
Hasilnya, terbentuklah bangunan masyarakat islam yang kukuh dan teguh. 

Kerana apa?

Kerana kita bersatu dalam barisan persahabatan kerana Allah SWT.

Sekarang. Semuanya terpulang dengan diri kita. Nak mudahkan atau nak menyukarkan.

Tapi, pesan saya. Jadilah buah yang lebih dekat.

Kerana ia memudahkan.


Wallahu'alam


Karya Asli: Hadi Muslim
"Everything for Allah"

Monday, March 11, 2013

Bersyukurlah Kerana Kita Masih Ada




Sebenarnya Allah Sayang Kita

Ramai di antara kita merasa kecewa dan berputus asa apabila ditimpah musibah. Kita selalu pendek akal dan mudah saja membuat kesimpulan. Salah itulah, salah inilah. Ada sahaja kesalahan direka-reka untuk menyalahkan diri sendiri seolah-olah Allah SWT tidak mengampuni kita. Bahkan ada juga manusia sanggup melabelkan dirinya sebagai ahli maksiat dan ahli neraka. ‘Lebih baik aku mati saja. Biarlah aku dalam kemaksiatan ini.’

Pemikiran inilah yang akan berlaku sekiranya kehidupan kita terlalu jauh dengan Allah SWT. Kita tidak mengenal siapa Allah SWT? Kita tidak tahu bahawa rahmat dan kasih sayang Allah SWT itu sangat luas. Bahkan Allah SWT menjanjikan kita sebagai Sang Pendosa agar jangan berputus harap dengan timbunan dosa yang telah kita lakukan. Namun, kita melupakan semuanya. 

‘Allah SWT bukan lagi menjadi pelindung utama kita. Allah SWT bukan lagi tempat kita meminta pertolongan. Allah SWT bukan lagi sumber kekuatan kita. Allah SWT seolah-olah tidak wujud lagi dalam politik kehidupan kita.’

Jadi, di mana Allah SWT kita letakkan dalam sisi kehidupan ini?

Sedarkah kita. Saat diri kita bergelumang dengan dosa yang tidak terkira banyaknya. Saat kita berputus asa dengan perilaku dosa yang telah kita lakukan. Namun, Allah SWT sentiasa membuka pintu taubat buat kita.
Ya, buat kita Sang Pendosa.

Allah SWT sentiasa membentangkan rahmat dan kasih sayangnya kepada mereka yang dikehendaki. Yakni kepada mereka yang bersungguh-sungguh mencari jalan pulang menuju keredhaan-Nya.

Sahabatku, sebenarnya Allah SWT sayangkan kita.

Sebagaimana firman-Nya

 “Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

[Surah Az-Zumar 39:53]

Jelas di sini bahawa Allah SWT tidak seperti yang kita sangkakan. Allah SWT sayang kita sebenarnya. Namun, kitalah selalu menyalahkan dan melemahkan diri sendiri. Kita hanya tahu menuduh diri kita sebagai pendosa. Proaktif mencipta alasan agar taubat ditangguh-tangguhkan. 

Kita juga selalu membenarkan bisikkan-bisikkan syaitan mempengaruhi kita agar kita semakin jauh daripada Allah SWT. Syaitan bukan lagi menjadi musuh kita, bahkan menjadi teman pemikir seharian kita. Sedangkan Allah SWT telah merakamkan dengan jelas bahawa syaitan itu musuh nyata bagi kita
.
Allah SWT berfirman;

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”

                                                              [Surah Al-Baqarah 2: 208]
Ayat lain turut menyatakan hal yang sama mengenai syaitan musuh bagi kita.

Allah SWT berfirman;

“Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh(mu), karena sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala”

[Surah Faathir 35:6]

Semua perilaku dosa yang kita lakukan sebenarnya rancangan syaitan ke atas diri kita. Syaitan tidak akan pernah berhenti mencipta langkah agar kita menjauhi Allah SWT. 

Sahabat, sekarang bukan lagi masa untuk kita menyalahkan diri dan orang lain. Dosa tetap dosa. Selagi nyawa dikandung badan, kehidupan ini mesti diteruskan. Gunakalah masa yang ada untuk mencari jalan pulang kepada-Nya.

Jangan berlengah lagi!

Kenali diri kita

Sahabat, sudahkah kita mengenali diri ini? Cintakah kita dengan diri kita? kalau ya. Siapa diri kita? Apa matlamat hidup kita? Ke mana kita selepas mati? Siapa yang menciptakan dan mematikan kita?

Persoalan sedemikian akan membongkar rahsia mengapa kita dilahirkan di atas muka bumi ini. Sebenarnya kita adalah hamba Allah SWT. Matlamat hidup kita hanya satu iaitu menyeruh kita agar hanya beribadah kepada Allah SWT.  

Allah SWT berfirman;

“Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.”

                                                         [Surah Adz-Dzaariyat 51:56]

Selepas kehidupan di dunia ini, kita akan menempuh dunia akhirat yang kekal selama-lamanya. Di sana nanti kita akan ditempatkan sama ada di Syurga mahupun di Neraka. Allah SWT sebenarnya yang menciptakan dan mematikan kita.

Sahabat, jika kita gagal mengetahui tujuan hidup kita. Maka, seluruh usia hidup kita akan diisi dengan perkara-perkara yang Allah SWT larang. Kita semakin hilang pergantungan kepada Allah SWT. Allah SWT seolah-olah tidak wujud bagi kita.

Semua itu ujian

Kehidupan ini adalah ujian. Ujian kebaikan dan keburukan itu semua daripada Allah SWT. Kenapa Allah SWT menguji kita?

Jawabnya kerana Allah SWT mahu melihat kita sama kita ini benar-benar beriman kepada-Nya atau kita ini hanya seorang pendusta.

Allah SWT berfirman;

“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”

[Surah Al-Ankabut 29:2-3]

Sahabat, segala dosa yang telah kita lakukan itu anggaplah ia sebagai ujian daripada Allah SWT. Yakinilah, Allah SWT akan mengampuni dosa-dosa itu dengan syarat kita benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh bertaubat kepada-Nya.

Bersyukurlah kerana kita masih ada

Bila kita bersyukur dengan nikmat-Nya dan bersabar dengan musibah yang diberikan oleh-Nya. Sebenarnya itu adalah petanda bahawa kita berjaya memaknai ujian-Nya dengan iman yang sihat. Dengan itu, pertolongan Allah SWT itu dekat. Maka, jadilah di antara orang-orang yang beruntung.

Namun, bila kita gagal memaknai ujian itu dengan iman yang sihat. Maka, kita menjadikan musibah itu sebagai beban hidup dan menyebabkan kita semakin jauh daripada mengingati Allah SWT. Akhirnya, jadilah kita di antara orang-orang yang merugi.

Allah SWT berfirman

“maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.”

[Surah Asy-Syams 91:8-10]

Sahabat, bersyukurlah kerana kita masa ada. Hentikanlah segala kisah hitam dalam kamus kehidupan kita. Marilah kita bersama-sama memilih jalan ketakwaan agar menjadi orang-orang beruntung.

Ya, kita adalah orang-orang yang beruntung kerana kita memilih jalan ketakwaan sebagai bahterah kehidupan kita.

Dengannya, kita akan sampai di pelabuhan syurga bersama-sama penumpang bahterah ketakwaan lainnya.

Itulah destinasi terakhir bagi orang-orang yang bersyukur, beriman dan bertakwa kepada-Nya.

Wallahu'alam..

Karya Asli: Hadi Muslim
Hak Cipta Terpelihara
11/03/13 (6.00am) UMS Kota Kinabalu, Sabah.

Wednesday, December 26, 2012

Salah Erti Ketenangan



Ketenangan sering saja kita salah ertikan! 

Buktinya. Kita selalu mendapatkan ketenangan dengan bermain game, menonton wayang , keluar berdua-duaan dengan pasangan yang tidak halal bagi kita, berhibur di pusat hiburan, minum arak, menagih dadah, dan macam-macam lagi aktiviti yang dianggap memberi ketenangan kepada diri kita.

Bukan itu saja. Kekayaan, pangkat, isteri yang cantik, kereta mewah, anak yang banyak, perniagaan yang berjaya, populariti, pujian dan sebagainya juga menjadi sumber ketenangan bagi masyarakat kita.

Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud;

"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga)."
(Surah Ali Imran 3:14)

Benarkah pilihan kita di atas sebagai pemberi ketenangan kepada jiwa kita?

Benarkah?

Tanyakan diri kita. Jujurlah sahabatku.

Kita dianggap mencapai ketenangan bila ketenangan itu melekat dalam jiwa kita sebelum, semasa dan selepas melakukan sesuatu.

Saya bertanya lagi kepada sahabat.

Benarkah pilihan di atas memberi ketenangan selepas kita menikmatinya?

Benarkah?

Jawablah dengan hati yang jujur. InsyaAllah kita akan menemui jawapannya.

Saya nasihatkan dan ingatkan diri yang lemah ini agar kita muhasabah kembali diri kita. Tidakkah kita menyedari bahawa hiburan di atas yang dianggap rutin memberi ketenangan sementara kepada diri kita?

Ya sementara saja. Ianya tidak kekal. Bahkan membuatkan kita resah dan bersalah selepas melakukannya.

Betul tidak?

Adakah itu erti ketenangan yang kita impikan?

Ketenangan yang tidak membawa ke syurgaNya. Bahkan mencampakkan kita ke neraka Allah SWT.

Nauzubillah!

Bukankah itu merugikan diri kita sahabatku?

Kita biarkan masa kita berlalu begitu saja. Kita buang masa kita untuk perkara kemungkaran yang merugikan kita. Berkehendakkan syurga bukan sekadar kata. Namun perlu diaplikasikan dengan mempersembahkan perwatakan ahli syurga.

Syurga bukan sekadar untuk dimimpikan. Namun, syurga itu perlu direalisasikan di akhirat sana dengan perbuatan dan tindakan ahli syurga.

Sahabat, Jangan buang masa lagi!

Masa akan terus berlalu meninggalkan kita. Maka itu, kejarlah ia.

Hentikan perbuatan yang memberi ketenangan yang sementara dan palsu itu. Carilah ketenangan yang hakiki yang membawa kita menuju kejayaan dunia dan akhirat.

Tenangkan jiwa kita dengan hanya mengingati pemberi ketenangan iaitu Allah SWT. Lapangkan jiwamu menerima perintahNya dan meninggalkan laranganNya.

FirmanNya; "(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram."
(Surah Ar-Ra'd ayat 28)
Wahai sahabatku!

Inilah satu-satunya jalan menuju ketenangan hakiki. Hidup di dunia umpama menikmati hidangan syurga. Hati bahagia, jiwa tenang dan tenteram. Seluruh makhluk bertasbih untuk diri kita. Ketenangan ini hadiah kepada mereka yang banyak mengingati Allah SWT.

Saya mengajak diri ini dan sahabat sekalian.

Ingatlah Allah. Pastinya hatimu akan lebih tenang.

Banyak cara untuk mententeramkan jiwa kita. Bagaimana?

“Bacalah kitabNya yakni Al-Quran dan tadabburinya. Berzikirlah, Perhatikan penciptaan langit dan bumi, Fahami ass-sunnah nabiNya, hayatilah penjuangan para sahabat, dan berdampinglah dengan orang-orang soleh.”

Ada banyak lagi tazkirah-tazkirah yang membawa kita mengingati Allah SWT. Carilah dan berusahalah untuk mendapatkannya. Jangan hanya menunggu untuk diingatkan. Namun, berusahalah untuk mengingatkan diri agar diri kita lebih dekat kepadanya. Lebih banyak mengingatinya.

Nescaya sahabatku.

Kita akan mencapai ketenangan hakiki. Bahagia berbuat segala hal. Kerana kita sandarkan hanya kepadaNya. Ketenangan itulah yang membawa kita lebih banyak mengingati Allah SWT. Di pengakhiran hidup kita, syurga nantinya.

Yakinlah!

Hanya mengingati Allah hatimu akan jadi tenang dan tenteram.

Duhai Hati selamat bermujahadahlah menuju akrab kepadaNya.


-Hadi Muslim-
Everything for Allah"
UMS/27/12/KK,Sabah.
5:33pm
P/s: Hak Cipta Terpelihara.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...