Pages

Thursday, June 19, 2014

Motivasi: Jika Aku Ada Impian


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Semua orang mempunyai impian, walau sekecil-kecil impian.  Kerana Impian seperti destinasi paling bahagia dan menjadi idaman bagi semua orang.

Impian umpama harta yang tidak boleh dijual beli. Selain itu, impian juga sukar difahami oleh orang lain melainkan diri seseorang yang mengimpikan impian tersebut. 

Ada orang memiliki impian biasa-biasa saja tetapi baginya itu impian paling berharga buat dirinya. Namun, ada juga memiliki impian yang luar biasa dan menurut pandangan orang lain mustahil untuk mencapainya. Tetapi, bagi mereka yang mengimpikan impian tersebut itu bukan perkara yang mustahil jika ada keinginan, keyakinan, kepercayaan dan kerja keras untuk mencapainya.

Ini bermaksud, impian itu sangat subjektif. Hanya mereka yang memiliki impian yang merasainya bagaimana mahu mencapai dan seperti mana nikmatnya impian itu jika berjaya mencapainya.

Saya tidak pernah mendengar orang berjaya dalam hidupnya tidak memiliki impian. Semestinya sebelum seseorang itu mencapai kebahagian dan kekayaan hidup, seseorang itu telah berjaya memiliki impian seterusnya membuat perancangan tentang tindakan yang bagaimana yang perlu dilakukan untuk mencapai impian itu.

Begitu juga dalam segara aktiviti harian saya. Semuanya dimulai dengan sekecil-kecil impian sehinggalah sebesar-besar impian. Impian umpama nadi atau jiwa dalam sesebuah pekerjaan atau tindakan. Tanpa impian pekerjaan atau tindakan itu seperti jasad tanpa roh. 

Semasa saya menulis artikel ini, impian saya adalah mahu menyampaikan kepada para pembaca bahawa hidup ini perlu memiliki impian. Oleh itu, saya tidak terbeban sedikit pun untuk menghasilkan artikel ini kerana ia impian saya. Dengan usaha ini, saya seperti mendapatkan kebahagiaan, ketenangan, kejayaan dan dapat mengukur prestasi saya dalam bidang penulisan. 

Selain itu, dengan kejayaan saya menghasilkan artikel pendek ini dapat menguji kemampuan saya dalam dunia penulisan. Berbicara mengenai bidang penulisan, impian jangka panjang saya adalah mahu menjadi seorang penulis buku-buku motivasi di Malaysia dan karya saya diterjemahkan dalam pelbagai bahasa. Semua ini tidak akan tercapai sekiranya saya tidak memiliki impian. Jadi, proses pertama yang perlu saya lalui untuk mencapai puncak impian yang lebih besar adalah dengan melazimkan diri menghasilkan artikel pendek. Kerana inilah sekecil-kecil impian yang perlu saya lalui.

Mengenai penerima pembaca terhadap karya saya itu soal kedua bagi saya, kerana fokus utama saya adalah mahu melatih mencurahkan ilmu, membiasakan diri dalam penulisan dan mendapatkan sebanyak mungkin komen pembaikan artikel saya. Sebab itu, saya tidak merasa bimbang jika artikel saya mendapat kritikan kerana bagi saya semua itu adalah proses jika mahu menjadi penulis berjaya dan profesional. 

Dengan impian kita boleh menilai prestasi dan kelemahan diri dalam kehidupan. Impian akan membuatkan seseorang terasa memiliki. Tanpa impian, mana mungkin kita memiliki dalam kehidupan. Mahu meraih kebahagian, kecemerlangan, kekayaan, kejayaan, ketenangan dan sebagainya, semua itu dimulai dengan impian.

Saya berharap dengan sedikit perkongsian mengenai impian ini dapat mengusik hati pembaca untuk memiliki impian walau sekecil-kecil impian. 

Jangan takut memiliki impian. Memasang banyak impian dalam hidup tidak perlu bayaran. Semua itu percuma. Jangan mengehadkan minda anda untuk memiliki impian yang banyak dan luar biasa. Jangan bimbang jika impian yang banyak dan luar biasa itu bakal menyusahkan anda, kerana impian anda itu adalah doa. Jika diiringi dengan usaha yang bijaksana dan kepercayaan bahawa anda boleh mencapainya. Yakinlah tiada yang mustahil dalam hidup ini. 

Sekali lagi saya mengajak anda bahawa berusahalah memiliki impian mulai detik ini. Jangan berlengah lagi kerana masa tidak akan pernah menunggu anda. Semakin kita menunggu dan bertangguh, semakin menjauh impian-impian yang luar biasa dalam hidup kita.

Namun, anda akan meraih kehidupan jika anda memiliki impian dan bertindak dengan pantas untuk merealisasikan impian. 

Jika aku ada impian. 

Aku yakin, tiada yang mustahil.

Wednesday, June 11, 2014

Motivasi: Amanah Sebagai Penulis



 بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ


Motivasikan Diri


Memotivasikan diri sendiri untuk terus kuat dan bertahan itu memerlukan mujahadah yang berterusan. Kekuatan itu tidak hanya diperlukan saat kita lemah bahkan kekuatan itu diperlukan saat kita bersemangat agar dapat meningkatkan lagi kualiti kerja kita.

Setahun meninggalkan blog ini. Sedangkan jika difikirkan semula ini adalah amanah yang Allah SWT berikan kepada saya. Bila dikatakan amanah, berdosa sekiranya kita tidak bersungguh-sungguh untuk memperbaiki sikap agar terus bertanggungjawab.

Blog sebagai medium menyalurkan segala ilmu yang kita ada. Kadang-kadang ilmu yang biasa-biasa boleh memberi manfaat kepada sesiapa yang membacanya. Manfaat itu akan dijadikan asbab untuk pembaca berubah menjadi lebih baik.
 
Menulis Sedikit-Sedikit

Saban hari saya semakin sibuk dengan ceramah dan pemantapan pengurusan syarikat sehingga tiada ruang untuk meng’update’ blog ini. Saya sering kepenatan dan sekiranya mahu menulis, saya jadi hilang arah dan tidak tahu mahu menulis mengenai apa. Akhirnya saya memilih untuk berhenti untuk menulis. 

Setahun meninggalkan penulisan blog. Saya dapat merasai kesukaran saya menyusun idea dan merangka cerita dalam penulisan. Sehinggakan saya hanya mampu menulis separuh jalan dan tidak tahu mahu meneruskan. 

Jika difikirkan semula. Menulis artikel tidak semestinya panjang dan mempunyai beberapa muka surat. Tetapi, menulis artikel biar pendek namun mesej yang disampaikan dapat difahami oleh para pembaca. Hatta satu ayat.

Benarlah kata Rasulullah SAW yang bersabda; “Sampaikanlah dariku walau sepotong ayat”. Ini bermaksud, satu ayat sahaja sudah cukup dan memadai untuk para pembaca memahaminya

Adakah itu sulit untuk dilakukan?

Rancang Penulisan

Jika kita tahu semakin hari semakin sibuk dan tidak memiliki banyak masa. Maka, kita perlu membuat perancangan dalam penulisan. Jangan biarkan blog tidak dikemas kini berbulan-bulan lamanya. Ini secara tidak langsung akan menjatuhkan martabat kita dalam kalangan pembaca. Pembaca tidak tahu kesibukan kita tetapi tidak salah kalau mereka berpendapat sedemikian kerana hak pembaca untuk menikmati nukilan kita.

Jadi azam saya adalah saya akan menulis dan mengemas kini blog saya tiga ke empat kali seminggu. Walaupun artikel yang saya tulis mungkin pendek tetapi saya akan berusaha ianya menjadi artikel yang berkualiti. Insya-ALLAH, mulai hari ini saya akan merancang penulisan saya.

Saya mengajak kepada rakan-rakan blogger yang lain untuk kita membuat perancangan dalam penulisan. Sayang sekali bakat yang selama ini kita ada terkubur begitu sahaja.

 Jom kita berkarya!

Kesimpulan:

Dunia penulisan memang mencabar dan memerlukan kekuatan dalaman untuk terus istiqamah. Saya merasai cabaran itu. Sebab itulah blog saya setahun tidak dikemas kini. Tetapi insya-ALLAH, saya akan kembali komitmen dalam dunia penulisan. Saya mahu belajar dan menjadi seorang penulisan yang mengajak lebih orang cinta akan ilmu, menyintai ALLAH dan Rasul-Nya. 

Sumber kekuatan dan sumber segala idea hanya kepada-Nya. Memintalah kepada-Nya agar idea penulisan dan artikel yang dihasilkan benar-benar menyentuh hati para pembaca.

Saya memerlukan sokongan sahabat sekalian untuk memastikan budaya membaca dan menyebarkan ilmu semakin dipergiatkan lagi. 

Salam ukhuwah daripada saya.

Sunday, June 30, 2013

Motivasi: Rindu Kerana Allah


                                                              بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ



“..Tiada kegembiraan yang menyamai perjumpaan dengan sahabatnya dan tiada kesedihan yang menyamai perpisahan dengannya…

Moga persahabatan yang dibina dengan BISMILLAH ini hanya berakhir dengan INNALILLAH...”

Persahabatan atau ukhuwah itu umpama seuntai tasbih. Ada permulaannya, namun tiada penghujungnya. Ukhuwah dicipta untuk mengingati-Nya, Berbahagia untuk meraih cinta-Nya dan ukhuwah juga sentiasa dijaga serta dipelihara agar tidak tersasar daripada landasan keredhaan-Nya.

Bila seseorang rindu dengan sahabatnya. Berdoalah kepada-Nya. Semoga Allah menyampaikan perasaan rindu itu kepada sahabat yang dirindui.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “ Ya Allah, jadikanlah hamba-Mu ini mencintai orang yang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku.” (HR Muslim) 

Saya terharu dan tersentuh mendengarkan dan mengahayati bait lirik lagu Sigma yang berjudul ‘Senandung Ukhuwah’. Lagu ini kudedikasikan buat sahabatku yang jauh di sana. Semoga ukhuwah yang terbina membawa kami ke syurga-Nya. Sahabat, saya akui sejak hijrah ke negeri Kelantan saya sangat merinduimu sahabat. Semoga Allah redha perasaan rindu ini. Terima dan hayatilah bait-bait ayat lagu ini.

Senandung Ukhuwah (Sigma)


Di awal kita bersua

Mencuba untuk saling memahami

Keping-keping di hati

  Terajut dengan indah

Rasakan persaudaraan kita



Dan masa pun silih berganti

Ukhuwah dan amanah tertunaikan

Berpeluk suka dan duka

Kita jalani semua

Semata-mata harapkan redha-Nya



Sahabat tibalah masanya

Bersua pasti ada berpisah

Bila nanti kita jauh berpisah

Jadikan rabithah pengikatnya

Jadikan doa ekspresi rindu

Semoga kita bersua di syurga

Sahabat, aku merinduimu kerana Allah. Semoga hijrah ini dapat mentarbiyah hati nurani kita untuk semakin cinta kepada-Nya. Kita bertemu dan berpisah kerana-Nya. Sungguh Allah mencintai orang-orang yang beriman dan saling menyayangi kerana-Nya. Hanya doa sebagai pengubat rindu agar ukhuwah kita terus subur dengan benih-benih keimanan dan ketakwaan kepada Sang Pencipta kita iaitu Allah SWT. Tuhan Yang Maha Esa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud; “Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.” (Surah Az-Zukhruf 43:67)

Hanya kerinduan kerana-Nya yang mampu menyebabkan hati sahabat kita juga merindui kita kerana-Nya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...