Pages

Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Saturday, August 11, 2012

Benarkah! Malam Qadar diabaikan?



“Idea ini muncul ketika menaiki kenderaan seorang sahabat yang mana ketika itu saluran radio sedang rancak mempromosikan keperluan raya tanpa ada menyentuh sedikit pun tentang 10 malam terakhir ramadhan dan kemuliaan malam lailatul qadar. Moga bermanfaat.”

Inilah Realiti

Semakin rancak pihak media mempromosikan kegembiraan menyambut hari kemenangan iaitu hari raya Aidilfitri. Saluran radio, televisyen, media cetak dan internet tidak henti-henti memberitakan tentang keseronokkan berhari raya. Tidak dinafikan, seluruh rakyat Malaysia menyambut baik promosi-promosi tersebut tanpa ada sedikit pun kritikan mahunpun penolakan. Promosi baju baru, perabot baru, rumah baru, kereta baru, hiasan rumah baru, makanan dan minuman yang sedap dan sebagainya menjadi agenda utama semua pihak media.

Sangat menyedihkan bila ada sesetengah masyarakat sanggup membelanjakan ribuaan ringgit semata-mata untuk kelihatan hebat dan menarik menjelang hari perayaan. Kelihatan hebat dan menarik itu tidak salah, namun bukankah itu satu pembaziran yang berlaku dalam keluarga kita!

Saya mengajak agar kita sama-sama menilai keutamaan.

Itulah kehebatan daya pengaruh yang cuba dimanipuilasikan oleh semua media di seluruh Malaysia agar mereka mendapat keuntungan berlipat kali ganda. Tanpa ada tolak ansur, media berlomba-lomba menpengaruhi minda masyarakat agar mudah terjebak akan pembaziran. Saya tidak kata salah, namun ada lagi kegembiraan hakiki yang perlu dipromosikan secara habis-habisan agar masyarakat kita mencapai kegembiraan dan kejayaan dunia dan akhirat.

Semakin diabaikan!

Lailatul qadar semakin diabaikan oleh sesetengah masyarakat islam di Malaysia. Kesedaran tentang kemuliaan malam yang dikatakan lebih baik daripada 1000 bulan itu seperti tiada maknanya. Ganjaran hebat yang diberikan oleh Allah SWT hanya di bulan ramadhan ini tidak memberi apa-apa motivasi kepada masyarakat untuk mendapatkannya.

Apa yang diraihkan saat akhir ramadhan ini ialah berkira-kira dan membuat “check list” perbelanjaan yang akan dipenuhi saat menjelangnya hari raya. Kesungguhan untuk memenuhi kehendak nafsu raya semakin memuncak sehinggakan sepuluh malam terakhir bulan ramadhan dibiarkan berlalu pergi. Sama sekali tidak terfikir untuk berusaha dan berikhtiar untuk memaknai lailatul qadar. Perkiraan dan check list ibadah sepanjang bulan ramadhan tidak seiring dengan kesungguhan menyediakan keperluan perbelanjaan hari raya.
 
Adilkah kita dalam hal ini!

Mana hak Allah SWT terhadap diri kita?

Selain itu, bukti nyata akan kesungguhan meraihkan hari raya ialah apabila Pasaraya dan “Shopping Mall” semakin sesak. Masyarakat islam berbondong-bondong memenuhi pasa raya bagi merealisasikan kehendak mereka. Lebih malang lagi, apabila sanggup mengabaikan kewajipan fardhu dan ibadah-ibadah lain semata-mata kerana itu.

Menakutkan bukan!

Inilah realiti masyarakat kita. Soal ibadah bukan lagi menjadi topik utama dalam kamus hidup. Bahkan soal ibadah semakin dipandang enteng bagi sesetengah masyarakat islam. Kata islam, namun tidak mengambil kira soal ibadah dan syariat dalam membuat sebarang keputusan. Hanya mengikut kehendak nafsu semata-mata.

Nauzubillah!

Sangat menyedihkan!

Siapa yang salah

Dalam hal ini kita tidak boleh menyalahkan siapa-siapa. Diri kita yang jahil. Cuma saya mahu mengajak masyarakat islam sekalian agar kita menilai kembali sebarang keputusan yang telah dan bakal kita lakukan. Adakah keputusan itu mengambil kira soal ibadah atau sebaliknya. Sekiranya tidak, maka saya memohon agar kita sama-sama beristighfar kepada Allah SWT. Mohon ampun kepada Allah SWT agar kita tidak termaksud orang-orang yang dijanjikan murka Allah SWT.

Masih ingat lagi kata-kata Allah SWT dalam surah Adz-Dzaariyat 51:56;

 Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku”

Naah, Nak syurga tak?

Saya yakin, kita semua mahukan syurga Allah SWT.

Betul tak?

Oleh itu, marilah kita tinggalkan perkara-perkara yang membawa kepada murka Allah SWT. Terutamanya dalam hal-hal berkenaan persediaan menyambut hari raya. Semoga hari raya yang bakal menjelang nanti menambahkan lagi ganjaran pahala dan ketakwaan kita kepada Allah SWT. Bukan menambahkan lagi dosa dan keingkaran kita kepada Allah SWT.

Kita juga yang akan merugi!

Jujur saya katakan, saya tidak mahu menambahkan lagi dosa pada hari kemenangan islam yakni hari raya. saya mahu beribadah sambil bergembira bersama keluarga tercinta.
Saya yakin anda juga begitu!

Hidupkan malam Qadar

Ayuh! Hidupkan malam qadar mulai saat ini.

Jangan tunggu lagi!

Jangan beralasan lagi!

Yakinlah ganjaran Allah SWT pada malam Qadar iaitu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Malam penuh keampunan. Malam penuh rahmat.

Namun, jangan dilupa. Tujuan utama kita bukan semata-mata memburu malam agung itu. Tetapi tujuan utama kita ialah menjadikan malam qadar sebagai wadah menuju keredhaan Allah SWT. Itulah matlamat utama kita agar menjadi masyarakat islam yang bertakwa. InsyaAllah.

Tanyakan diri kita? Pujuk diri kita? Agar kita memulakan langkah menuju rumah Allah SWT untuk melaksanakan iktikaf.

Sekiranya, takut berseorangan? Ajaklah rakan-rakan dan ahli keluarga anda bersama. Bagi yang sudah berumah tangga, ajaklah isteri dan anak-anak untuk beriktikaf di masjid. Ayuh meriahkan rumah Allah SWT dengan beribadah kepada-Nya. Jangan dilupa jiran-jiran kita. Ajak mereka sekali untuk memburu ganjaran Allah itu. Agar kita semua mencapai puncak ketakwaan dalam beribadah kepada Allah SWT.

Istimewa pihak media

Pihak media jangan lepaskan peluang ini untuk mengaut lebih banyak ganjaran pahala daripada Allah SWT. Keuntungan, keuntungan juga namun, pahala di sisi Allahlah sebaik-baik keuntungan Anda.

Gencarkan promosi di saluran media anda untuk menggalakkan masyarakat islam mengunjungi masjid dan mendapatkan ganjaran Allah SWT. Seperti mana halnya, pihak media anda memotivasikan masyarakat berlomba-lomba memenuhi pasaraya.

Promosikan program qiamullai di masjid-masjid. Sebarkan tip-tip beriktikaf, ganjaran malam qadar, amalan-amalan yang perlu dilakukan semasa beriktikaf, ceramah-ceramah motivasi, cerita pendek ramadhan dan sebagainya agar masyarakat sedar akan penting menghidupkan malam qadar.

Bukannya memuatkan lagu-lagu raya dan promosi yang melampau sehinggakan kita lalai beribadah kepada Allah SWT. Kita tidak mau itu!

 Dengan itu, sumbangan pihak media dalam mengharmonikan masyarakat dengan islam mampu menjadi contoh kepada saluran media lain yang ada di Malaysia. InsyaAllah

 Evaluasi ramadhan

Saya mengajak diri sendiri dan seluruh umat islam agar melakukan evaluasi ramadhan masing-masing. Semak semula kekurang ibadah kita dan berusaha melakukan pembaikan sama ada dengan 10 malam terakhir ramadhan ini mahupun ramadhan tahun hadapan.

Mari betulkan kembali niat kita. Adakah ibadah kita ketika ini benar-benar bersandarkan kepada Allah SWT atau sebaliknya. jika sebaliknya, maka kembalilah membetulkan niat kita. Mahukan anda bekerja tanpa sebarang gaji daripada majikan? Tentu saja tidak. Betul tak?

Begitu juga dalam beribadah, sekirahnya kita hendakkan ganjaran daripada Allah SWT. Pastikan niat kita beribadah hanya kepada Allah SWT semata-mata.

Rasulullah SAW bersabda “ Sesungguhnya setiap amalan itu dimulai dengan niat dan sesungguhnya ke atas setiap seseorang itu (dibalas) berdasarkan niat mereka” (Bukhari dan Muslim).

Jadi, jangan biarkan ramadhan kita berlalu tanpa makna. Pastikan ramadhan yang kita lalui memberi perubahan yang lebih baik dari segi akhlak, ibadah, cara hidup, pemahaman, rohani, kesihatan, dan persepsi kita terhadap kehidupan kita.

“Hiduplah untuk beribadah dan melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran di muka bumi ini. Bukannya hidup berterusan bermaksiat yang boleh membawa kerosakkan di atas muka bumi ini” Hadi Muslim.

Jadi tunggu apa lagi!

Carilah malam lailatul qadar.

Mulalah beiktikaf.

InsyaAllah, anda akan bertemu malam itu.

Thursday, August 9, 2012

Ramadhan: Madrasah Ibadahku




Ramadhan.
Engkau Madrasah Ibadahku.
Bersamamu, Aku Memahami Erti Niatku.
Bersamamu, Aku Memahami Erti Tarbiyahku.
Bersamamu, Aku Memahami Erti Ibadahku.
Bersamamu, Aku Memahami Erti Hidupku.

Ramadhan.
Engkau Madrasah Ibadahku.
Bersamamu, Aku Temui Ketenangan.
Bersamamu, Aku Temui Kesabaran.
Bersamamu, Aku Temui Pengorbanan
Bersamamu, Aku Temui Kebahagiaan.

Ramadhan.
Engkau Madrasah Ibadahku.
Bersamamu, Aku Selalu Mengadu.
Bersamamu, Aku Selalu Mengabdi.
Bersamamu, Aku Selalu Mengingati.
Bersamamu, Aku Selalu Bertaubat.

Ramadhan.
Engkau Datang Dan Akan Pergi.
Setahun Lamanya Berkunjung Lagi.
Namun, Belum Pasti Bertemu Lagi.
Hanya Berharap Ketentuan Ilahi.

Ramadhan.
Engkau Kurniaan Ilahi

Ramadhan.
Sahabat Seluruh Hamba Ilahi

Ramadhan.
Aku Banyak Belajar.

Ramadhan.
Kerana Allah, Aku Berterima Kasih.


Tuesday, August 7, 2012

Hebatnya Lailatul Al-Qadar




RAMADHAN ITU;  Kedatanganmu dan pemergiaanmu ramadhan membuatkan hati jadi sebak dan juga terasa gembira. Kedatanganmu memberi khabar gembira. Pemergiaanmu meninggalkan kemanisan beribadah dan tarbiyah.

Hati mana yang tidak rindukan madrasah ramadhan? Iaitu  punca segala kemuliaan, kebahagiaan, dan kasih sayang.

Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana memudahkan diri ini mencurahkan segala idea dan pengetahuan menghasilkan nukilan ini. Berkongsi hikmah disebalik ramadhan. Moga bermanfaat dan berguna untuk diri ini dan umat islam seluruhnya.

Bagaimana dengan diri sahabat?

Adakah ramadhan kali ini lebih bermakna atau sekadar sama seperti tahun sebelumnya?

“Sahabatku”

Kini tiba saatnya, kita muhasabah kembali ramadhan kita?

Dimanakah letaknya Allah SWT di hati kita?

Jauh atau Dekat?

 Kerana ini akan menentukan keberadaan kita di sisi Allah SWT. Di samping menentukan kualiti ibadah kita di bulan ramadhan.

Jangan sampai ramadhan kali ini tidak memberi kesan kepada jiwa menyebabkan hati terus membatu. Disuburi oleh penyakit-penyakit hati. Dengan itu, kita  tidak pernah letih dan lelah bermaksiat kepada Allah SWT. Walaupun kita tahu, bulan ramadhan bulan ibadah. Syaitan telah dirantai. Pintu neraka ditutup serapat-rapatnya manakala  pintu syurga dibuka seluas-luasnya. 

Namun, mengapa kita terus saja bermaksiat kepadaNya?

Adakah hati kita telah terkunci!

 Sedarlah, Kita juga yang akan merugi!

Ramadhan berkunjung setahun sekali. Inilah masanya menikmati manisnya beribadah kepada Allah SWT.

Jadi, tunggu apa lagi!!

Berusahalah menggapai mukjizat ramadhan. Lubuk segala ibadah. Hadiah  buat yang ikhlas dan mengharapkan redha dariNya.

Indahnya Lailatul Al-Qadar

Indahnya malam Qadar. Malam penuh rahmat dan barakah. Semua umat islam mengimpikannya. Bercita-cita mahu mendapatkannya. Kerana ia kemuncak ibadah di bulan ramadhan. Juga diistiharkan sebagai malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Dikatakan ramadhan tidak sempurna tanpa menemuinya. Ada yang menangis, ada yang bergembira bila bertemu malam yang agung itu. Itulah kekuasaan dan Maha Esanya  Allah SWT. Pemilik Semesta Alam.

Allah SWT berfirman;
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam qadar. Dan tahukah kamu apakah malam qadar itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar” Surah Al-Qadr 97:1-5.

Ya Allah!

Saya berharap agar menemui malam rahmat itu. Sebagai sumber penenang jiwa. Penguat segala keyakinan. Pemangkin segala kebahagiaan. Wadah menuju hamba yang bertakwa. Sungguh itu adalah mukjizatMu disebalik kemuliaan ramadhan.

Malam lailatul qadar ini lazimnya berlaku pada sepuluh malam terakhir bulan ramadhan iaitu berlaku pada malam-malam yang ganjil. Dengan itu, kita boleh menyaksikan suasana pada masa itu. Umat islam datang berbondong-bondong ke masjid untuk beriktikaf dan mendapatkannya.

Sungguh meriah pada malam itu. Pesta ibadah menjadi hidangan. Hiburan terbaik bagi yang mengerti!

Disitulah, kalam Allah SWT dilagukan. Menangis akan ibrah (pengajaran) dari kitabNya. Kedengaran bunyi rintihan hambaNya yang mengharapkan rahmat dan keampunan dariNya. Zikir dan Selawat berkumandang indah. Suasana sunyi lagi sepi amat mendamaikan. Saat itu, solat sunat dan ibadah lainnya semakin lazat dilaksanakan.

Begitulah keadaan hambaNya, tiada keletihan dan juga kelelahan. Bahkan terserlah kesungguhan dan pengorbanan. Ke arah menuju satu matlamat iaitu mencari redhanNya.

Suasana itu menyebabkan hati mudah tersentuh. Hati jadi tenang dan bahagia kerana menanti saatnya lailatul qadar berkunjung tiba.

Sebab itulah, kita disarankan untuk beriktikaf di masjid. Roh ibadah dapat dirasai. Kekhusyukan beribadah mudah ditemui dan dinikmati.

Jadi, Jangan lepaskan peluang itu!

Ajaklah sahabat-sahabat, isteri, anak-anak dan seluruh ahli keluarga untuk menghidupkan malam lalilatul qadar. Mohonlah dan bermunajatlah kepadaNya agar diberikan rahmatNya. Diampunkan Nya segala dosa. DiterimanNya segala amal.

Sahabat dan Harapan

Sahabat sekalian!

Dapatkah anda rasai manisnya ibadah pada malam lailatul qadar itu?

Nikmat beribadah tiada tara tandingannya. Dapatkah anda bayangkan saat itu anda menangis gembira beribadah menikmatinya. Bersujud syukur mengabdi kepadaNya. Maka itulah tanda hamba yang menemui malam qadarnya.

Patutkah kita membiarkan malam qadar berlalu pergi tanpa ada usaha untuk mendapatkan?

“Saya kata jangan”

“Jangan sama sekali”

“Saya merayu”

Jangan  disia-siakan!

Juga jangan dipandang enteng!

Bertindaklah secara serius dan bijaksana. Allah SWT akan menjanjikan keampunan dan dimakbulkan segala doa pada malam itu.

“Sahabatku”

Mintalah apa saja.

Mohon ampunlah segala dosa.

 Dan yakinlah! Allah SWT tidak pernah ingkar akan janjinya.

Juga yakinilah! Pencaturan Allah SWT tidak akan pernah meleset.

Oleh itu, berkat kesungguhan dan keikhlasannmu.

“Berbahagialah Sahabatku”

Raihlah syurga Arr-Rayyan dariNya. Hanya untukmu.

Maka itu, Ayuhlah sahabat sekalian kita sama-sama membina harapan untuk ramadhan kita dan ibadah kita. Berdoalah juga kebaikan ramadhan orang lain. Moga kita sama-sama menikmati kemuncak keimanan  yang diidamkan iaitu puncak ketakwaan kepada Allah SWT.

“Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?”

“Maha Suci Allah, Pencipta Alam Semesta”

 Hebatnya Lailaitul Qadar! Saya akui..

Anda Bagaimana?

Monday, August 6, 2012

Carilah Kebahagiaan Itu!




Kebetulan saya terjumpa kata-kata ini semasa mengemas meja belajar. Menarik bagi saya dan teringin saya kongsikan kepada pembaca sekalian.

“Keinginan manusia untuk bahagia sering tidak kesampaian. Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia yang sebenar dan bagaimanakah cara untuk mendapatkannya”

Bahagia itu

Definisi bahagia itu sangat relatif. Maka, kebahagiaan itu berbeza-beza bagi setiap individu.

“Bagi yang merasakan sakit. Kebahagiaan baginya adalah ingin cepat sembuh daripada sakit yang dialaminya. Bagi yang miskin pula, kemewahanlah yang akan membuatkannya bahagia. Bagi seorang pelajar, keputusan yang cemerlang akan memberikan kebahagiaan kepada mereka. Bagi yang menjalinkan persahabatan, kebahagian dikecapi apabila mereka saling menghargai dan menghormati antara satu sama lain. Begitu juga suami isteri, kebahagiaan mereka adalah apabila dikurniakan cahaya mata hasil daripada perkahwinan mereka”

Oleh itu, kalau mahu dibahaskan tentang konsep kebahagiaan sememangnya tidak ada penghujungnya. Ini kerana, konsep bahagia itu sangat relatif dalam kehidupan seorang individu.

Kegagalan memaknai erti kebahagiaan yang sebenar menyebabkan ada sesetengah individu salah tafsir mengenai makna kebahagiaan. Ada diantara kita berasa seronok dan bahagia bila bermaksiat kepada Allah SWT seperti menghilangkan “stress” dengan menagih dadah dan meminum arak, mencari kebahagiaan dengan ber”couple” sebelum berkahwin, melayan hiburan dengan keterlaluan. Inilah makna kebahagiaan bagi mereka yang jauh daripada syariat islam.

Adapun, makna kebahagiaan bagi orang-orang beriman ialah dengan menyerahkan segala penghidupannya kepada Allah SWT.

Mereka menyedari bahawa segala perbuatan akan membawa kebahagiaan. Hidupnya disandarkan hanya beribadah kepada Allah SWT dalam segala hal dalam hidupnya.

Hidupnya dipenuhi dengan amalan-amalan ahli syurga. Membaca Al-Quran dan memahaminya, bersedekah, menyambungkan silaturrahim, tidak mensyirikkan Allah SWT, menyeru yang makruf dan mencegah yang mungkar, dan sebagainya.

 Mereka sedar akan ganjaran pahala dan syurga sekiranya perbuatan yang dilakukan itu ikhlas kerana Allah SWT. Ganjaran itulah menjadi khabar gembira bagi orang-orang beriman untuk terus mengabdikan diri kepada Allah SWT. Maka, itulah kebahagiaan hakiki yang didambakan.

Bagaimana dengan diri kita?

Benarkah cara kita menafsirkan makna kebahagiaan kita selama ini?

Adakah Allah SWT sebagai sumber kekuatan kebahagiaan kita atau dunia yang penuh tipu daya dan senda gurau itu menjadi sumber kebahagiaan kita?

“Tanyakan persoalan-persoalan ini kepada diri kita!”

“Saya mengajak kepada diri dan sahabat sekalian agar menilai kembali makna kebahagiaan kita. Mari mendapatkan kebahagiaan yang hakiki dengan memohon dan berdoa kepada Allah SWT. Sungguh Allah Maha pengasih Lagi Maha Penyayang.”

Sumber Kebahagiaan kita hari ini

Lazimnya, terdapat dua faktor sumber kebahagiaan iaitu faktor luaran dan faktor dalaman.
Walau bagaimanapun, ramai dikalangan kita ini hanya menjadikan faktor luaran semata-mata sebagai pencetus kebahagiaan.

 Benarkah itu?

Ya, benar.

Buktinya, kita lebih cenderung untuk memiliki harta yang banyak, berlumba-lumba merebut kuasa, membelanjakan banyak wang untuk tujuan kecantikan, dan mendapatkan kelulusan yang tinggi. Sekarang, majoriti masyarakat kita mengimpikan semua ini sebagai penentu kebahagiaan mereka.

Atas dasar itu, mereka sanggup mengorbankan tenaga, masa, wang, maruah dan sering kali keluarga untuk mendapatkan harta kekayaan, kuasa dan lain-lain untuk mencapai kebahagiaan mereka.

Seolah-olah kita merasakan bahawa hidup kita di dunia ini akan kekal selama-lamanya!

Adakah kita sedar bahawa Allah SWT menciptakan hidup dan mati kita ini sebagai ujian?

Ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah Al-Mulk (67:2) maksudnya;
“Dijadikan mati dan hidup itu adalah untuk menguji manusia  siapakah yang terbaik amalannya”

Nah, Sahabat sekalian!

Adakah kita belum memahami kata-kata Allah ini? Allah menguji kita dengan nikmat hidup dan mati. Adakah kita orang-orang yang cukup amalannya apabila saat maut itu menjemput diri?

Ayuh musahabah diri kita!

Bukti hilangnya bahagia

Apabila kebahagiaan yang sebenar kita jalani, kita akan merasakan diri kita akan semakin dekat dengan Allah SWT. Kita sering melakukan perkara-perkara yang jauh daripada memudaratkan diri kita dan orang lain. Bahkan, kebahagiaan kita itu akan membawa orang lain turut bersama merasai kebahagiaan yang kita nikmati.

Namun, apabila kebahagiaan telah hilang dalam kehidupan kita. Maka, kita akan lebih cenderung untuk memudaratkan diri kita dan orang lain. Kita akan semakin liar dan panas baran. Bila diberi nasihat, kita lebih suka memberontak, mencaci, dan mencederakan orang lain. Orang sebegini lebih mudah terjebak dengan perbuatan-perbuatan yang merosakkan seperti minum arak, menjadi penyebab rumah tangga berantakan, menagih dadah, jenayah seks, sakit jiwa dan bunuh diri.

Kebahagiaan yang hilang juga menyebabkan kita sentiasa menyalahkan takdir, berputus asa, mengeluh dan menyalahkan orang lain kerana kegagalan kita menghadapi ujian hidup.
Menakutkan bukan?

Ini yang akan berlaku sekiranya kita menjadikan faktor luaran semata-mata sebagai sumber kebahagiaan kita. Maka apa yang perlu kita lakukan ialah menghidupkan kembali hati kita dengan bertaubat dan mengamalkan syariat islam yang sebenarnya.

Kebahagiaan itu sentiasa ada

Sahabat sekalian, kebahagiaan itu tidak akan pernah hilang di muka bumi ini selagi mana kiamat belum tiba. Cumanya, kebahagiaan itu hilang dalam diri kita kerana kecuaian dan sikap tidak bertanggungjawab kita untuk menjaganya.

Oleh itu, kita perlu mencari dan mendapatkan semula kebahagiaan yang telah hilang dalam diri kita.

Di sini, saya akan nyatakan beberapa tip mencari kebahagiaan anda yang hilang;

Tip 1: Beriman dan beramal soleh.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Nahl (16:97) yang bermaksud Barangsiapa yang mengerjakan amal saleh, baik laki-laki maupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.”

Tip 2: Banyak mengingati Allah SWT

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Ra’d (13:28) yang bermaksud “(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.”

Tip 3: Bersandar kepada Allah SWT

Firmannya dalam surah Al-talaq (65:3) yang bermaksud “Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”

Tip 4: Sentiasa mencari peluang berbuat baik

Kita perlu berbuat baik kepada semua makhluk ciptaanNya. Sama ada melalui ucapan, perbuatan dan hati kita. Hasilnya, kita akan berasa tenang dan bahagian kerana kita tidak pernah membenci bahkan menyebarkan cinta kepada semua makhlukNya.

Allah SWT berfirman dala surah Al-Nisa’ (4:114) yang bermaksud Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah, atau berbuat ma'ruf, atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Dan barangsiapa yang berbuat demikian karena mencari keredhaan Allah, maka kelak Kami memberi kepadanya pahala yang besar.”

Tip 5: Tidak panjang angan-angan tentang masa depan dan tidak meratapi masa silam

Jangan membiasakan diri kita memikirkan sesuatu yang belum pasti dan terlalu berangan-angan benda ini dan itu. Lebih parah lagi, apabila angan-angan tersebut tidak diiringi dengan usaha untuk mencapainya. Inilah yang akan menyebabkan kita lalai dan leka dengan kehidupan kita. Seterusnya, kita akan kecewa kerana gagal merealisasikan apa yang diimpikan.

Tip 6: Melihat kelebihan bukan kekurangan diri

Setiap manusia tidak dilahirkan sempurna. Kerana kesempurnaan itu hanya milik Allah SWT. Sekiranya kita dalam proses mencari kebahagiaan, jangan kita mencari cacat celah (keburukan) orang lain. Ini kerana, saya yakin sahabat akan sentiasa menemui kelemahan dan keburukan tersebut. Oleh itu, carilah kelebihan diri orang itu agar kita merasakan kebahagiaan ketika bersamanya.

Tip 7: Jangan mengharapkan ucapan terima kasih

Kita sering mengimpikan balasan sekiranya kita ada melakukan sesuatu kebaikan dengan orang lain. Apabila ini berlaku kepada diri kita? Kita akan lebih mudah kecewa dan berhenti melakukan kebaikan seperti kebiasaan. Hal ini kerana, manusia zaman sekarang amat sukar mengungkapkan terima kasih walau ianya sangat mudah dan ringkas. Oleh itu, saya berpesan kepada diri saya dan sahabat semuanya agar kebaikan yang kita lakukan itu hanya berharap ganjaran pahala di sisi Allah SWT. InsyaAllah kita akan lebih tenang dan bahagia kerana kita mendapat pahala daripada Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Ihsan (76:9) yang bermaksud “Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keridhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.”

Kebahagiaan Hakiki

Kita akan mencapai kebahagiaan hakiki apabila “kita memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan ini.”

Kebahagiaan itu, mendorong kita untuk sentiasa berfikiran positif dengan ujian dan berusaha mendapatkan pengajaran daripada ujian yang diberikan Allah SWT. Kita tidak mudah menyalahkan orang lain, apatalagi menyalahkan ketentuan Allah SWT.

Justeru itu, bagaimana mendapatkan kebahagiaan yang sebenarnya?

Tidak lain, tidak bukan adalah dengan hanya mengingati Allah SWT. Dengan mengingatinya, InsyaAllah hati kita akan lebih tenang dan bahagia.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Ra’d (13:28) yang bermaksud;
“(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.”

Jadi, apa tunggu lagi!

Carilah dan dapatkanlah semula kebahagiaan anda yang hilang!

Dengan kesungguhanmu dan keikhlasanmu semata-mata keranaNya.

Kamu akan menemui dan mendapatkannya.

InsyaAllah!

Yakinlah!

“Kebahagiaan itu sentiasa ada”

Thursday, July 19, 2012

Berdisplin, Kita Puas






Bertanya, Mari Meraihkan

Waktu cuti!! Rakan-rakan saya banyak bertanya tentang aktiviti saya sewaktu bercuti?

“Macam-macam soalan yang saya dengar”

Adakah kamu bekerja makan gaji? Melakukan bisnes? Atau pun hanya duduk mendiamkan diri di rumah semasa cuti?

Itulah antara soalan yang menghujani saya apabila tibanya waktu cuti semester sama ada pertanyaan melalui SMS mahupun jaringan sosial saya iaitu “Facebook”.

Alhamdulillah..

“Saya memberanikan diri untuk meraih soalan-soalan tersebut dan memberikan jawapan semampunya”

Biasanya pada waktu cuti semester,” saya akan menghabiskan masa cuti saya dengan berbisnes dan meningkatkan pengetahuan melalui pembacaan, menghadiri kursus, seminar, mendengar ceramah di masjid mahupun di surau dan di mana saja. Itulah aktiviti yang paling lazim yang saya lakukan apabila tiba waktu cuti semester” Ujarku ringkas.

“Aktiviti-aktiviti lain, saya juga menproaktifkan diri untuk mengziarahi rakan-rakan terdekat untuk menjalinkan silaturahim, bertanyakan khabar iman, dan mengajak rakan-rakan untuk berprogram”.

“Tidak ketinggalan juga, saya akan memperuntukkan sedikit masa saya untuk menulis artikal-artikal untuk dikongsikan dalam blogger saya”. 

Itulah sedikit penjelasan saya kepada rakan-rakan pada ketika itu?
Oooh, mereka mengangguk serentak, sebagai tanda setuju dengan penjelasan yang tidak seberapa itu?

Orang Beruntung, Orang Merugi

Cuti semester atau cuti persekolahan adalah saat-saat yang dinantikan bagi seorang pelajar mahupun mahasiswa?

“Sehinggakan ada rakan saya mengeluh semasa dalam pengajian dan berkata “saya rasa semester ini adalah semester yang paling lama aku lalui!! Aku mau cuti, teriaknya semasa kami sedang menikmati keindahan pantai di sekitar kampus itu”.

“Suaranya bergema, menyedarkan aku dari lamunan.”

Namun, berapa ramai di antara kita memanfaatkan waktu cuti yang kita ada? Kemana kita semasa cuti? Apa aktiviti kita semasa cuti?

Adakah hanya duduk menggemuk diri? Memanjangkan masa tidur? Membenarkan sikap malas bermaharajalelah dalam diri kita atau kita lebih banyak membuang masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah? Fikirku!!

“Tiba-tiba saya teringat firmanNya, iaitu dalam surah Al-Asr 103: 1-3, Mahfumnya;

Demi masa!! Sesungguhnya, manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran”.

Naaah!!

Sekarang, kita mahu memilih jalan yang mana? Mahu menjadi orang yang beruntung atau mahu menjadi orang yang merugi?

Berbalik kepada diri kita?

Tanyakan diri kita, InsyaAllah hati kita akan tolong jawabkan!!

Belajar & Merancang

Masa cuti adalah masa yang sangat berharga bagi diri seorang remaja muslim seperti kita!!

 Oleh itu, seharusnya kita memanfaatkan sebaik-sebaiknya? Jangan sampai aktiviti tidak berfaedah menjadi agenda masa cuti kita? Kita juga yang akan merugi nanti!! Nauzubillah..

“Saya selalu mengingatkan diri saya dengan kata-kata seorang  ilmuan sebelum dan selepas bangun dari tidur. Boleh dikatakan setiap hari tanpa jemu.”

“Selain itu, saya juga selalu menjadikani kata-kata ini sebagai pembakar semangat atau slongan saya semasa aktiviti ta’aruf bersama sahabat-sahabat setiap kali menghadiri program kerohanian.”

Kata-kata itu ialah ungkapan daripada seseorang yang saya kagumi iaitu Hasan Al-Basri. 

“ Beliau berkata, masa yang lalu adalah bukan milik kita lagi, manakala masa yang akan datang iaitu (sesaat, seminit, sejam, sehari, seminggu, sebulan, dan setahun) belum tentu menjadi milik kita, Namun masa sekarang ini yang mana anda menbaca artikal ini adalah milik anda, maka manfaatkanlah ia dengan aktiviti dunia dan akhirat kita seperti yang anda lakukan sekarang ini.” Tahniaah..saya ucapkan.

“Kata-kata ini memberi motivasi kepada diri saya untuk memastikan masa cuti yang akan datang perlu dirancang dengan baik dan bijak agar kita menjadi orang beruntung, bukan orang merugi” InsyaAllah…

Berdiplin, Kita Puas

Namun, ada juga antara kita mempunyai perancangan yang sangat baik dan kreatif sehinggakan kita berkata Wooh, semasa sahabat kita membentangkan perancangan masa cutinya?.

Pada suatu ketika, seorang sahabat saya membentangkan perancangan waktu cuti bersama sahabat-sahabat yang lain. Kebetulan masa itu, kami selalu mengadakan pertemuan rutin setiap minggu.

 “Saya secara peribadi menyatakan perasaan kagum dengan kejayaan sahabat ini membuat perancangan peribadinya dengan begitu terperinci dan menyakinkan semua sahabat yang ada ketika itu”

Tiba-tiba kedengaran suara seorang sahabat agar perancangannya boleh menjadi panduan dan rujukan kepada sahabat-sahabat lain sebelum tiba waktu cuti?

 “Kami semua pada waktu itu, mengangguk sebagai tanda sepakat”. 

Dengan murah hati dia pun meminjamkan kepada semu sahabat.

********

Khalid?
Saya kedengaran suara dari belakang memanggilku? Saya sangat mengenali suara itu?

“saya menoleh ke arah suara yang memanggil”

“Ooh engkau rupanya Hisyam.” 

“ Kami bersalaman dan berpelukan sebagai tanda ukhuwah”. 

Bersalaman sambil berpelukan sudah menjadi kebiasaan antara kami dan sahabat-sahabat lain, bahkan sudah menjadi sebati dalam kehidupan kami tanpa timbul perasaan malu apalagi memperlekehkan!!

“Haah, ada apa Hisyam (seorang sahabat yang mempunyai perancangan cuti yang matap tempoh hari)?”

“ Khalid memulakan bicara”.

Khalid, Ana rasa perancangan yang ana buat tempoh hari tidak berjaya lah? Banyak perkara dalam perancangan ana tidak terlaksana seperti yang dirancang? ana dah buat macam-macam caralah agar dapat buat parancangan tu? Ana lekatkan di biliklah, remain dalam telefon lah dan sebagainya tapi..tapi…semua tak berjaya juga!! Luahnya dengan nada kecewa!!

“Hisyam”

“saya menghampirinya sambil memegang bahunya, namun dia terus tertunduk malu dan kecewa”

“Akhi, Ana rasa anta dah buat yang terbaik untuk masa cuti anta, ana juga kagum cara anta menyiapkan perancangan yang begitu lengkap dan ana sendiri menggunakannya sehingga kini. Alhamdulillah, ana semakin tersusun dan seronok melaksanakan aktiviti harian ana dengan bantuan perancangan anta. Jazakalah ana ucapkan.

Ana juga beruntung memiliki sahabat seperti anta yang sudi berkongsi rasa bersama ana. Gemar  berkongsi dikalah suka dan duka. 

“Ana merapatinya dan meletakan tangan ana dibahunya sebagai ikatan persahabatan” (Ukhuwah antara kami).  

“Akhi sebenarnya, ana lihat anta kurang mendiplinkan diri melaksanakan perancangan anta?”

“Hisyam, memerhatikan saya”

“Namun, saya terus menggagahkan diri untuk menasihatinya dari hati ke hati?”

Ana lihat anta, melakukan kerja tidak seperti yang anta rancang? Anta tidak melakukan apa yang sepatutnya anta buat setiap hari!! Kalau anta buat pun, ana lihat anta tidak serius dan selalunya melakukan kerja tidak siap dan bertangguh! 

“Itu yang ana lihat dan rasakan semenjak ana bersama anta sepanjang cuti ini”

Akhi, ana cadangkan, mari kita sama-sama bermuhasabah? Kenang kembali matlamat waktu cuti kita iaitu menghapuskan perkara tidak berfaedah dalam agenda cuti kita!!

“Ana masih ingat kata-kata anta semasa bersama ikhwah hari itu”.

Anta kata, “Akhi antum semua perlu menyediakan perancangan cuti yang baik, berkualiti, dan serius. Kerana dengan perancangan yang baik, masa cuti kita insyaAllah akan bermanfaat dan beroleh pahala dari Allah SWT”. 

Lanjutnya!!

Apabila kita gagal merancang, maka antum dan diri ana juga telah merancang untuk gagal!!

“Ana terkesimah dengan kata-kata anta pada masa itu”

Jadi akhi, ana berpesan kepada diri ana dan anta juga agar kita sama-sama disiplinkan laksanakan apa yang kita rancang. Dengan itu, kita akan merasai kepuasan dan keseronokan semasa melaksanakan apa yang kita rancang? InsyaAllah..

Ana merayu!

“Hisyam tersenyum sambil menoleh ke arahku”. 

Alhamdulillah.

Akhi, Jazakumullahu khairan kerana mengingatkan dan menasihati ana?

“Afwan akhi, sememangnya itu tanggungjawab ana sebagai ukhuwah anta.”

“kami bersalaman dan berpelukan”

Kami berdua beransur pulang..









Friday, September 2, 2011

Seronok Beraya, Solat Jangan Lupa!!

Dengan Nama Allah Yg Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Anugerah dan Rahmat Allah SWT buat Umat Muhammad

Sedar ataupun tidak, Aidilfitri dan Aidiladha yang kita raikannya saban tahun adalah rahmat dan anugerah Allah buat umat ini.

Ini terbukti apabila Anas menceritakan;

Selepas Rasulullah tiba di Madinah, beliau mendapati penduduk Madinah mempunyai dua hari yang mereka raikannya pada zaman jahiliah. Lalu beliau berkata :

“Aku sampai kepada kamu semua dan aku dapati ada dua hari yang kamu semua raikannya pada zaman Jahiliah. Allah menggangtikannya bagi kamu dengan dua hari yang lebih baik daripadanya:

Iaitu “Hari Raya Korban dan Aidilfitri.”

(Riwayat Ahmad, Abu Daud, Nasaei)

Ali Hasan Al-Halabi di dalam bukunya Ahkam Al-Idyain menukilkan komentarnya Syeikh Ahmad Abdul Rahman Al-Banna: “ini kerana Aidilfitri dan hari Raya Korban ini adalah syariat Allah, dipilih buat maklumat ciptaan-Nya.

Kedua-duanya datang selepas melaksanakan dua rukun yang besar daripada rukun islam iaitu : Haji & Puasa. Pada kedua-dua rukun ini, Allah mengampunkan dosa mereka yang menunaikan Haji & orang yang Berpuasa. Dia mencurahkan rahmat-Nya kepada makhluk ciptaan-Nya yang taat.”

Saudaraku..

Marilahlah kita berfikir sejenak dan bertanya kepada diri kita setakat dua hari yang dimaksudkan itu, sejauhmana kita benar-benar menghayati Anugerah & Rahmat Allah SWT buat kita??

Seronok Beraya, Solat Jangan Lupa!

Memang seronok apabila tibanya Hari Raya. Kanak-kanak, remaja hingga orang dewasa semuanya gembira dan seronok meraikan hari mulia ini. Masing-masing dengan cara tersendiri.

Kanak-kanak semangat mengumpul duit raya. golongsn remaja saling ziarah-menziarahi rumah kawan dan sahabat handai. Golongan dewasa gembira menerima dan melayan para tetamu.

Betapa harmoninya suasana hari ini.

Namun, alangkah sedihnya sekirahnya keharmonian dan kemuliaan hari ini dicemari dengan dosa dan maksiat.

Menyambut hari raya adalah ibadah. Apakah patut kita melakukan ibadah dengan mengabaikan ibadah yang lain.

Oleh itu, mari kita saling berpesan dan nasihat-menasihati ahli keluarga, saak-saudara dan sahabat handai: “Raya, Raya juga, Solat Jangan Lupa.”


Saling Bersalaman, Jangan Sampai Melanggar Batasan!

Sememangnya tradisi ziarah-menziarahi sanak-saudara, jiran tetanggan adalah amalan yang dipuji oleh islam.

Biasanya kita saling bersalam-salaman dan bermaaf-maafan. Tetapi jangan sampai terlanggar batasan.

Lelaki dan perempuan yang buka mahram tidak boleh bersalaman. Ingat, kita ada adab dan batasan syariat.

Biar di Hari Raya ini kita dikurniakan berkat. Jangan cemarkan ia dengan maksiat.


Ramadhan Tahun Hadapan, Adakah Kita Berkesempatan?

Tiada siapa yang dapat menjawab soalan. Lihat, berapa ramai ahli keluarga dan sanak saudar, yang tahun lepas mereka bergembira bersama kita menuninaikan ibadah puasa dan menyambut hari raya. Namun, tahun ini tiada tawa riang yang kedengaran daripada mereka.

Mereka kembali kepada Maha Pencipta yang memiliki segala-galanya. Pasti janji kematian kepada mereka. Hari mereka sudah tiba. Entah esok ataupun lusa, saat itu pasti menjelma bagi kita. Sama ada kita bersedia ataupun masih leka.

Oleh itu, mari bersama-sama menjadikan didikan dan amalan yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan ini berterusan hingga bulan-bulan seterusnya. Doa dan harapan kita supaya dizinkan bertemu Ramadhan tahun hadapan, bulan rahmat yang penuh keberkatan.


“Selamat Hari Raya Aidilfitri!”


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...