Pages

Sunday, July 22, 2012

Ukhuwah, "Aku & Dia"




Membina Ukhuwah

UKHUWAH. MANIS. Orang suka mengangkat ukhuwah di satu tempat yang tinggi. Di dalam kalam, di dalam tulisan, di dalam cerita. Seakan-akan ukhuwah ini adalah satu makhluk yang datangnya dari syurga. Benar, ukhuwah sangat indah.

Aduhai, siapakah yang membina ukhuwah sedalam-dalamnya.

Atau sekadar mengetahui nama, bergembira bersama, makan bersama, bermain bersama, maka itu adalah ukhuwah bagi kita? Biasanya, kita melihat ukhuwah hanya pada satu sisi. Aku dan dia. Tetapi kita tidak memperdalamkan ukhuwah kita, kepada aku, dia dan keluarganya, orang yang dicintainya.

Ukhuwah yang indah adalah ukhuwah yang dalam, tetapi tidak ramai yang senang menerokanya.

Kedalaman Ukhuwah

Kata orang, kalau berkahwin, kita bukan berkahwin dengan pasangan kita sahaja. Kita ‘Berkahwin’ juga dengan adik-beradiknya, ibu bapanya, saudara-maranya. Maka di situ, kita tidak boleh hidup dalam dunia kita semata-mata. Tetapi kita juga perlu memerhatikan sekeliling kita, mengambil berat kepada semua, menjaga hubungan dan berusaha mengajak semua kembali kepada Allah SWT. Kalau benar cinta kita pada pasangan kita, maka itulah yang kita perlu usahakan.

Bergitulah juga dalam persahabatan. Apabila bersahabat dengan seseorang, sepatutunya jika mempunyai peluang, kita perlu membina hubungann baik dengan kedua ibu bapanya, adik-beradiknya dan sesiapa saja yang dicintainya.

Ini adalah satu bukti cinta kita kepadanya. Ia menambahkan lagi keindahan ukhuwah yang ada antara kita dengan dia. Menjadikan apa yang kita katakan ‘sahabatku adalah keluargaku’ menjadi satu perkara yang realiti.

Keindahan dalam ukhuwah

Apa yang terhasil daripada perkara ini adalah ketsiqahan (kepercayaan) antara dia dengan kita. Ini adalah antara projek menawan hati yang paling berkesan. Siapa yang tidak senang melihat seorang sahabat mencintai keluarga sahabatnya? Bahkan saya sendiri amat menyenangi sahabat-sahabat yang merapati keluarga saya, bukan sekadar saya sahaja.

Ukhuwah menjadi semakin erat, dan sukar dipecahkan. Tambahan apabila hubungan ini menjadi sangat erat sehingga ibu bapa mereka memandang kita sebahagian daripada keluarga mereka sendiri.

Secara tidak langsung, kita telah melebarkan jalur ukhuwah berasaskan keimanan ini kepada teritori yang lebih luas. Bermula satu individu, bercambah kepada individu-individu yang lain.

Ada keseronokan dan kelapangan jiwa

Merapati keluarga sahabat mempunyai keseronokan sendiri yang ajaib, dan ia melapangkan jiwa.

Apabila kita menyayangi seorang sahabat kita, pastinya kita akan berusaha menyayangi keluarganya juga, menghormati kedua ibu bapanya, memuliakan adik-beradik mereka, dan mengasihi sesiapa yang dikasihi mereka. Ini menimbulkan satu kemesraan yang tidak terhingga, yang sukar hendak dicapai sekadar persahabatan ‘aku dan dia’.

Saya sukar hendak menterjemahkan perasaan ini. Namun saya merasainya.

Seakan-akan, ini satu tingkat ukhuwah yang baru.

Ukhuwah, luas untuk diekplorasi

Ukhuwah itu luas untuk kita terokai. Bukan sekadar ‘aku dan dia’. Hidup akan lebih bahagia apabila kita ada sahabat yang boleh kita percayai, bahkan bukan dia sahaja tetapi juga seluruh keluarganya.

Ini menimbulkan satu bi’ah soleh dan solehah yang sangat cantik. Isteri kita akan bersahabat karib dengan isterinya, anak-anak kita akan menyayangi anak-anaknya, dan begitu jugalah mereka kepada kita.

Bayangkan, ini bercambah lebih daripada dua keluarga.

Pasti indah, bukan?

Sebelum kita terus mendalami perkara ini, satu perkara perlu diingatkan. Ini semua tidak akan mampu dicapai, tanpa ukhuwah itu dibina atas keimanan.

Walahu’alam..

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...