Pages

Friday, August 31, 2012

Berangkatlah Menuju Syurga



Manusia Mudah Lupa!

MANUSIA MUDAH LUPA: Memang benar manusia mudah lupa. Asal perkataan manusia (al-ihsaan) itu sendiri bemaksud lupa. Oleh itu, manusia semestinya sering ingin diingatkan. Kalau tidak, manusia akan mudah lalai dan segala kewajibannya akan mula terabai. 

Dan tetaplah memberi peringatan, karena sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.” 
[Adz Dzaariyaat 51: 55]

“Akhi, kita semua perlu selalu menjaga keikhlasan niat kita kepada Allah SWT. Ana takut dengan kesibukan kita merancang dan berlomba-lomba menggencarkan strategi dakwah, kejernihan hati dan keikhlasan kita beribadah hanya kepada Allah SWT mula terabai. Mudah mengeluh dan merasakan tanggungjawab akan dakwah dianggap sebagai beban. Maka itu akhi, jangan pernah berhenti memberi peringatan antara kita. Ana harap dengan peringatan ini, ana dan antum semuanya sentiasa ikhlas berbuat kerana Allah SWT”

Itulah mukaddimah seorang sahabat saya semasa mengendalikan majlis taklim tempoh hari. Saya benar-benar tersentuh dengan kata-kata sahabat tersebut. Bermula saat itu, saya sentiasa muhasabah diri dan bertanya kepada diri agar sentiasa menjaga kesucian hati dengan beristighfar kepada Allah SWT. Sehingga kini, pesanan itu tidak pernah pudar dalam ingatan.

Akhi, ingatlah dan hayantilah firman Allah SWT ini;

 Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?" [Fushshilat 41: 33]

Majlis taklim tersebut diakhiri dengan ayat di atas. Walaupun masa pengisian sahabat saya itu sangat singkat namun, sahabat-sahabat yang hadir ketika itu seolah-oleh mendapat kuasa baru yang memberi cahaya kepada jiwa masing-masing.

Siapa yang beruntung?

“Hai orang-orang beriman apabila dikatakan kepadamu: "Berlapang-lapanglah dalam majlis", maka lapangkanlah niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu", maka berdirilah, niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” 
[Al-Mujaadilah 58: 11]

Beruntunglah bagi manusia yang sentiasa menghadiri majlis-majlis ilmu. Merasakan jiwa kosong dengan peringatan, maka berusaha mencari hidangan-hidangan penghuni syurga.

‘Hati gelisah menjadi tenang’
‘Jiwa sempit menjadi lapang’
‘Hidup miskin menjadi kaya’

Itulah hasilnya daripada menjamu hidangan-hidangan peringatan dalam majlis ilmu atau taklim. Jika semua itu hanya bersandarkan kepada Allah SWT, nescaya kebahagian dunia dan akhirat menjadi habuannya. Itulah kelebihan peringatan antara kita. kerana itu, kita sedar manusia mudah lupa.

Kitakan bersaudara

“Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” 
[Al-Hujurat 49: 10]

Bila kita mengetahui bahawa orang-orang mukmin itu bersaudara, maka kita tidak akan keseorangan menaiki dan mengemudi bahterah menuju syurga.

Syurga itu sangat luas. Mana mungkin kita merasai keseronokkan dan kebahagiaan hidup di syurga jika kita bersendirian. Suasana sunyi dan sepi menghantui diri. Oleh kerana itu, Allah SWT menciptakan Hawa untuk Adam sebagai teman hidup ketika syurga. Ini ada dikisahkan dalam Al-Quran.

Sebab itu, kita diwajibkan menyebarkan kalimah-kalimah Allah SWT dengan berdakwah. Tidak kisahlah dengan cara apa sekalipun anda berdakwah. Namun, jangan dilupa agar berdakwah dengan mengikut cara yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Berdakwah penuh hikmah dan berakhlak terpuji. Dengan itu, mudah bagi manusia menerima peringatan kita. Maka itu, jadikan Rasulullah SAW sebagai taladan bagi kita.

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” 
[Al-Ahzab 33: 21]

Denga penuh ikhlas dan pengharapan, kita akan saling menyintai kerana Allah SWT. Cinta yang menguntungkan semua manusia. Kerana cinta itu membawa kita ke syurga. Inilah dikatakan kita bersaudara. Saling menyintai kerana Allah SWT. Itsar dalam berukhuwah. Terimalah, Uhibbukafillah untuk kita semuanya.

Tunggu apa lagi!

“Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan maupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.” 
[At-Taubah 9: 41]

Bersiaplah, berangkatlah, dan berjuanglah menjadi mukmin yang sejati. Proaktif memberi peringatan berguna untuk orang lain dan proaktif mencari peringatan berguna untuk diri sendiri. Jangan pernah merasa berat dan sukar ke arah itu. Berkorbanlah dengan harta dan jiwamu. Kerana pengorbanan itu adalah bukti penghambaan kita kepada Allah SWT.

Ayuh! Berlomba-lomba mengajak keluarga kita, sahabat kita dan masyarakat kita menaiki bahterah menuju syurga. Sungguh itulah pengakhiran yang kekal abadi. Kenikmatan yang tiada tara tandingnya. Syurga bumi bagi orang-orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT.

Dan orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan dibawa ke dalam syurga berombong-rombongan (pula). Sehingga apabila mereka sampai ke syurga itu sedang pintu-pintunya telah terbuka dan berkatalah kepada mereka penjaga-penjaganya: "Kesejahteraan (dilimpahkan) atasmu. Berbahagialah kamu! maka masukilah syurga ini, sedang kamu kekal di dalamnya."
 [Az-Zumar 39: 73]

Jadi, tunggu apa lagi!

Mulakan langkahmu.

Berangkatlah menuju syurga.

                                       ****

P/S: Karya Asli Hadi Muslim, 01/09/2012, Kota Kinabalu Sabah. Hak Cipta Terpelihara!

Tuesday, August 28, 2012

Cerpen: Saatnya Aku Menikah 2



Percik Memori di Rumah Allah

Cuaca hari ini agak baik berbanding semalam. Alhamdulillah. Semoga urusanku pada hari ini selesai seperti yang direncana. Malam nanti ada halaqah (usrah) tepat jam9.00 malam di Surau Nur Iman Kolej Kediaman E. Jadi, aku akan pastikan ‘Resume Nikah’ telah dihantar ke email murabbiku sebelum hadir ke halaqah. Monolog Hadi sendirian.

Aku memandang di sekeliling pantai. Pemandangan yang mendamaikan di sekitar ODEC Ums menenangkan jiwa. Kekadang tersenyum sendirian tatkala teringat akan niatku ingin berkahwin pada tahun ini. Umurku saat ini, empat bulan lagi genap 22 tahun. Masih muda. Aku terus tersenyum sendirian. Seakan-akan ada seseorang sedang menghiburkanku. Aku bahagia.

‘Astaghfirullah’. Kenapa aku selalu berkhayal tentang itu? Adakah syaitan sedang menggodaku dan cuba mengotori niatku? Astaghfirullah. Astaghfirullah. Ya Allah, hanya kepada-Mu hamba berserah diri.
Pandanganku kembali terarah pada keindahan pantai senja. Tapi kali ini, fokusku tertumpu ke arah terbenamnya matahari. Sungguh indah dan mengagumkan. Spontan bibirku memuji yang Maha Berkuasa atas segala-galanya.Allah Ya Jamal.Yang Maha Indah. Aku bersyukur. Jiwaku tenang dan bahagia. Semoga akan datang nanti aku tidak keseorangan lagi menikmati keindahan ciptaan Allah SWT di sini. Aku akan membawa kekasih hati yang dikurniakan dari-Nya. Berkasih sayang dan beramah mesra dengannya. Hati tidak bimbang lagi kerana dirinya akan halal bagiku. Semuanya jadi ibadah dan mendapat pahala jika disandarkan hanya pada-Nya. Aku semacam tidak sabar menanti saatnya.

Sesekali aku melirik jam ditanganku. Waktu maghrib semakin hampir. Siang juga seakan-akan mahu melabuhkan tirainya. Langit kelihatan kelabu dan perlahan-perlahan menjadi gelap. Kelihatan bilangan pengunjung pantai ini semakin surut. Hanya aku dan beberapa orang lagi masih menikmati suasana senja yang mendamaikan. Namun aku perlu beransur pergi juga. Waktu maghrib semakin dekat. Masjid Universiti menjadi destinasi.

                            ****

Usai solat fardhu maghrib, aku menuju ke tingkat satu Masjid Universiti. Resume Nikah mesti dihantar kepada murabbiku. Bisikku dalam hati. Laptop dihidupkan. Kemudian email dihantar yang mengandungi resume nikah. Hati seakan-akan berdebar, gembira dan sedikit risau kalau resume nikah dan diriku ditolak. Namun, aku sudah bersedia jika sebarang kemungkinan berlaku. Diterima dan ditolak. Aku redha dengan ketentuan-Nya. Sungguh Allah SWT sebaik-baik perancang dan pemberi anugerah.

Sementara menunggu waktu isyak. Aku menyandarkan tubuhku di tembok masjid. Lembaran-lembaran cinta-Nya kubaca. Namun, bacaanku terganggu dan tersekat-sekat, tatkala mengimbau kembali kisah di kampung tempoh hari. Aku menamatkan bacaanku.Terjemahan  Al-Quran kututup. Kemudian kucuba mengingati kembali saat aku berhajat untuk melamar muslimah dikampungku.

“Hadi, makcik mau tanya boleh?”

“InsyaAllah boleh makcik. Tanya apa ya?”

“Makcik mau tanya ni.  Bila kau kahwin sebab hari tu makcik ada dengar Hadi mau kahwin. Makcik pun suka kalau kau kahwin awal. Ada yang boleh jaga dan bagi kau kasih sayang. Kasian makcik tengok kau ini. Mana tau lepas kahwin nanti, keluargamu baru sedar kehadiran kau di rumah. Makcik akan sokong kau nanti. Kalau mau biar makcik berbincang dengan emak bapa kau” Jelas Makcik Satri panjang lebar.

Aku ketika itu terdiam seribu bahasa. Mulut terkunci. Sukar untukku menjawab persoalan makcik. Aku tiba-tiba terhenti daripada membaca. Ketika itu aku sedang membaca majalah solusi isu 29 yang bertajuk ‘Ada Syurga Rumahtangga’. Majalah kututup semula dan kuletakkan di atas meja tempat aku sedang duduk. Kami saling berpandangan. Namun, aku menundukkan semula wajahku. Aku malu. Mesti orang-orang kampung mengejek dan mentertawakanku bila mereka tahu hajatku mahu berkahwin. ‘Aduh, mau jawab apa nanti’. Jiwaku semakin memberontak. Sedikit peluh keluar di dahiku tapi kubiarkan saja.

“Makcik, keinginan tu ada tapi siapalah yang mau dengan saya makcik. Bukan makcik tidak tau keadaan keluarga saya. Emak dan bapa saya juga mesti tak setuju. Mereka mau saya habis belajar dulu dan lepas tu kerja” Balasku.

“Hadi, biar makcik tolong bincang dengan emak bapa kau. InsyaAllah, sekurang-kurangnya kita cuba dulu. Makcik tau siapa yang kau suka. Makcik pasti mereka tidak menolak lamaran kau dan orang tua mu juga akan setuju.”

“Siapa makcik dan siapa yang bagi tahu makcik” Aku pantas bersuara dan inginkan kepastian.
“Si Suhana anak Pakcik Ahmad yang belajar di Politeknik tu. Makcik dengar semua ini pun dari  Sukardi” Cepat Makcik Satri menjawab.

Aku sedikit tersenyum. Namun, senyumanku itu cuba kusembunyikan daripada makcik. Tepat sangkaanku. Semua cerita ini mesti Sukardi yang bagi tau sebab tiga hari lepas aku ada bercerita kepadanya.
“Makcik, keluarga Suhana mahu jugakah tu? Mana tau keluarganya menolak.” Ujarku

“Tidak perlu risau Hadi, Makcik kenal keluarga Suhana dan mereka juga sangat tau peribadi kau. Sekarang hubungi emak bapa kau dan tunggu makcik di rumah. Makcik akan datang lepas isyak. Kita selesaikan juga malam ini. InsyaAllah besok pagi kita boleh terus merisik  Suhana.” Jelas Makcik dengan penuh yakin.

Hairan ! Makcik Satri pula yang semangat mahu aku menikah awal. Aku pun tak tau apa sebenarnya yang difikirkan oleh Makcik Satri. Namun aku yakin, semua itu demi kebaikan aku. Makcik Satri boleh dikatakan emak keduaku. Makcik inilah tempat aku selalu mengadu jika ada masalah. ‘Makcik,terima kasih banyak. Mau saja aku peluk sebagai tanda terima kasih. Namun, kutahan sahaja kerana antara aku dan Makcik Satri bukan muhrim ‘ Desis hatiku.

“InsyaAllah, makcik kejap lagi saya hubungi orang tua saya”

“Bagus kalau begitu, makcik harap perkara ni tidak perlu ditangguh lama-lama. Kau juga yang rugi nanti” Makcik Satri menasihati.

“Terima Kasih banyak makcik” Jawabku.

Aku segera pulang ke rumah. Dalam perjalanan ke rumah, aku seperti berjalan di awan-awangan. Bahagia sungguh. Mahu saja aku khabarkan dengan peduduk kampung. Menjerit kegembiraan. Tatkala diriku yang sangat jahil ini bakal menikahi seorang wanita solehah. Ya Allah, aku bersyukur kepada-Mu. Semoga niat hambamu ini sentiasa suci dan tulus mencari redha-Mu. Mendirikan rumahtangga sebagai permulaan bagiku membina bangunan ummah yang kukuh. Amien Ya Rabb.

Setibanya di rumah. Perasaan gembira tidak mampu terkawal. Telefon ‘Sony Ericson’ kucapai. Tujuanku adalah untuk mengkhabarkan kepada sahabatku tentang hal ini. Nama sahabat yang telah berkahwin menjadi sasaranku. Akhi Shahrul Nizam namanya. Butang panggilan kutekan.

Tut..tut..tut..

“Assalamu’alaikum akhi” Hadi memulakan bicara.

“Wa’alaikumussalam, ya akhi. Apa khabar dan anta ada hajat apa ni?” Balasnya.

“Alhamdulillah, ana sihat walafiat. Akhi, ana ada khabar gembira. Anta nak tau tak” Ceria nada suara Hadi.

“Ya, ana nak tau. Tapi khabar apa tu?”

“Akhi, malam ni semua keluarga ana akan berkumpul untuk membincangkan perancangan untuk meminang seorang muslimah sebagai bakal isteri ana. Muslimah tu duduk sekampung dengan ana. Sekarang dia tengah belajar di Politeknik Sarawak. Kami tunang saja dulu sementara dia habiskan belajar tahun ni. Lepas tu, kami akan nikah” Jelasku panjang lebar.

“Tahniah akhi, tak sangka ya anta juga akan menikah. Lagi pantas berbanding dengan sahabat lain. Bagus-bagus!” Sokong Shahrul Nizam.

“He3, Alhamdulillah akhi, seru dah sampai. Doakan ana agar terus menjaga niat” Pintaku.

“Ana sentiasa doakan akhi”

“Tapi?”

“Tapi apa akhi?” Hadi tertanya-tanya.

“Tapi akhi, ana lebih ‘prefer’ kalau anta kahwin dengan ‘Akhwat’” Cadang Shahrul Nizam.

“Kenapa pulak. Ana tak faham. Kenapa mesti akhwat.Lagipun, ada  ke akhwat yang available dan nak menikah dengan ana?” bertalu-talu soalan kulemparkan.

Available tu ada akhi. Bila-bila masa saja kalau anta nak. Tapi, anta kena siapkan ‘resume nikah’ dulu. Dengan adanya ‘resume nikah’ anta, senang sikit kita cari calon zaujah (isteri) yang anta nak. Kalau anta nak contoh resume nikah tu, ana ada. Malam ini juga ana hantar ke email anta. Tapi, sebaiknya anta pulang ke UMS dulu kita bincang secara matang” Jelas Shahrul Nizam.

“Akhi, kejap lagi keluarga ana semua datang ke rumah bincang hal ini. Ana nak bagi alasan apa? Ana tak berani pulak tarik balik kata-kata ana siang tadi. Sebab ana yang beria-ria sangat mau melamar muslimah tu” Luah Hadi.

“Seperkara lagi, ana masih tak faham kenapa ana kena menikah dengan akhwat?”Lanjutnya.

“Begini akhi, kalau anta menikah dengan akhwat mudah bagi anta, InsyaAllah. Akhwat faham gerak kerja dakwah ikhwah dan anta juga faham gerak kerja dakwah akhwat. Ada kesamaan fikrah. Jadi, keberlangsungan dakwah anta tidak sulit kerana saling memahami. Tetapi, tak salah kalau anta mau juga menikah dengan muslimah tu. Cumanya, nanti dia tak faham dakwah anta. Ini akan merumitkan kehadiran anta ke halaqah, jaulah, daurah dah mukhoyyam. Terpulang dengan anta, sejauhmana anta cinta akan dakwah ilallah seperti yang anta rasai sekarang” Shahrul Nizam mencadangkan.

“Kalau anta setuju, ana bersedia membantu anta, InsyaAllah” Lanjutnya.

‘Betul juga kata Nizam’ Bisik hatiku.

“Ok Akhi, ana setuju cadangan anta. InsyaAllah esok petang ana akan ke UMS. Berkenaan perbincangan keluarga ana malam ni. Ana sudah ada alasan yang kuat untuk menangguhkan lamaran esok pagi. Tapi, alasan tu biarlah rahsia, ok. Jadi akhi, doakan ana agar semua berjalan seperti yang dirancang dan yang paling penting Allah SWT Redha-Nya dengan niat kita” Balasku.

“InsyaAllah, ana senantiasa mendoakan kesejahteraan sahabat akhi”

“Jazakallah Khairon”

Perbualan telefon hampir setengah jam itu berjaya membuka mindanya. Dalam membuat sebarang keputusan sebaik-baiknya berbincang dengan sahabat. Minta nasihat dan pandangannya. Selain itu juga, keputusan yang bakal diambil perlu juga mengambil kira kesan kepada dakwah. Ini penting bagi mengelakkan kecelaruan, penyesalan dan permasalahan dan akhirnya memutuskan untuk keluar daripada jemaah. Bahkan, lebih parah lagi sekiranya tidak mau meneruskan gerak kerja dakwah. Siapa yang rugi?

                                     ****
Kedengaran suara emak, bapa, makcik, pakcik, anak saudara, abang sepupu dan lain-lain saudara lagi di luar rumah. Hatiku semakin berdebar. Peluh mula memenuhi dahi. Tapi, segera aku hilangkannya. Aku semakin risau, kalau semua alasanku ditolak dan mereka nekad untuk melamar muslimah tu pada hari esok.’ Ya Allah, bantulah hambamu ini’ doaku dalam hati.

Semua ahli keluargaku mengambil tempat masing-masing di ruang tamu.Melihat mereka, jantungku berdegup semakin kencang. Wajahku terasa pucat. Namun, aku cuba menguatkan tekad. Demi keberlangsungan dakwah. Ya Allah kuatkan semangatku. Fahamkan keluargaku akan maksudku. Hatiku terus-menerus berdoa dan memohon pertolongan dari-Nya. Tidak berhenti ku berdoa.

Suasana kurasa sangat  tegang. Semua mata sedang memerhatiku. Saat ini aku masih menundukkan wajahku. Lantai kayu beralas tikar diperhati tanpa ada tujuan. Aku sedang menunggu masa yang sesuai untuk memberanikan diri agar mampu bertentangan mata dengan ahli keluargaku. Nafas kutarik dan kulepaskan perlahan-lahan. Terasa  tenang dan lebih bertenaga.  Satu persatu wajah ahli keluarga kuperhatikan. Kelihatan ada yang ceria dan ada juga semacam tidak senang hati dengan keputusanku.

“Terima kasih semua kerana sudi datang. Hadi minta maaflah menyusahkan. Sebenarnya, Hadi baru dapat panggilan daripada kawan di UMS. Dia minta Hadi datang esok ke UMS, ada urusan pelajaran katanya. Kalau tidak datang juga kemungkinan besar markah Hadi akan ditolak dan gagal untuk kursus tu” Jawabku tenang walaupun ada perkataan yang tersekat-sekat.

‘Aku cuba membuat helah’ Bisik hatiku.

“Sebenarnya, memang ada assignment  yang sepatutnya saya hantar  pagi tadi, tapi belum siap. Ketua kumpulan sudah berkali-kali membuat panggilan. Tapi, semua tidak dilayan. Mesej pun tak direply.  Petangnya  ada perjumpaan kumpulan. Kami mahu bincang kerja-kerja yang tidak siap” Lanjutku.

“Jadi emak, bapa dan semuanya. Hadi tangguh dululah ya hajat kita mau datang melamar tu”

“Mak setuju sangat” Pantas emakku menjawab. Semua ahli keluarga lain pun setuju dengan cadangan tu.

Aku terkesima dengan jawapan mereka sebentar tadi. Pujian kupanjatkan kepada ilahi.Hatiku mula berbunga-bunga. Tekanan semakin berkurangan. Hati semakin tenang dan bersemangat semula. Alhamdulillah. Terima kasih Allah atas pertolongan-Mu.

“Tapi, Hadi?” Makcik Satri tiba-tiba bersuara.

“Kenapa Makcik?”

Tidak sempat aku mendengarkan bicara makcik Satri. Tiba-tiba aku terbangun. Tatkala mendengar laungan suara azan menandakan masuknya solat  fardhu isyak di Masjid Universiti UMS.

Astaghfirullah, sebentar tadi aku tertidur rupanya. Aku bermimpi lagi.

‘Astaghfirullah, Astaghfirullah, Astaghfirullah,’

Aku bingkas bangun dan terus mengambil wudhuk.

Nak difikirkan apalagi, resume nikah sudah dihantar. Sebarang keputusan aku bersedia menghadapinya. Aku yakin Allah SWT inginkan yang terbaik untuk hamba-Nya. Aku redha dengan ketentuannya!




Thursday, August 23, 2012

Cerpen: Layakkah Aku




Cerpen ini kuanggap sebagai hadiah kepada seorang mad'u tempoh hari. Kuharap ia bermanfaat sebagai hujah menguatkan dirinya untuk terus istiqomah mentarbiyah diri kerana-Nya dan bertemu kekasih hati yang membawa cintanya sampai ke syurga. Saat hatinya mula terganggu oleh perasaan yang tidak enak baginya. memikirkan sesuatu yang tidak halal baginya. Bimbang menjadi mudarat jika terus tersimpan tanpa meluah kepada orang yang sepatutnya. Maka, dia nekad untuk menamatkan segala kecelaruan dengan meluahkan segala perasaan yang tidak enak itu kepadaku. 

Maka itu, di sini kisahnya bermula!

"Akhi, sebenarnya ana mau meluah nie. Malu pulak mau cakap. Ana kadang2 teringat 'akhwat' yang.....macam mna ni akhi"

Sebak hati membacanya. Namun aku teringin juga membantunya. Memandangkan dia baru saja mengikuti halaqah (usrah) jadi banyak perkara belum difahaminya. Oleh itu, menjadi kewajibanku untuk mengilaj mengenai perkara ini sebelum 'nasi menjadi bubur'. Bisik hatiku.

"Akhi boleh anta online? kalau bersms rasanya kurang sesuai lah" Balasku.
"InsyaAllah boleh akhi"

'Akhi, itu perkara biasa bagi seorang lelaki. Lelaki normal. Teringin mencintai dan dicintai. Namun, sekiranya perasaan cinta itu tidak disalurkan di tempat yang betul dan diredhai Allah SWT, maka cinta yang terbina itu salah dan mendapat murka Allah SWT. Kita sebagai orang ditarbiyah tidak mungkin berbuat sedemikian. Ana yakin, anta mesti fahamkan maksud Allah SWT dalam surah al-isra' (17; 32) tentang jangan menghampiri zina dan surah an-nur (24; 30) mengenai jaga pandangan. Semua itu merupakan lorong-lorong agar cinta kita yang suci itu mudah ternodai'

"Ana kagum cara anta. Meluahkan perkara penting ini dengan ana. Bahaya kalau simpan lama-lama dan dipendam. lain jadinya nanti."

"Ana cuma risau akhi, ana selalu beristighfar dan membaca al-quran kalau ana tiba-tiba ingat lagi benda tu. Tapi kadang-kadang ana tidak mampu akhi. Sebab itulah ana meluahkan perkara itu dengan anta tadi. Alhamdulillah, ana mula lega kerana dapat meluahkan perasaan yang tersimpan beberapa hari ini"

"Bagus cara anta. Tapi akhi, ana sarankan agar jangan selalu berseorangan. Mudah nanti digoda oleh syaitan. Buatlah aktiviti bersama adik-adik atau anta pergi ziarah kawan-kawan yang terdekat. Lebih baik sms atau telefon ikhwah"

"Akhi, layakkah ana berkahwin dengan muslimah?"

Waah. Hebat juga soalan ini. Bisik hatiku.

"InsyaAllah, anta layak yang penting teruskan tarbiyah diri, berdoa kepada Allah SWT dan betulkan niat agar Allah SWT menghadiahkan untuk anta"

"InsyaAllah akhi, Jazakallah" Balasnya ringkas.

"Akhi, tunggu kejab. Bagi email anta. Ana mau hadiahkan anta sebuah cerpen. Ana baru baca dari website iluvislam. Menangis juga ana baca dan ana yakin ini sesuai untuk anta hayati. Jangan kata tidak layak lagi, ok"

Pada malam itu, aku pun mengirimkan cerpen yang bertajuk  'Aku Bukan Saidina Ali' sebagai hadiah untuknya. Dengan harapan, cerpen tersebut boleh menjadi motivasi baginya untuk terus menjernihkan hati dan cintanya dalam mencari redha-Nya.

                                             ****
"Aku Bukan Saidina Ali"

Nurul Salwa Al-Fateh. Pertemuan pertama kali dengan wanita hebat seperti Nurul Salwa Al-Fateh pasti tidak mampu dilupakan. Pelajar perundangan syariah yang sangat hebat tentang hukum agama. Penegak keadilan. Pembanteras kezaliman. Begitu tabik aku kepada Nurul Salwa Al-Fateh. Namun apa yang pasti, wanita ini sebenarnya amat sukar untuk didekati. Terlalu sukar. Wanita yang begitu sibuk beribadah dan berhubung dengan kekasihNya menyebabkan dia sentiasa menyendiri daripada kelompok manusia yang sibuk dengan kehidupan sosial masing-masing.

Jika dibandingkan aku dan Nurul Salwa Al-Fateh, terlalu jauh perbezaan kami berdua. Hidup Nurul Salwa Al-Fateh begitu mengikut syariat padahal aku pula banyak melanggarnya. Jauh di sudut hatiku, aku mahu memiliki Nurul Salwa Al-Fateh itu. Aku seperti telah jatuh hati pada wanita yang hujung namanya Al-Fateh itu. Tapi, bolehkah aku memilikinya? Sedangkan kehidupan kami berdua saja sudah boleh membezakan aku yang jahat dan dia yang baik. Hati ini sukar untuk dijangka. Bila aku tidak memerlukan cinta, ia datang menyinggah. Bila diperlukan, ia tidak mahu datang. Itulah lumrahnya perkataan yang bernama cinta.

Tetapi pada suatu hari, terjadi satu peristiwa yang telah mengubah kehidupanku. Aku bertemu Nurul Salwa Al-Fateh. Pada ketika itu, dia berada di perpustakaan kampus dan pada waktu yang sama, aku sedang mencari bahan rujukan untuk menyiapkan kerja khusus yang diberikan oleh pensyarah. Tiba-tiba, Nurul Salwa Al-Fateh memberi salam dan meminta aku mengambil buku yang berada tidak jauh dari tempat aku berdiri. Aku begitu terkejut dan terpegun dengan keindahan Nurul Salwa Al-Fateh. Memang benar kata para pelajar di sini, dia pelajar yang luar biasa.

"Errr... Encik? Boleh ambilkan saya buku yang tidak jauh dari tempat encik berdiri?"

Aku pun mengambil buku tersebut setelah lamunan aku terhenti. Aku memberanikan diri untuk bertanya padanya adakah betul dia Nurul Salwa Al-Fateh. Dia tersenyum. Aku sungguh terpukau dengan senyuman manis bersama lesung pipitnya itu. Nurul Salwa Al-Fateh menganggukkan kepala dan berlalu seraya meninggalkan aku salam. Hatiku berdebar-debar. Aura Nurul Salwa Al-Fateh masih bersama denganku.
Sejak dari itu, aku mula kerap ke perpustakaan agar sentiasa bertemu wanita hebat itu.

Ke mana saja dia pergi, aku pun mengikutinya. Segala aktiviti Nurul Salwa Al-Fateh sentiasa aku ketahui. Sifat peribadinya tiada beza seperti Saidatina Fatimah Az-Zahra. Mungkin aku boleh samakan dia dengan Ummu Abiha itu. Nurul Salwa Al-Fateh sentiasa menghadiri majlis-majlis ilmu di masjid dan mengikuti aktiviti kebajikan. Sedikit demi sedikit, aku telah berubah. Dahulu gaya hidupku terlalu kebaratan. Di dalam rumahku ini aku sedar tiada sedikit pun sinar Islam. Botol arak tersimpan kemas di dalam almari. Maksiat bermaharajalela di rumah ini. Aku sangat berasa jahil dan sememangnya aku jahil dalam bab agama. Aku ingin berubah menjadi yang lebih baik. Aku tidak mahu tersesat di jalan yang lagi menyesatkan ini. Namun pada siapa harus aku bertemu?

Sedang asyik aku duduk di tasik buatan kampus, hadirnya wanita idaman semua lelaki. Nurul Salwa Al-Fateh bersama beberapa temannya menyapaku. Mungkin dia terlihat aku di dalam masalah. Entah bagaimana dia boleh tahu tentang masalah yang dihadapiku ini. Nurul Salwa Al-Fateh menyerahkan sekeping kertas yang tercatat padanya nama dan nombor telefon seseorang. Dia meminta aku untuk berjumpa dengan orang tersebut. Kemudian dia pun pergi bersama-sama rakannya dengan meninggalkan aku salam. Tanpa melengah-lengahkan masa, aku mengeluarkan telefon bimbit lalu mendail nombor tersebut. Perbualan antara aku dan Ustaz Muhammad tidaklah panjang. Aku hanya meminta untuk berjumpa.

Pada malam itu, aku berjumpa Ustaz Muhammad di sebuah masjid tidak jauh daripada kediamanku. Aku menceritakan segala kisah hidupku dan meminta Ustaz Muhammad membimbingku. Dengan hati yang besar, Ustaz Muhammad menerimaku sebagai anak didiknya. Kini aku mampu tersenyum. Aku mula belajar untuk mengambil wuduk kemudian solat. Setelah itu aku mula membaca surah-surah lazim. Bermula dengan surah Al-Fatihah dan 3 surah Qul. Dalam masa beberapa hari aku sudah menguasainya. Aku umpama bayi. Bayi yang mula-mula hanya tahu merangkak. Cuba berdiri dan berjalan tetapi pada suatu saat, aku tersungkur. Walaupun sering aku rasa kesakitan, tapi aku tidak mengalah. Aku berdiri lagi dan berjalan perlahan-lahan. Alhamdulilah, sekarang aku mampu melaksanakan perintah Allah yang menjadi perkara yang pertama dihisab di alam barzakh, solat.

Usai saja solat Zohor di masjid kampus, aku terserempak dengan Nurul Salwa Al-Fateh. Aku menyapanya dengan memberi salam. Nurul Salwa Al-Fateh yang ketika itu bersama temannya memalingkan wajah ke belakang dan menjawab salam yang aku berikan. Aku mengucapkan terima kasih kepadanya kerana telah menemukan aku kepada Ustaz Muhammad. Nurul Salwa Al-Fateh menganggukkan kepala dan berkata dia hanya membantu mempertemukan saja aku dan Ustaz Muhammad. Tidak lebih daripada itu. Ya Allah, wanita di hadapanku ini sungguh merendah diri. Sebelum meminta diri, aku sekali lagi mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepadanya. Aku pun pergi meninggalkan Nurul Salwa Al-Fateh dengan sebuah senyuman yang telah aku khaskan buatnya.

Beberapa hari kemudian, aku mendapat khabar Nurul Salwa Al-Fateh dilamar oleh seorang ustaz. Ustaz Salahuddin Al-Ayyubi. Bekas pelajar Universiti Al Azhar. Tetapi ditolak oleh Nurul Salwa Al-Fateh. Ramai lelaki yang telah cuba melamar Nurul Salwa Al-Fateh tetapi kesemuanya pulang dengan hampa kerana lamaran masing-masing telah ditolak olehnya. Lelaki-lelaki yang melamar Nurul Salwa Al-Fateh bukan calang-calang orang. Kesemuanya kuat agama dan merupakan anak orang berada. Di hatiku timbul satu soalan: Siapakah yang boleh mendapatkan Nurul Salwa Al-Fateh itu?

Seperti biasa, aku akan berada di masjid bersama-sama Ustaz Muhammad pada setiap malam Jumaat. Mengaji Al-Quran bersama dengannya. Memperbetulkan tajwid jika aku tersalah. Malam itu, aku merasakan bacaanku semuanya tidak betul sehingga Ustaz Muhammad menjadi hairan. Apakah yang bermain di fikiranku sebenarnya? Mengapa setiap bacaanku menjadi salah?

Ustaz Muhammad meminta aku berhenti membaca. Takut jika aku terus membaca, banyak lagi kesalahan yang aku lakukan. Aku rasa gundah gulana. Wajah Nurul Salwa Al-Fateh bermain di minda. Patut saja aku tidak boleh membaca al-Quran dengan baik. Ustaz Muhammad bertanya kepadaku andai aku mempunyai masalah. Aku telah menganggap Ustaz Muhammad seperti ayahku sendiri dan begitu senang untuk aku bercerita kepadanya. Aku menceritakan kepadanya mengenai Nurul Salwa Al-Fateh itu. Ketika aku bercerita, aku tidak mahu menyebut nama Nurul Salwa Al-Fateh.

"Kenapa tidak cuba untuk melamar wanita itu?" soal Ustaz Muhammad. Aku yang bersandar pada dinding masjid tersenyum.

"Saya dan wanita itu umpama langit dan bumi. Bagaimana untuk saya melamar wanita solehah itu padahal sebelum saya, ramai lelaki yang telah pulang dengan hampa kerana lamaran sudah ditolak. Jika saya yang pergi melamarnya, sudah pasti ditolak oleh wanita itu," jawabku. Tiba-tiba Ustaz Muhammad ketawa.

"Bagaimana kamu tahu kamu ditolak oleh wanita itu padahal kamu belum mencubanya? Belum cuba, kamu sendiri tidak akan tahu keputusannya bagaimana. Mungkin wanita itu akan menerima kamu sebagai suaminya," kata Ustaz Muhammad. Aku terdiam. Ada benarnya juga kata Ustaz Muhammad.

Kemudian Ustaz Muhammad menceritakan kisah Saidina Ali bin Abi Talib dan Saidatina Fatimah Az-Zahra. Aku mendengar penuh khsuyuk cerita yang diceritakan oleh Ustaz Muhammad. Cinta diam itu hanya dipendamkan kerana takut melebihi cinta kepada Allah. Namun cinta mereka itu disatukan juga. Aku begitu kagum kepada Saidina Ali bin Abi Talib yang begitu sabar bagi menunggu cintanya.

"Namun saya bukan Saidina Ali, ustaz. Saya hanyalah hamba Allah yang serba kekurangan. Saya mungkin tidak layak untuk wanita itu. Wanita itu terlalu baik dan solehah. Dia mungkin layak untuk orang lain. Bukan saya, ustaz," kataku kepada Ustaz Muhammad.

"Jika kamu bukan Saidina Ali, wanita itu juga bukan Saidatina Fatimah. Terlalu awal untuk berputus asa. Cubalah dahulu. Aku yakin kamu pasti akan memiliki wanita solehah itu." Kata-kata Ustaz Muhammad memberi aku semangat. Aku perlu mencuba dahulu agar mengetahui jawapannya. Aku melakukan solat hajat dan solat istikarah. Jika lamaranku ditolak, aku redha. Aku tahu aku tidak layak buat Nurul Salwa Al-Fateh.
Berbekalkan doa, aku memberanikan diri berjumpa orang tua Nurul Salwa Al-Fateh. Semasa aku bertemu orang tua Nurul Salwa Al-Fateh, aku begitu terkejut besar sehingga menyebabkan aku tidak dapat berkata-kata. Lelaki yang menjadi ayah kepada Nurul Salwa Al-Fateh itu adalah Ustaz Muhammad. Kedatanganku disambut dengan penuh gembira oleh Ustaz Muhammad. Aku berasa seperti dalam mimpi!

"Apakah kedatanganmu ke rumahku ini anak muda?" soal Ustaz Muhammad. Aku menjadi sedikit gementar. Ragu-ragu untuk meluahkan apa yang sudah tersirat di hati. Aku menarik nafas.

"Maaf kalau saya mengganggu ustaz, tetapi kedatangan saya ke sini membawa hajat yang besar. Saya tahu saya bakal ditolak tetapi saya mahu mencubanya dahulu. Saya ingin melamar Nurul Salwa Al-Fateh menjadi isteri saya. Menjadi peneman hidup saya," kata aku menyatakan kedatanganku kepada Ustaz Muhammad.

"Persoalan yang bermain di minda dan di hatimmu itu bakal dijawab sendiri oleh Nurul Salwa Al-Fateh. Andai dia menerima, aku juga akan menerima. Andai ditolak, redhakan saja," kata Ustaz Muhammad. Aku hanya menganggukkan kepala. Ustaz Muhammad pun memanggil Nurul Salwa Al-Fateh ke ruang tamu dan bertanya kepadanya sama ada dia menerima lamaranku atau menolaknya. Aku perlu bersedia.

"Abah, Salwa pernah mendengar ada lelaki yang mengatakan dia bukan sehebat Saidina Ali kerana kehebatan cinta Saidina Ali kepada puteri Rasulullah SAW. Sedangkan Salwa juga bukanlah Saidatina Fatimah Az-Zahra. Salwa juga ada kekurangannya. Setiap hari Salwa menunggu lelaki itu melamar, namun hampa. Sehinggalah hari ini, penantian Salwa telah tamat, abah. Lelaki itu hadir juga dan lelaki yang Salwa maksudkan adalah Muhammad Zoriffudin. Lelaki yang menjadi anak didik abah. Dengan itu, Salwa menerima lamaran lelaki yang ada di hadapan abah," jawab Nurul Salwa Al-Fateh. Aku rasa begitu gembira sehingga melakukan sujud syukur. Ya Allah, terima kasih!

Siapa menyangka penghujungnya indah? Aku yang dahulunya berfikiran akan ditolak oleh Nurul Salwa Al-Fateh, tetapi diterima lamaranku. Aku bukanlah sehebat lelaki-lelaki lain yang bekerjaya tinggi dan luas ilmu agama. Aku masih lagi dalam keadaan kekurangan. Kekurangan kerana tiada yang mengembalikan tulang rusukku yang hilang. Aku yang perlu mencarinya kembali dan akhirnya aku menjumpainya. Bertemu kembali tulang rusukku yang hilang dan tulang rusukku itu adalah Nurul Salwa Al-Fateh binti Muhammad.

P/s: Cerpen ini saya ambil dari website iluvislam. Moga bermanfaat kepada pembaca blog Hadi Muslim.Com.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...