Pages

Wednesday, August 15, 2012

Cerpen: Uhibbukafillah (2)



“Penatnya” Luah Faris seorang diri.

 Faris berada di University Condo Apartment (UCA) bersiap-siap untuk ‘check out’ hari ini. Semua pakaian dan barangan lain akhirnya selesai dikemas dan dimasukkan ke dalam kereta. Jam menunjukkan pukul 10.00 pagi, Faris melihatnya lewat telefon blackberry miliknya. ‘Lepas ini ada urusan lagi’,bisiknya di dalam hati.

Faris segera bergegas ke pejabat kediaman untuk ‘check out’.

“Alhamdulillah”, syukur kepada Allah SWT.

Faris nampak lega dan bertenaga semula tatkala semua perkara penting hari ini telah diselesaikan. Dia meraba-raba poket seluarnya. Kiri dan kanan diperiksa seakan-akan mencari sesuatu yang hilang. Namun, senyumannya tergambar semula setelah melihat telefon bimbitnya di atas meja pejabat. Hampir saja ditinggalkan.

Ketika itu, Faris sedang memikirkan sesuatu. Telefon bimbitnya diperhatikan semula. Kemudian mesej ditaip.

Salam..Akhi,anta di mana?”

Senarai nama penerima dicari. Akhirnya, nama Rasyid dipilih. Butang ‘send’  ditekan. Isyarat mesej terhantar kelihatan di skrin telefonnya.

Faris menuju ke kereta hondanya. Enjin dihidupkan kemudian radio dipasang. Saat itu lagu Maher Zain ‘So Soon’ terpasang. Lagu kegemaran Faris daripada album terbaru Maher Zain.

Sebelum ini, Faris sering mendengarkan lagu Irfan Makki seperti ‘I believe’  dan ‘You and I’. Namun, kehadiran album baru Maher Zain menyebabkan minat dia mula beralih. Sesiapa saja yang naik bersama Faris , lagu inilah tidak pernah lekang didengarinya. Sehinggakan Rasyid pun terpengaruh untuk mendengarnya. Itulah sedikit persamaan artis yang diminati oleh dua sahabat ini.

Faris meneruskan pemanduannya. Sebentar lagi dia akan meninggalkan UCA yang penuh dengan kenangan sepanjang satu semester pengajian. ‘Signal’ kiri kereta dipasang menandakan dia akan memasuki jalan utama meninggalkan kediaman UCA. ‘Selamat tinggal UCA’ bisik hatinya.

Sambil memandu, kekadang pandangan Faris sering ke arah telefon bimbitnya. Mesej yang dihantar sebentar tadi tidak mendapat maklum balas. Dia kembali fokus memandu. Sesekali, matanya menjeling ke arah telefonnya. Kesabarannya menanti mesej daripada Rasyid seakan-akan punah. Bangunan indah ‘One Borneo’ berdiri kukuh dihadapannya menarik perhatian Faris  seketika walaupun hanya  dipandang dari dalam keretanya. Namun, fokusnya masih kepada mesej yang belum dibalas.

Isyarat mesej menerjah masuk ke telefonnya. Faris pantas mendapatkannya. Nama Rasyid terpampang di skrin telefon. Senyuman mula terukir menamatkan penantiannya. Sambil memandu, mesej yang baru diterima dibaca.

“Wasalam akhi, Ana di rumah Kingfisher..ada apa ya?” balas Rasyid.

Memandangkan  sedang dalam pemanduan, Faris memilih untuk membuat panggilan daripada menaip mesej. Lagi selamat. Bisiknya.

“Calling”

Tut..tut..tut..

Kedengaran suara Rasyid ditalian. “Assalamu’alaikum?”

“Wasalam akhi, asif mengganggu anta. Anta masih di rumah lagikah?” tanya Faris.

“Ya”

“Akhi, ana mahu ajak anta makan tengah hari sebelum ana balik ke rumah kakak ana di Papar” lanjutnya.

 “Pukul berapa akhi” Rasyid ingin tahu.

“Anta tunggu saja di rumah insyaAllah, kejap lagi ana sampai. Nanti anta naik kereta analah,ok?” Faris menamatkan panggilan.

Tidak lama selepas panggilan dibuat, kedengaran bunyi ‘hon’ kereta milik Faris di luar rumah. Rasyid bergegas keluar dan siap untuk bergerak. Sebelum keluar Rasyid mematikan suis kipas kemudian pintu rumah dikunci dari luar. Faris hanya memerhati kelibat sahabatnya dari kereta. Rasyid menuju ke kereta dan duduk di bahagian hadapan sebelah kiri Faris.

“Banyak barang?” Rasyid memulakan bicara.

“Barang-barang ana ni dari UCA, nak hantar ke rumah kakak ana di Papar. Lepas kita makan nanti ana pulanglah” balasnya sambil menghalakan kereta menuju ke Restoran Farvis.

Rasyid mengangguk tanpa sebarang kata.

Faris dan Rasyid kerap keluar makan bersama. Sejak mereka berdua rapat dan berukhuwah, makan bersama dan iftar Isnin dan Khamis menjadi satu agenda wajib dalam kamus hidup mereka. Kekadang mereka juga makan dan iftar bersama dengan sahabat-sahabat yang ada di UMS. Tetapi yang pasti mereka sering makan berdua sama ada di cafe mahupun restoran di luar kampus.

Bagi mereka, makan bersama adalah antara salah satu cara merapatkan dan menghangatkan ikatan ukhuwah. Begitu juga qiamullail dan berjaulah (jalan-jalan) bersama. jadi, ketiga-tiga perkara tersebut menjadi resepi keakraban ukhuwah antara Faris dan Rasyid.

Selain itu, Rasyid dan Faris sering saja mendedahkan resepi merapatkan ukhuwah ini semasa memberi tazkirah, taklim mahupun halaqah (usrah) apabila menyentuh bab berkenaan ukhuwah memandangkan mereka berdua sama-sama mengelola  satu kelompok halaqah (usrah) yang ada di Ums.

Itulah penghubung ukhuwahfillah antara Faris dan Rasyid di jalan dakwah ini. Ukhuwah atas dasar iman dan takwa menuju redha Allah SWT. Harapan mereka agar ukhuwahfillah ini subur hingga ke syurga.  Mereka juga berusaha mengajak lebih ramai kawan-kawan  memahami nikmat berukhuwah kerana Allah SWT.

                           ***

“Akhi, hari ini ana belanja anta makan. Jadi biar ana bayarkan ok”

“Tak apalah akhi, biar ana belanja anta. Anta selalu belanja ana, bagi pula ana peluang membuat pahala lebih,” ujar Rasyid.

Namun, Faris tetap dengan pendiriannya. Faris terus ke kaunter dan membuat bayaran. Rasyid mengikut dan menghulurkan RM10 ringgit kepadanya tapi Faris menolaknya. “Anta bagi saja duit ni dengan Amir Harriz  anak anta tu” Ungkapnya.

“Jazakallah akhi, anta banyak menolong ana” luah Rasyid.

 “Afwan, sikit jak tu. InsyaAllah akhi ana ikhlas”

Mengimbau kembali lembaran sirah kehidupan para sahabat. Indah sungguh ukhuwah mereka. Harta, tenaga, keluarga bahkan nyawa menjadi taruhan semata-mata kerana ukhuwah. Kagum dengan perngorbanan  para sahabat. Kisah Abu Bakar bersama Rasulullah dalam gua. Kisah tiga sahabat Ikrimah, Suhail bin Amru, dan Harits bin Hisyam yang mati syahid. Kisah ukhuwah antara kaum Muhajirin dan kaum Ansar. Dan banyak lagi kisah yang menjadi inspirasi dan pembakar semangat untuk menjaga ikatan ukhuwah agar sentiasa kukuh mencari redha Allah SWT. Khayal Rasyid.

“Aik, anta fikir apa tadi? ana tengok macam ada masalah saja. Sedihkah ana mau pulang,” Faris tersengih memulakan bicara. Ketika ini, mereka berdua berada di surau Kingfisher. Menunggu waktu zohor. Hanya Rasyid dan Faris saja di surau itu. Maklumlah, pelajar Ums yang menetap di kediaman kingfisher tersebut semua pulang bercuti. Jadi, surau itu kadang-kadang tiada sesiapa yang mengimarahkan.

“Ana teringatkan pengorbanan para sahabat dalam berukhuwahfillah. Ana kagumlah akhi. Kalaulah kita boleh macam para sahabat menghargai ukhuwah dan wujud perasaan kasih sayang antara satu sama lain. ‘Kan best’. Ana mengimpikan model ukhuwah para sahabat. Ana harap kita boleh merealisasikan akhi, walaupun mungkin orang akan berfikir itu  mustahil” Rasyid berterus-terang.

“InsyaAllah akhi, kita boleh realisasikan. Cuma apa yang patut kita lakukan sekarang ialah kita teruskan tarbiyah diri kita, istiqomah dan komitmen. Mari kita ajak kawan-kawan di kampus tu memahami Islam dan fahamkan mereka tentang ukhuwah imaniyyah. Suatu hari nanti, Ums ni akan menjadi Universiti Tarbiyah Sabah (UTS) bukan Universiti Malaysia Sabah (UMS). Dipenuhi oleh mahasiswa-mahasiswi yang berukhuwah kerana Allah SWT” Faris turut meluah perasaan berkenaan impiannya dalam berukhuwah.

“Jadi akhi, kita fokus dan jaga ukhuwah kita sekarang agar tidak tersasar dari landasan syariat Allah SWT” Balas Rasyid.

“InsyaAllah akhi” Bahu kanan Rasyid ditepuk.

Perbualan mereka terhenti seketika. Rasyid memerhati takwim waktu solat. Hari ini solat zohor masuk pukul 12.35p.m. Jam dinding surau diperhatikan. Sekarang tepat pukul 12.35p.m. Rasyid melaungkan azan.
Beberapa minit azan dilaungkan. Nampaknya tiada siapa yang datang solat berjemaah di surau ini. Hanya Faris dan Rasyid saja.

“Akhi, anta imam ok”

“InsyaAllah” Balas Faris. Lantas Rasyid pun iqamah.

                                        ****

Usai saja solat zohor ditunaikan. Mereka berdua-dua pun bersiap untuk pulang. Faris akan ke rumah kakaknya di papar manakala Rasyid kembali semula ke rumah sewa Kingfisher.

“Akhi, hati-hati memandu. Kirim salam dengan keluarga anta di sana” ujar Rasyid .

“InsyaAllah akhi doakan ana selamat. Ana ni bukan apa, jarang-jarang bah memandu jauh sampai ke Papar. Tidak berani lagi seorang-seorang,” jawab Faris.

“InsyaAllah, ana doakan. Lagipun sekarang waktu siang, ana yakin anta tak ada apa-apa. Anta tidak perlu risaulah,” Rasyid memberi sokongan dan motivasi kepada sahabatnya. Faris ketika itu hanya mampu tersenyum. Rasyid pun sama. Tiba-tiba Rasyid membangkitkan isu nikah kepada Faris. Faris tersenyum tanpa suara dan berulang-alik ke kiri dan ke kanan. Tingkah lakunya berubah secara drastik seakan-akan ada yang tidak kena.

“Akhi, jangan sebut pasal nikah lagi. Ana lama lagi ni tunggu umur 24 tahun seperti yang ana isi dalam resume nikah tempoh hari.” Ujar Faris. Faris memang ada perancangan untuk menikah pada usia muda. Namun, kondisinya sekarang tidak mengizinkannya kerana ada beberapa hal lagi yang perlu diberi keutamaan terutamanya studi dan dakwah untuk memantapkan diri.

“Buat masa ni, ana mau memanfaatkan anta yang sudah nikah ni. Bagi tip macam mana lobi nikah dengan keluarga dan memantapkan ekonomi peribadi,” lanjutnya.

“InsyaAllah boleh akhi” Balas Rasyid.

“Ana beruntung bersahabat dengan orang sudah menikah dan matang macam anta. Susah tu mau cari. Adapun kawan yang sudah kahwin, tapi ana susah mau ‘ngam’ dan bersembang-sembang macam anta, kalau boleh ana tidak mau berpisah dengan anta , Rasyid”.

Rasyid hanya mampu mengukirkan senyuman buat sahabatnya. “InsyaAllah akhi, ana bersedia membantu apa yang termampu demi ukhuwahku kerana Allah SWT. Doakan ana agar terus istiqomah.”

“Ana pun sama juga akhi, doakan ana terus istiqomah dan komitmen dalam tarbiyah ni,” ucap Faris.

Mereka berdua seakan-akan adik beradik. Rapat dan sangat akrab. Kadang-kadang ada sesetengah kawan universiti cuba mengusik dan menguji keakraban mereka. Namun, Faris dan Rasyid hanya mampu tersenyum kerana mereka berdua yakin, kefahaman tentang ukhuwah mereka adalah sama. Berukhuwah kerana Allah SWT dan tidak lebih dari itu.

Juga ada ketikanya, mereka menggelarkan Faris dan Rasyid sebagai pasangan ‘gay’ (suka sama lelaki). Namun, Faris dan Rasyid memilih untuk bersangka baik. Tafsir dua sahabat ini, mungkin mereka hanya bergurau dan belum memahami makna ukhuwahfillah (bersaudara kerana Allah SWT). 

Mereka  berdua seronok dan bahagia dengan kehidupan berukhuwah ini. Harapan Faris dan Rasyid, suatu hari nanti agar ukhuwah mereka ini dapat dikongsikan dengan orang lain.

“Akhi, ana gerak sekarang ok”

“InsyaAllah akhi, hati-hati ya”

“Jazakallah khairon , Assalamu’alaikum”

“Wa’alaikumussalam”Jawab Rasyid.

Seperti biasa, sebelum berpisah salam ukhuwah tidak dilupakan. Rasyid dan Faris bersalaman sambil pipi dilagakan. Bahagia sungguh mereka. Sesiapa yang melihat ketika itu mesti rasa cemburu dengan keakrabannya. Rasa pelik pun mesti ada. Namun, Faris dan Rasyid sudah biasa dengan situasi macam ini. Berukhuwah itu perintah Allah SWT. Jadi, apa yang nak dirisaukan. Teruskan saja berukhuwah kerana Allah SWT.

 Faris dan Rasyid pun beransur pergi!





No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...